Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Ucapan oleh S. M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Sempena Penganugerahan Anugerah Tun Abdul Razak 2014 oleh Yayasan Tun Razak pada 22 Jun 2014, Kuala Lumpur.

alt

Assalamualaikum Wr Wb
Bismillahi Rahman in Rahim

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Tun Razak kerana memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan penghargaan dan kekaguman terhadap sumbangan yang dibuat oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Beliau telah meletakkan asas yang kukuh untuk mewujudkan Malaysia yang bersatu dan progresif yang berakar umbi daripada tradisi dan sejarah yang lepas.

Saya kini berusia 87 tahun, pernah melalui kehidupan dalam tempoh penjajahan British di India dan Malaya (kini Malaysia), menderita keaiban dan penghinaan akibat dijajah dan berjuang untuk kebebasan, maruah dan kemerdekaan. Sepanjang tempoh ini, dalam apa sahaja yang saya lakukan, saya dipandu oleh ajaran al-quran: Qul innasalati wanusuki wamahyaya wamamati iillahi rabbil aalamin [6:162] (Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku kerana Allah s.w.t pemilik sekalian alam). Sumbangan kecil yang saya sumbangkan untuk masyarakat hanyalah untuk Allah dan tidak sekali-kali untuk mencari sanjungan, pangkat, penghormatan dan ganjaran.

Oleh sebab itu, apabila saya menerima tawaran untuk Anugerah Tun Razak 2014, naluri saya adalah untuk menolaknya sepertimana yang saya lakukan sebelum ini kepada tawaran yang sama. Tindakan saya itu bukanlah sesuatu keangkuhan atau tidak menghormati Yayasan tetapi berdasarkan prinsip hidup yang dipegang oleh saya untuk tidak mengaitkan sumbangan saya dengan penghormatan, pangkat atau ganjaran. Keluarga dan rakan rapat saya memujuk saya supaya memikirkan semula untuk menerima tawaran itu memandangkan saya mengagumi kepimpinan dan kepintaran dalam politik Tun Razak. Selepas memikirkannya selama sebulan, saya akhirnya memutuskan untuk menerimanya bukan sebagai ganjaran terhadap perkhidmatan saya kepada komuniti tetapi sebagai penghormatan terhadap kualiti kepimpinan yang kita semua patut mencontohinya.


Tun Razak memimpin negara ini pada waktu paling kritikal selepas 12 tahun merdeka. Demokrasi berparlimen telah runtuh. Kempen yang tidak bertanggungjawab dan tingkahlaku oleh beberapa parti politik yang menimbulkan prejudis dan kebencian kaum semasa dan selepas pilihan raya pada Mei 1969 telah membawa kepada rusuhan, konflik etnik dan keganasan yang telah menghancurkan negara ini dan berada di ambang keruntuhan sebagai sebuah negara. Dalam tempoh kacau bilau, kekeliruan dan tidak menentu ini, Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dengan Tun Razak sebagai Pengarah ditubuhkan untuk membawa keamanan dan kestabilan.

Cabarannya amat mengentarkan untuk mengekalkan keselamatan dalaman, memulihkan ekonomi dan keyakinan pelabur; menyembuhkan luka akibat konflik dan membina perpaduan negara. Tun Razak adalah pemimpin yang tepat sekali untuk membawa satu pasukan pemimpin negara yang berkemanpuan dan dedikasi untuk memenuhi cabaran ini. Dalam tempoh seminggu, keselamatan diwujudkan dan kehidupan kembali seperti biasa apabila orang ramai mula kembali bekerja, menikmati hidup mereka semula dan kembali kepada kehidupan biasa tanpa sebarang ketakutan terhadap keganasan dan bahaya. Kita tidak melalui jalan seperti Sri Lanka atau Bangladesh disebabkan oleh kebijaksanaan pemimpin kita dan sikap toleransi dan memaafkan rakyat kita.

Terdapat gesaan daripada beberapa kumpulan Melayu untuk meneruskan dengan pemerintahan MAGERAN bagi tempoh yang lebih lama atau untuk membentuk kerajaan Melayu yang ditolak oleh Tun Razak dan pemimpin lain. Dalam maklum balas terhadap perkara itu, Allahyarham Tun Dr. Ismail berkata:

“Kita tidak berniat untuk membentuk Malaysia Melayu, tetapi Malaysia yang dimiliki oleh dan dengan potensi untuk diserahkan kepada semua bangsa dan agama. Konsep negara kita ialah pelbagai bangsa dan tindakan yang diambil oleh satu bangsa di negara ini akan memberi kesan kepada bangsa lain juga.”

Dalam tempoh kurang daripada dua tahun demokrasi dipulihkan semula dan parlimen bersidang semula.

Tun Razak yakin perpaduan kebangsaan adalah kunci kepada pembangunan Malaysia ke arah negara yang lebih aman, makmur dan progresif. Sebagai Menteri Pendidikan dalam Kabinet 1956, beliau bertanggungjawab untuk dasar pendidikan kita yang menjadi sebagai alat penting untuk menyatukan pelbagai bangsa dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama. Beliau mahukan satu sistem sekolah yang seragam dengan kurikulum kebangsaan. Beliau melancarkan Gerakan Lampu Suloh yang bertujuan untuk membasmi buta huruf. Beribu orang guru dilatih dan beratus sekolah dibina di bawah projek ini.

Beliau menyedari bahawa sistem pendidikan boleh menyediakan peluang untuk anak-anak daripada berbagai bangsa dan latar belakang yang berbeza untuk berinteraksi dan menyemarakkan kesedaran kebangsaan, adalah tidak mencukupi untuk membina perpaduan kebangsaan. Kemiskinan dan ketaksamaan perlu ditangani untuk menyatukan pelbagai bangsa yang berbeza menjadi sebuah negara Malaysia yang kita inginkan.
Dalam ucapannya pada Julai 1969, Tun Razak menjelaskan objektif pembangunan ekonomi:

“Jelas sekali dasar pembangunan dan ekonomi kita mestilah membawa ke arah perpaduan dalam kalangan rakyat dan ke arah membina semula kepercayaan dan keyakinan Negara kita untuk kelangsungan dan terus maju dan makmur. ... Kita mesti membawa dasar ekonomi kita ke arah semua objektif penting bagi mengukuhkan asas negara bangsa kita; membina perpaduan dalam kalangan rakyat; perpaduan yang boleh memastikan ... kebahagiaan semua daripada kita dan keturunan kita pada tahun yang akan datang.”

Beliau mengarahkan pegawai dan penasihat supaya meneliti semula semua dasar yang sedia ada dan memikirkan semula strategi baharu bagi menangani masalah perpaduan negara, kemiskinan dan ketaksamaan. Dalam perbincangan yang membawa kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) terdapat dua dasar yang dijelaskan iaitu pertama penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi dan menyusun semula ekonomi. Just Faaland, pakar ekonomi Norway, penasihat kepada Kerajaan Malaysia dan arkitek DEB, menjelaskan:

“Dua aliran pemikiran utama muncul mengenai bagaimana untuk bertindak terhadap pergolakan politik dan sosial. Penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi mengatasi keutamaan lain. Penyokong DEB mentafsirkan cabaran pembangunan secara berbeza. Kepada mereka terdapat bukti yang jelas terhadap kecacatan struktur yang semakin berkembang di negara ini yang perlu diperbaiki dengan segera. Sebahagian besar daripada penduduk masih tidak bersedia untuk menyertai dalam ekonomi moden dan dasar utama dan institusi utama, halangan sosial dan budaya mencegah penyertaan berkesan sebahagian daripada penduduk. Ketidakseimbangan ini perlu ditangani secara langsung, bukan hanya sebagai elemen strategi pertumbuhan,” katanya.

Tun Razak bersedia menerima cadangan oleh Just Faaland untuk DEB memandangkan beliau sendiri percaya dalam pertumbuhan ekonomi dengan pembahagian ekuiti kekayaan yang dihasilkan dan keperluan untuk menstrukturkan semula ekonomi untuk mencapai integrasi nasional. DEB dengan dua strategi untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta mengurangkan dan akhirnya menghapuskan pengenalan kaum melalui fungsi ekonomi dan lokasi geografi, telah mencapai kejayaan. Kita telah menikmati 45 tahun keamanan tanpa sebarang kekacauan sosial; kemiskinan hampir dihapuskan tetapi ketidakseimbangan antara etnik semakin berkembang; pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi dan lokasi geografi semakin dikurangkan.

Dalam mana kita menghargai kejayaan DEB, kita tidak seharusnya tidak menghiraukan penyelewengan dalam melaksanakan dasar itu selepas pemergian Tun Razak dan Tun Dr. Ismail yang membawa kepada bidasan ke atas dasar itu sendiri oleh pengkritik. Penyelewengan ini adalah hasil perubahan daripada idea kebajikan sosial Tun Razak dan DEB kepada pemujaan pertumbuhan ekonomi dan ketamakan model neo-liberal yang dipengaruhi oleh Thatcherism dan Reaganomics.

Tun Razak dan Tun Dr. Ismail percaya parti mengawal kerajaan sebagai pemegang amanah bagi rakyat dan mereka mengharapkan mereka yang menjaga amanah itu adalah orang yang mempunyai integriti yang tinggi. Ketika mereka memimpin negara, kerajaan tidak melencong daripada dasar ini dan semua usaha diarahkan terhadap melaksanakan amanah ini. Tun Dr. Ismail telah memberi amaran bahawa mereka yang telah diberi kepercayaan dengan kuasa tidak seharusnya menyakahgunakannya untuk kepentingan diri. Dalam demokrasi, kerajaan adalah untuk semua rakyat yang juga mempunyai hak yang sama. Ahli politik yang bersaing untuk mendapatkan kuasa sepatutnya mematuhi nasihat yang amat berguna ini.

Tun Razak menyedari rasuah dalam kerajaan melibatkan pemimpin politik dan kakitangan awam yang menyalahgunakan kedudukan mereka dan mengkayakan diri sendiri dengan cara yang haram. Beliau mengambil tindakan segera dan MAGERAN telah meluluskan Ordinan Darurat (Kuasa Khas) No 22/70 yang memberikan kuasa kepada Pengarah Badan Pencegah Rasuah untuk bertindak atas dirinya sendiri tanpa campurtangan daripada mana-mana pihak. Beliau hanya bertanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong. Ordinan itu menegaskan bahawa merupakan satu kesalahan bagi mana-mana pihak yang menggunakan kedudukan awam atau pejabat untuk kewangan atau kelebihan lain. Dalam tempoh setahun undang-undang itu dikuatkuasakan, Menteri Besar Perak dan Menteri Besar Terengganu dipecat dan seorang Menteri dibuang. Ini menggambarkan betapa seriusnya Tun Razak dalam memerangi rasuah dalam perkhidmatan awam.

Tun Razak percaya kerajaan yang kuat dan bersih serta kestabilan politik adalah prasyarat untuk mencapai sasaran DEB dan membina perpaduan kebangsaan. Kualitinya sebagai seorang negarawan boleh dilihat daripada caranya cuba untuk mencapai prasyarat ini. Selepas pergolakan Mei, beliau dengan segera mula berunding dengan pemimpin pembangkang dan berbincang dengan mereka mengenai kerjasama untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan sosial serta menggalakkan perpaduan.

Pendekatannya yang secara langsung, jujur dan menyakinkan dalam membina perpaduan, kemajuan dan Malaysia yang progresif mempengaruhi keputusan pemimpin pembangkang. Hasilnya, pada Januari 1973, terdapat kerajaan campuran di Sarawak, Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Pengalaman kerajaan campuran di peringkat negeri berkembang menjadi Barisan Nasional yang didaftarkan sebagai parti politik pada 1 Jun 1974. Beliau berharap BN akan menjadi “asas yang kuat, bersatu dan pelbagai bangsa bagi negara Malaysia” tetapi disebabkan pemergiannya yang lebih awal, ia kekal tanpa dipenuhi.

Sumbangan utama lain Tun Razak adalah transformasi yang lebih radikal dalam dasar luar kita iaitu daripada pro Barat kepada berkecuali. Malaysia ketika pentadbiran Tengku Abdul Rahman dilihat sebagai neo-koloni British dan mempunyai sedikit pengaruh ke atas negara membangun. Tun Razak mewujudkan hubungan dagang dan diplomatik dengan negara komunis dan mengambil bahagian yang aktif dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.

Kemuncak kepada perkembangan ini adalah kunjungannya ke China pada 1974 yang membawa kepada wujudnya hubungan diplomatik. Ia adalah satu langkah yang berani dan bijak memandangkan kepada fobia komunis dan tidak mendapat sokongan sesetengah pemimpin Asean.
Tun Razak banyak mengambil berat mengenai “wanita dan lelaki kecil” iaitu petani di sawah padi, penoreh getah di estet, nelayan tradisional, dan pekerja kilang dan perkhidmatan. Sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, beliau memajukan dan melaksanakan pelan penyelarasan untuk memperbaiki keadaan penduduk luar bandar yang telah dipinggirkan oleh penjajah British. Beliau menggalakkan pertanian, ternakan haiwan dan pengeluaran makanan. Dalam masa kemelesetan pada tahun 70-an, beliau melancarkan Rancangan Buku Hijau untuk menggalakkan orang ramai menanam tanaman untuk makanan mereka sendiri. Menyedari akan kepentingan sara diri dalam makanan, beliau berkata: “...keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil makanan dan tidak terlalu bergantung kepada industri.”

Beliau amat prihatin mengenai penyampaian perkhidmatan, dalam tempoh empat dekad sebelum ia menjadi jargon Bank Dunia. Beliau menubuhkan jawatankuasa dan bilik gerakan di peringkat daerah, negeri dan negara untuk memastikan rancangan pembangunan dilaksanakan dan mencapai hasil seperti yang dikehendaki. Beliau memperkenalkan Buku Merah yang mengandungi garis panduan terhadap perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan luar bandar tanpa karenah birokrasi (Red Tape). Beliau secara peribadi mengunjungi beratus bilik gerakan daerah untuk melihat sendiri kemajuan yang dibuat dan masalah yang dihadapi serta sebagai motivasi kepada pegawai di lapangan.

Sebagai Pengarah MAGERAN, beliau memperkenalkan undang-undang untuk memperbaiki keadaan pekerja, kebajikan dan keselamatan pekerjaan mereka. Mereka diberikan cuti tahunan bergaji, faedah perubatan dan bersalin serta bayaran lebih masa bagi kerja yang melebihi lapan jam. Pada 1969, undang-undang memperuntukan keselamatan sosial bagi pekerja diperkenalkan dan pada 1971 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) diwujudkan untuk melaksanakan skim yang disediakan di bawah undang-undang itu. PERKESO membayar pampasan kepada pekerja yang mengalami kecederaan dalam kemalangan di tempat kerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja. Keluarga simati dalam kemalangan juga disediakan dengan pampasan. Pekerja yang mengalami kecacatan serius juga layak untuk mendapat pencen ilat.

Dalam tempoh yang singkat selama enam tahun, pentadbiran Tun Razak berjaya mewujudkan dasar dan institusi yang diperlukan oleh negara Malaysia yang berakar dari sejarah Melayu-Islam, tradisi dan warisan; meraikan kepelbagaian budaya dan kepercayaan; mempromosikan perpaduan negara dan keselamatan sosial untuk semua; melindungi keamanan dan keselamatan negara; dan memainkan peranan aktif dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa. Dalam tempoh ini, beliau mengetahui bahawa beliau menderita penyakit leukaemia yang mengancam nyawanya. Beliau merahsiakannya daripada keluarganya sendiri dan tidak membenarkan untk campurtangan dengan tugasnya kepada negara. Tenaga dan dedikasi yang dicurahkan dalam melaksanakan tugasnya amat mengagumkan dan sungguh berani.

Tanpa panduan dan kepimpinan Tun Razak, DEB gagal untuk mencapai matlamatnya dalam membina negara pelbagai kaum yang bersatu berdasarkan perkongsian saksama kekayaan ekonomi dalam kalangan semua kaum. Kegagalannya bukanlah disebabkan oleh kecacatan di dalam dasarnya tetapi pelaksanaannya yang kekurangan visi, kebijaksanaan dan keadilan. Just Faaland dan dua pengarang bersamanya memberi amaran dalam buku Growth and Ethnic Inequality edisi 2003 mereka:

“Hari ini sepertimana pada tahun 1969/70, ketaksamaan pendapatan yang besar dan paras kemiskinan berbetulan dengan pembahagian etnik, sosial dan agama. Dalam situasi ini – jika ia tidak dilihat untuk diperbaiki – ketidakstabilan politik dan sosial dan kekacauan seperti 1969 mungkin akan berulang kembali. Perkara ini telah menimpa negara lain yang gagal untuk menangani masalah seperti itu, sesetengahnya berpecah belah yang berterusan dan pemisahan kaum yang semakin mendalam dan penentangan. Bagi Malaysia, persoalan utama ialah bagaimana untuk mencari penyelesaian pada kos yang minimum dan secepat mungkin untuk mewujudkan padang permainan yang sama yang tidak memerlukan dasar tindakan afirmatif tertentu berasaskan etnik.”

Prof. Dr. Noraini M. Noor dari Universiti Islam Antarabangsa memberi amaran mengenai meningkatnya polarisasi kaum, menunjukkan situasi pra-konflik. Beliau menulis:

“...terdapat peningkatan dalam polarisasi antara orang Melayu dan orang Cina dalam bentuk pendidikan, peluang pekerjaan dan perumahan. Dalam sistem pendidikan semasa, kebanyakan orang Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerajaan dan/atau sekolah agama, manakala majoriti orang Cina mendidik anak-anak mereka di sekolah Cina. Orang Melayu cenderung untuk belajar di universiti awam/kerajaan di mana bahasa pengantarnya adalah Bahasa Malaysia manakala kebanyakan orang Cina belajar di universiti swasta di mana Bahasa Inggeris digunakan. Kebanyakan orang Melayu bekerja di sektor kerajaan manakala kebanyakan orang Cina di sektor swasta. Dan disebabkan sektor swasta lebih kompetitif dan membayar gaji yang lebih baik berbanding sektor kerajaan, terdapat perbezaan pendapatan yang ketara antara kumpulan yang menimbulkan persepsi ketaksamaan kuasa. Dalam banyak keadaan, ahli setiap kumpulan hidup dalam kawasan perumahan yang dikuasai oleh orang Melayu atau Cina. Oleh itu, ramai yang tidak mengetahui mahupun mereka tidak berinteraksi dengan ahli kumpulan lain.”

Sebagai seorang yang memberi sumbangan kecil ke arah Malaysia yang bersemangat, dinamik, adil dan saksama, adalah menjadi harapan saya yang bersungguh-sungguh bahawa kita menangani masalah ini dengan segera sebelum ia mencetuskan konflik etnik yang tidak mampu kita hadapi untuk kali kedua. Pemimpin politik daripada parti pemerintah dan pembangkang perlu terlibat dalam dialog untuk memahami punca masalah dan mencari jalan untuk mengatasinya. Kini terlalu banyak perkara yang dipolitikkan sehingga ke peringkat paling buruk dengan internet menyebarkan pembohongan, kebencian, memburukkan tokoh dan meracuni prejudis etnik. Penyelewengan ini perlu segera dihentikan.

Kerajaan perlu mengatur satu rundingan dengan kumpulan masyarakat sivil dan individu berhubung rungutan dan saranan bagi mengatasi polarisasi kaum, memecahkan halangan pemisahan kaum dalam pendidikan dan sosio-ekonomi serta menggalakkan perpaduan. Kita perlu berusaha untuk mencapai konsensus kebangsaan terhadap isu-isu penting sepertimana yang dicapai dalam 1969-70 melalui Majlis Perundingan Negara (NCC).
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Tun Razak dan menempatkannya di Jannah. Semoga Allah memberikan kita hidayah untuk menyedari visi Tun Razak terhadap Malaysia yang bersatu, demokratik, pelbagai bangsa dan progresif yang terpasang kukuh dalam keadilan sosial.

Akhir sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur terutama sekali Tengku Harith Aziz dan semua orang yang meluangkan sedikit masa bagi menjadikan majlis ini sesuatu yang menjadi ingatan istimewa bagi saya.

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt