Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Atasi segera masalah nelayan pantai Balik Pulau

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan dan kerajaan Pulau Pinang menyiasat punca-punca yang menyebabkan beberapa jenis hidupan laut di perairan Balik Pulau terancam dan semakin pupus.

Tinjauan CAP mendapati selain ikan berkualiti tinggi seperti bawal tambak dan bawal putih, hidupan lain seperti kerang, siput, lala, ketam dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama lebih 500 nelayan pantai di sini juga berkurangan. Nelayan-nelayan yang terlibat ialah dari Kuala Sungai Burung, Kuala Sungai Pinang, Pantai Acheh, Kuala Jalan Bharu dan Pulau Betong.

Berikutan masalah itu hasil tangkapan nelayan terbabit telah merosot dari lebih RM200.00 sehari kepada RM30.00 sehari. Kadang-kadang mereka pulang dengan tangan kosong kerana ancaman yang berlaku ke atas sumber perikanan di sini begitu serius. Antara punca-punca berlakunya masalah ini ialah pencerobohan oleh bot pukat tunda dan pukat buaya, pencemaran dari kolam ternakan udang serta kemusnahan hutan paya bakau yang tidak terkawal akibat pelaksanaan projek ternakan udang.

Kegiatan bot pukat tunda dan pukat buaya yang kerap menceroboh kawasan tangkapan nelayan pantai (1 batu nautika hingga 8 batu nautika) pada waktu malam bukan saja menjejaskan sumber pendapatan mereka tetapi juga memerangkap serta membunuh berpuluh metrik tan anak ikan berbagai jenis.

Manakala projek ternakan udang yang bermula dari Kuala Sungai Pinang hingga ke Kuala Jalan Bharu pula telah memusnahkan beratus hektar kawasan bakau yang tempat pembiakan berbagai jenis hidupan laut. Pada masa yang sama berlaku pencemaran laut yang serius kerana pengusaha-pengusaha projek ternakan udang di sini membuang sisa toksik dari kolam ternakan mereka ke kawasan pantai.

CAP meminta Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan. Tegas CAP, penggunaan pukat tunda dan pukat buaya perlu diharamkan segera demi menyelamatkan sumber perikanan dari mengalami kepupusan.

Langkah yang sama perlu dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang di mana menghentikan pengeluaran permit bagi sebarang projek akuakultur pada masa akan datang serta mewartakan seluruh hutan paya bakau di negeri ini sebagai Hutan Simpan Kekal. CAP percaya masalah ancaman ke atas sumber perikanan ini jika dibiarkan bukan saja menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai dengan lebih serius lagi pada masa akan datang, malah bekalan makanan dan sektor perikanan negara juga akan turut tergugat.


Kenyataan Media, 17hb Ogos 2015

 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt