Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

IWK Mencadangkan Perubahan Sistem Tarif

Baru-baru ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah bermesyuarat dengan Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di mana pihak IWK telah mengumumkan rancangannya untuk menukar sistem tarif semasa daripada kadar bulanan standard kepada sistem yang mengikut kadar penggunaan air. Ini sudah pasti secara tidak langsung akan menaikkan bil ramai pengguna. Mereka merancang untuk melaksanakan perubahan ini menjelang Januari 2015.

Menurut IWK mereka perlu berbuat demikian kerana kos operasi telah meningkat berikutan peningkatan dalam mengupah pekerja dan pertambahan dalam jumlah penduduk negara. Pertambahan ini bermakna IWK memerlukan lebih ramai tenaga kerja untuk menyelenggara lebih banyak sistem pembetungan, menyelenggara lebih banyak loji kumbahan, memerlukan lebih ramai pakar berhubung rawatan sisa dan secara amnya memerlukan lebih ramai orang untuk menjalankan operasi terbabit. Mereka turut mendakwa bahawa mereka mempunyai hasil yang minimum, yang tidak seorang pun dapat mengesahkan kebenarannya kecuali selepas mereka meneliti laporan akaun IWK yang diaudit. Tambahan pula terdapat masih ramai pengguna yang belum membayar bil IWK mereka.

Biar pun begitu, adakah dengan menukar sistem tarif sedia ada merupakan langkah yang betul? Kami berpendapat terdapat pelbagai faktor penting yang boleh menjejaskan pengguna tetapi tidak diambil kira oleh IWK. Ini termasuklah:

1. Ramai pengguna dikatakan tidak membayar bil IWK mereka, tetapi bagaimana pula dengan mereka yang telah membayarnya? Ini sudah pasti tidak adil bagi mereka apabila IWK hendak menaikkan tarif hanya kerana pengguna lain tidak membayarnya. Kenapakah harus menghukum pengguna yang menunaikan tanggungjawab dengan membayar bil mereka?

2. Kini sudah terdapat beberapa perubahan yang akan dilaksanakan pada awal tahun hadapan, misalnya GST pada April, dan sehingga kini pengguna masih tidak tahu apakah kesan pelaksanaannya nanti.

3. Kos sara hidup penduduk di negara ini semakin meningkat tetapi pendapatan purata tidak. Upah minimum adalah sekitar RM900 sebulan; tetapi pada hari ini pengguna mempunyai pelbagai bil yang perlu dibayar, perbelanjaan ke atas makanan yang perlu difikirkan dan wang yang perlu diketepikan untuk masa kecemasan. Bagaimanakah golongan berpendapatan rendah hendak hidup dalam keadaan sebegini?

4. Apabila kos satu perkhidmatan naik, kos perkara-perkara lain yang tidak berkaitan turut meningkat. Jika tarif IWK naik, harga segelas teh juga mungkin akan naik, kerana kenaikan kos akan dimasukkan ke dalam harga produk mereka.

Sehubungan perkara ini, CAP membantah kenaikan tarif. Di sebalik meletakkan kesalahan bagi kekurangan hasil IWK ke atas bahu pengguna, IWK sepatutnya mencari jalan untuk menaikkan penghasilan mereka secara lebih bertanggungjawab tanpa merugikan pengguna.

Terdapat beberapa perkara yang masih samar dan sepatutnya dijelaskan sebelum kita boleh menerima kenaikan tarif IWK. Misalnya adakah dana IWK benar-benar tidak mencukupi dan jika demikian, kenapa perkara ini berlaku? Adakah dana itu digunakan dengan efisien dan penuh tanggungjawab? Adakah hasil IWK disalurkan kepada kerja-kerja penyelenggaraan? IWK seharusnya bersikap telus; bagaimana pengguna boleh menerima bulat-bulat bahawa hasil IWK adalah rendah tanpa mengetahuinya sebabnya padahal penggunalah yang akan membayarnya?

Selain itu, adakah IWK sudah menggunakan tenaga kerjanya secara efisien atau adakah lebih ramai orang daripada yang diperlukan telah diguna pakai untuk melakukan tugas yang mudah? Benarkah mereka perlu mengupah lebih ramai pekerja?

Selanjutnya kami ingin bertanya apakah langkah yang diambil oleh IWK bagi memastikan pengguna membayar bil mereka? Menurut IWK sendiri masih ramai yang belum membayar bil mereka dan meskipun mereka membayarnya, mereka tidak melakukannya selalu. Ini dengan sendirinya menjadi sebab bagi IWK kekurangan hasil pendapatan. Justeru, bukankah IWK sepatutnya mencari jalan untuk membuatkan pengguna membayar bil masing-masing, dan bukannya menaikkan tarif ke atas bil yang tidak dibayar oleh pengguna?

Tanpa menukar sistem tarif semasa dan menaikkan kadar tarif, apakah langkah-langkah lain yang boleh diambil oleh IWK yang tidak akan menjejaskan pengguna, untuk memastikan peningkatan hasil bagi IWK dan memastikan pengguna membayar bil mereka?

CAP membantah sebarang kenaikan dalam kadar tarif sehingga IWK mengambil tindakan yang sewajarnya dengan menunjukkan laporan akaun audit mereka, dan terdapat lebih banyak perbincangan dengan orang ramai serta analisis yang teliti dan lengkap mengenai kesan kenaikan tarif telah dilakukan.

Penyelesaian melalui kenaikan tarif tidak dapat diterima. Sebaliknya mereka perlu mengurangkan pembaziran dana dan ketidakcekapan tenaga kerja, memungut semua bayaran yang tertunggak dan memastikan pengguna tidak mempunyai pilihan kecuali membayar bil mereka.

Di samping itu, kami juga ingin menasihati pengguna supaya membayar bil IWK masing-masing. Pengurusan bahan kumbahan amat penting untuk masyarakat dan perkhidmatan inilah yang disediakan oleh IWK. Tanpa khidmat IWK, mungkin akan berlaku letupan gas metana (methane), kemunculan penyakit dan pelbagai masalah kesihatan lain akibat pencemaran najis manusia dan kejijikan akibat najis manusia tidak diurus dengan sempurna. Kita mungkin tidak menyedari betapa pentingnya sesuatu itu sehinggalah timbul masalah.


Surat kepada Pengarang, 27hb. Oktober 2014


 

 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt