Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Perkhidmatan TM yang mahal, perlahan dan buruk perlu ditamatkan

Perkhidmatan yang disediakan oleh Telekom Malaysia (TM) semakin hari semakin buruk. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sendiri sudah berasa bosan dengan pelbagai aduan yang diterima mengenai perkhidmatan buruk Internet dan telefon yang disediakan.
Kami telah mengalami segalanya, daripada kelajuan Internet yang terlalu perlahan hinggalah Internet tidak dapat dilayari sama sekali atau telefon tidak dapat digunakan. Apabila kejadian yang sama berlaku baru-baru ini, juruteknik TM menyalahkan peralatan kami, namun perkara ini dinafikan oleh pembekal peralatan tersebut. Sementara itu, kami mendapati bangunan-bangunan berhampiran turut mengalami masalah yang hampir sama.

Berikutan pelbagai aduan diterima, juruteknik TM mengakui terdapat masalah kerosakan kabel di kawasan berkenaan. Kenapakah ia tidak dikesan sejak mula lagi? Dalam tempoh mengadu dan menunggu tindakan yang akan diambil oleh TM, kerja kami terjejas teruk. TM sewajarnya memberikan rebat kepada semua pelanggan yang terjejas sepanjang tempoh gangguan tersebut.

Bagi segala perkhidmatan yang lembap dan teruk, pengguna di Malaysia terpaksa menanggungnya sejak awal lagi; malah kami dikenakan bayaran yang tidak munasabah berbanding negara-negara jiran yang lain. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Said Keruak mendakwa baru-baru ini bahawa pengguna sendirilah yang memilih untuk melanggan pakej kelajuan Internet yang perlahan kerana mereka tidak mampu membayar perkhidmatan yang lebih mahal.

Apabila TM tidak berupaya menyediakan perkhidmatan Internet yang boleh diharap bagi pakej kelajuan yang rendah dan mengekalkan kelajuan dalam lingkungan 80% kelajuan yang diiklan, bagaimanakah pelanggan boleh meletakkan kepercayaan kepada TM untuk meningkatkan pakej langganan dengan harga lebih tinggi? Tidak hairanlah 71% pelanggan di Malaysia lebih gemar memilih pakej 384Kbs dan 1Mbs.

Pelanggan di Malaysia telah mendapat perkhidmatan Internet yang bermutu rendah sejak dari awal lagi. Oleh itu, TM sepatutnya berusaha untuk memenangi hati pelanggan mereka dengan menyediakan perkhidmatan Internet yang boleh diharap mengikut kelajuan yang diiklankan dan pada harga yang berpatutan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) perlu mengaudit sepenuhnya seperti yang telah dilakukan ke atas MAS.



Kenyataan Akhbar, 6hb. Oktober 2015

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt