Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Haramkan bedak talkum dan produk berasaskan ‘talc’

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kepada Kementerian Kesihatan agar mengharamkan bedak talkum dan produk berasaskan ‘talc’.

Bedak talkum disapukan pada kulit sebagai bahan penyerap yang baik untuk mewangi dan memberikan sentuhan yang lembut. Bahan utama dalam bedak talkum ialah magnesium silicate hydroxide atau ‘talc’.  Komposisi ‘talc’ menyamai asbestos dan ia terkandung dalam bedak bayi, pembayang mata, pemerah pipi dan deodoran. ‘Talc’ telah dikaitkan dengan kanser ovari dan masalah pernafasan.

Sungguhpun penggunaan ‘talc’ dalam kosmetik  begitu meluas di seluruh dunia, kebarangkalian ‘talc’ yang bebas asbestos bersifat karsinogenik telah mendorong Kesatuan Eropah untuk mengharamkan kosmetik berasaskan talkum sama sekali.

Baru-baru ini syarikat gergasi penjagaan kesihatan Johnson & Johnson mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penjualan Bedak Bayi Johnson berasaskan ‘talc’ keluarannya di Amerika Syarikat dan Kanada.

Firma terbabit berdepan dengan ribuan saman daripada pengguna yang mendakwa produk talc keluarannya menyebabkan mereka menghidap kanser. Langkah itu berlaku selepas bertahun-tahun menjalani proses pengadilan di mana Johnson & Johnson diarah membayar pampasan bernilai berbilion dolar.

Pada 2016, Johnson & Johnson diarah membayar pampasan berjumlah $72 juta kepada keluarga seorang wanita dari Alabama yang meninggal akibat kanser ovari yang didakwa berpunca daripada penggunaan bedak bayi dan produk lain keluaran syarikat itu yang mengandungi ‘talc’ untuk kebersihan wanita.

Di Malaysia, kanser ovari merupakan kanser umum kelima membabitkan wanita, dengan kira-kira 500 pesakit dikesan menghidapnya setiap tahun. Ia menjadi kanser lazim bagi wanita yang berusia 50 tahun ke atas dan kerap melibatkan wanita Melayu, diikuti oleh wanita Cina dan India. Kanser ovari khususnya diketahui amat berbahaya kerana ia berkembang secara senyap dan kerapkali dikesan di tahap terakhir.

‘Talc’ diketahui beracun kerana zarahnya boleh menyebabkan tumor dalam ovari dan paru-paru.  Zarah ‘talc’ boleh sampai ke sistem pembiakan dan melekat pada lapisan ovari. Penyelidik telah mengesan zarah ‘talc’ dalam tumor ovari dan mendapati penghidap kanser ovari menggunakan bedak talkum pada alat sulit mereka lebih kerap berbanding wanita sihat.

Bedak talkum juga berisiko menjejaskan paru-paru kerana zarahnya yang halus mudah masuk ke dalamnya. Bedak putih gebu itu bila di bawa udara akan disedut oleh bayi dan pengguna lain. Menyedut debu bedak ketika menukar lampin diketahui telah menyebabkan kecederaan malah kematian bayi. ‘Talc’ juga boleh menyebabkan laluan pernafasan bayi membengkak dan boleh mengakibatkan pneumonia. Selain itu bedak talkum turut dikaitkan dengan serangan asma dalam kalangan kanak-kanak.

Statistik menunjukkan setiap tahun ribuan bayi mati atau jatuh sakit selepas tersedut debu bedak talkum bayi. ‘Talc’ disapukan pada bayi kerana ia mampu menyerap kelembapan yang kurang menyenangkan. Namun ia sebaliknya membahayakan paru-paru mereka. Mendedahkan kanak-kanak kepada bahan berkarsinogen ini adalah tidak perlu dan merbahaya.

Di sebalik pelbagai bahaya yang dikaitkan dengan bedak talkum dan produk yang mengandungi ‘talc’, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan agar mengharamkan bedak talkum dan produk berasaskan ‘talc’.

Sementara itu pengguna dinasihatkan menggunakan bedak yang diperbuat daripada tepung jagung atau tepung beras. Para ibu pula dinasihatkan supaya menggunakan minyak sapu (ointment) dan tidak  menggunakan bedak berubat untuk masalah ruam bayi.

 

Kenyataan Akhbar, 22 Mei 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt