Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Mercun – Hukuman Pencegahan Diperlukan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Kastam dan Polis meningkatkan tindakan yang lebih keras terhadap penyeludupan dan penjualan bunga api dan mercun. Jika penguatkuasaan dipertingkatkan, kegiatan penyeludupan boleh dikawal.

Sejak lebih dua dekad, CAP menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman denda yang lebih berat ke atas pesalah termasuk hukuman penjara.

Peningkatan dalam kejadian penyeludupan, pengedaran dan penjualan mercun dan bunga api hanya boleh dihentikan melalui penguatkuasaan yang lebih tegas dan dengan kerjasama daripada orang ramai agar tidak membeli barangan seludup. Di bawah seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957, sesiapa yang didapati mengeluar, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api boleh dipenjarakan tidak kurang daripada lima (5) tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pencabulan terhadap undang-undang sedia ada untuk mengawal penyeludupan yang berleluasa, pengedaran dan penjualan barangan seludup jelas tidak dipandang serius oleh pesalah.

Oleh itu, undang-undang perlu dipinda untuk memasukkan perkara berikut:

1. Hukuman penjara mandatori bagi penyeludup termasuk merampas harta dan asset mereka;

2. Kenderaan di mana barangan seludup ditemui perlu dirampas dan dilelong.

Keberanian orang ramai bermain mercun dan bunga api yang berbahaya secara bebas dan terbuka juga menunjukkan pihak polis tidak mampu untuk menghentikannya. Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap mereka yang ditangkap bermain dengan mercun dan bunga api. Hukuman penjara dan denda yang lebih berat perlu dikenakan terhadap penjual dan mereka yang ditangkap bermain mercun dan bunga api. Ibu bapa yang mana anak-anak mereka ditangkap membeli dan bermain dengan mercun dan bunga api mestilah dipertanggungjawabkan ke atas perbuatan anak-anak mereka.

Selain daripada gangguan bunyi bising mercun dan bunga api kepada orang ramai ia juga berpotensi menjadi punca kepada kecederaan dan kebakaran. Terutama sekali kanak-kanak mudah terdedah kepada kecederaan. Mercun dan bunga api yang dibakar itu juga boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada harta benda dan nyawa.

Bunga api dan mercun bukan hanya dimainkan ketika musim perayaan sahaja tetapi ketika pengebumian, perkahwinan dan sambutan hari lahir. Hanya dengan penguatkuasaan yang tegas dan dipertingkatkan boleh mencegah penyeludupan dan penjualan barangan seludup itu boleh di kawal.

Memandangkan Tahun Baru Cina semakin hampir, CAP menggesa penguatkuasaan yang lebih tegas dipertingkatkan.

 

Kenyataan Akhbar, 22 Januari  2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt