Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

TPPA - Bahagian Syarikat Milik Negara Kelihatan Amat Merosakkan: Malaysia Tidak Sepatutnya Ikut Serta Dalam Memuktamadkan TPPA

Mesyuarat peringkat menteri Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang kini sedang berlangsung di Hawaii seharusnya tidak memuktamadkan rundingan tersebut disebabkan banyak isu kepentingan awam yang amat penting masih tidak diselesaikan. Tambahan lagi, rakyat Malaysia dan negara lain masih tidak mengetahui apakah yang sedang dirundingkan atau yang dipersetujui.

Malah, jika negara lain sanggup memuktamadkan seluruh draf TPPA, Malaysia tidak seharusnya bersetuju. Sebaliknya, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Dato Sri Mustapa Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, perlu memberikan penjelasan kepada orang ramai dan meminta pandangan orang ramai berhubung isu-isu, sebelum memutuskan sama ada untuk menyertai rundingan akhir untuk memuktamadkannya.

Keperluan untuk mendapatkan pandangan awam menjadi lebih mustahak sekarang memandangkan maklumat yang diperolehi berhubung “syarikat milik negara” (SOEs) yang merupakan salah satu bahagian yang paling diperdebatkan daripada TPPA. Ringkasan rasmi isu dan prinsip bab kecil telah didedahkan oleh Wikileaks kelmarin (30 Julai 2015).
Dokumen rasmi ini mengesahkan bahawa kebimbangan yang dikemukakan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai kemasukan SOEs dalam TPPA adalah wajar.

CAP, bersama dengan NGO lain, pada awalnya telah mengulas bahawa TPPA akan memberi banyak tekanan kepada kerajaan untuk memaksa syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) supaya menyerahkan peranan penting dari aspek ekonomi dan sosial yang mereka mainkan dalam masyarakat kita. TPPA juga akan menghalang kerajaan daripada memberikan sokongan kepada syarikat ini.

CAP percaya bahawa terdapat kekurangan tertentu dalam GLCs dan SOEs di Malaysia dalam operasi, ketelusan dan akauntabiliti mereka. Oleh sebab itu seharusnya terdapat reformasi terhadap tadbir urus dan operasi syarikat ini.

Bagaimanapun, negara yang mendesak bab SOEs dalam TPPA ini telah bertindak lebih jauh bagi mengawal, melumpuhkan atau membunuh SOEs yang sedia ada, supaya syarikat asing yang besar dari negara rakan kongsi TPP boleh meningkatkan peluang mereka untuk mengambil alih perniagaan dan bahagian pasaran.

Oleh itu menyertai TPPA dengan harapan ini akan mereformasikan SOEs samalah seperti membaling bayi bersama dengan air mandian.

Banyak SOEs di Malaysia mempunyai banyak peranan sosial untuk dimainkan, iaitu memberikan khidmat kepada komuniti dan tidak berorientasikan keuntungan dan oleh itu amat tidak wajar untuk memaksa mereka supaya bertindak seperti syarikat swasta lain. Berbuat demikian akan mencegah mereka daripada memainkan peranan sosial mereka dan orang awam akan mengalami kerugian.

Peranan ini termasuklah menyediakan penjagaan kesihatan, pendidikan, bekalan air, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan, infrastruktur pengangkutan dan beberapa barangan seperti makanan dan ubatan. Mereka juga sering menjana perniagaan bagi syarikat swasta tempatan melalui dasar pemerolehan mereka dalam memberikan keutamaan kepada pembekal tempatan apabila membeli bekalan barangan dan perkhidmatan.

Syarikat milik awam ini juga penting dengan menjadi pelengkap kepada syarikat swasta di Malaysia dan terutama sekali dalam menjadi penghalang kepada syarikat asing yang besar yang akan menguasai beberapa sektor ekonomi.

Bagaimanapun, kertas TPPA mengenai “Isu SOEs untuk Panduan Menteri”, yang menjadi asas kepada rundingan dalam TPPA, kelihatan tidak mempedulikan fungsi ekonomi dan sosial SOEs negara ini dan hanya mendesak SOEs dilayan dalam cara yang sama sebagai syarikat swasta.

Kewajipan dalam TPPA mengenai SOEs dan monopoli  yang diberi kuasa oleh kerajaan mempunyai implikasi yang serius.

Pertama, kerajaan mestilah memastikan SOEs dan monopoli yang diberi kuasa oleh kerajaan bertindak berasaskan “pertimbangan komersial” dan persetujuan “layanan tanpa diskriminasi dalam pembelian dan penjualan.”

Ini menunjukkan bahawa SOEs dan monopoli tidak dibenarkan untuk disubsidikan atau menyediakan harga subsidi yang menjadi persaingan yang tidak adil kepada syarikat swasta.

Ini juga menghalang SOEs dan monopoli daripada memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan apabila membeli bahan dan perkhidmatan. Membuka perniagaan pemerolehan yang bernilai berbilion ringgit ini sesama syarikat asing akan menjejaskan perniagaan beribu vendor tempatan dan mengancam beribu pekerjaan. Ia juga akan menjejaskan dengan serius dasar menggalakkan perniagaan bumiputera.

Kedua, kertaskerja TPP berkata bahawa SOEs mestilah mematuhi kewajipan dalam perjanjian apabila bertindak di bawah kuasa kerajaan. Ini menunjukkan bahawa SOEs terpaksa mematuhi dengan kewajipan dalam semua bab TPPA.

Ketiga, terdapat juga “peraturan komersial SOEs dan syarikat swasta yang tidak memihak.” Ini menunjukkan SOEs dan syarikat swasta mestilah tertakluk kepada peraturan yang sama. Pada masa ini, mungkin terdapat perbezaan dalam peraturan kerana SOEs mungkin diperlukan untuk melakukan fungsi awam dan sosial tertentu.

Keempat, TPPA juga akan mengekang sokongan yang disediakan oleh kerajaan untuk SOEs tempatan terutama sekali jika ini menyebabkan kesan sampingan kepada syarikat dalam negara TPPA lain.

Pada masa ini, kerajaan memberikan banyak jenis sokongan seperti mengutamakan untuk menggunakan SOEs dan produk dan perkhidmatan mereka, contohnya dalam perbankan; atau menyediakan ekuiti, kredit, jaminan pinjaman dan tanah.

Adalah diakui bahawa terdapat dalam beberapa kes berlaku penyelewengan terhadap sokongan kepada SOEs dan monopoli kerajaan, dan ini seharusnya dilakukan reformasi segera bagi mengawal penyelewengan atau penyalahgunaan ini.

Tetapi bagi TPPA atau perjanjian antarabangsa yang mengikat ini adalah untuk menghalang atau mengekang kerajaan daripada membantu syarikat yang dimilikinya, ia akan menghapuskan daya maju dan kelangsungan sektor awam dalam sektor ekonomi dan sosial.

Ini akan memberikan kesan yang serius, potensinya termasuklah kenaikan harga dan kos kepada barangan dan perkhidmatan penting untuk orang ramai; menjadikan beberapa barangan atau perkhidmatan tidak dapat diperolehi kerana ia tidak menguntungkan untuk menghasilkannya; dan membolehkan syarikat asing mengambil alih bahagian pasaran syarikat tempatan.

Apa yang menjadi kebimbangan juga ialah definisi SOEs yang akan diletakkan di bawah disiplin TPPA. SOEs mungkin termasuk bukan hanya syarikat dan agensi yang dimiliki 100 peratus (%) oleh kerajaan, tetapi juga syarikat negeri serta agensi negeri yang mempunyai sebahagian daripada sahamnya. Ia juga mungkin termasuk syarikat berkaitan negeri di peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan.

TPPA mempunyai “pengecualian” dan fleksibiliti, di mana kerajaan boleh menyenaraikan yang mana syarikat dan agensi yang ingin dikecualikan daripada disiplin TPPA berhubung SOEs. Bagaimanapun tidak diketahui sejauhmanakah fleksibiliti itu.   

Tambahan lagi, negara TPPA lain perlu bersetuju, sekiranya kerajaan mencadangkan ia mengecualikan contohnya Petronas, Khazanah, Proton Saga atau bank milik kerajaan. Mereka mungkin tidak bersetuju terhadap senarai pengecualian sepenuhnya yang diserahkan oleh Malaysia.

Juga terdapat kecenderungan bahawa syarikat awam masa depan tidak akan dikecualikan.

Di Malaysia, SOEs dan monopoli khusus kerajaan memainkan peranan penting dalam ekonomi serta dalam sektor sosial. Pada hakikatnya, pembangunan ekonomi negara bergantung kepada fungsi gabungan kerajaan, agensi kerajaan dan monopoli khusus, syarikat milik kerajaan dan syarikat swasta (sesetengah daripadanya juga sebahagiannya dimiliki oleh kerajaan).

Kertas ringkas TPPA yang didedahkan menunjukkan bab SOEs berpotensi menjejaskan gabungan pelbagai institusi dan syarikat di Malaysia.

Oleh sebab itu CAP menggesa kerajaan supaya

1.    Tidak bersetuju untuk memuktamadkan rundingan TPPA dalam mesyuarat di Hawaii.

2.    Mendedahkan kepada orang ramai butiran bab SOEs serta bab lain yang berkaitan.

3.    Menjalankan penilaian sepenuhnya bab SOEs terhadap kesannya ke atas kepentingan awam, berhubung keperluan sosial rakyat serta operasi masa depan SOEs dan monopoli kerajaan dan syarikat tempatan yang pada masa ini mendapat manfaat daripada operasi SOEs dan monopoli.

4.    Juga menilai kesan ke atas keseluruhan infrastruktur dan prospek ekonomi Malaysia.

CAP juga yakin bahawa TPPA mempunyai banyak kelemahan, dengan banyak kesan serius kepada negara terutama sekali kepada rakyat. Oleh sebab itu kami sekali lagi menggesa kerajaan tidak menandatangani TPPA, dan berhenti mengambil bahagian dalam rundingan itu.

 

 

Kenyataan Akhbar, 31 Julai 2015

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt