Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Isu Pengeluaran Lesen Bot Pukat Siput Di Kedah

CAP DAN SAM GESA SIAP SIASAT SEGERA

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pegawai Jabatan Perikanan di Kedah yang terlibat dengan kes penyalahgunaan kuasa berhubung pengeluaran lesen kepada pengusaha bot pukat siput yang dilaporkan oleh media tempatan baru-baru ini.

Kes tersebut wajar dipandang serius kerana ia membabitkan undang-undang dan boleh memberikan kesan yang lebih buruk ke atas ekosistem tepi pantai, kehidupan nelayan serta sektor perikanan negara pada masa akan datang jika perbuatan seumpama itu berterusan.

Mengulas keputusan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Ahmad Sabki Mahmod untuk menukar para pegawai di jabatan tersebut ke tempat lain bagi menyekat perbuatan salah guna kuasa dalam pengeluaran lesen berkenaan, CAP dan SAM menyokong langkah drastik itu dan berharap tindakan tegas dan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pegawai yang terlibat.

CAP dan SAM berpendapat hukuman menukar tempat kerja merupakan satu hukuman yang agak ringan dan hanya berkesan dalam jangka masa yang pendek berbanding perbuatan salah guna kuasa yang dilakukan begitu besar kesan buruk yang berlaku ke atas hidupan laut, mata pencarian nelayan pantai dan sektor perikanan di negara ini.

CAP dan SAM kesal dengan isu ini kerana lebih 5,000 nelayan pantai di Kedah termasuk Perlis terjejas sumber pendapatan mereka sejak sekian lama akibat aktiviti bot pukat siput yang beroperasi di kedua-dua perairan negeri tersebut.

Operasi bot pukat siput telah diharamkan di Kedah pada tahun 2012 berikutan bantahan keras nelayan pantai di negeri ini. CAP dan SAM mendapati penggunaan pukat tersebut (sangkar besi) dan aktivitinya bukan saja mencemarkan dasar laut dan mengancam ekosistem tepi pantai tetapi juga menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai di sini.

Selain kemerosotan hasil tangkapan, para nelayan pantai di sini juga mengalami kerugian besar kerana jaring mereka kerap rosak akibat penerokaan dan pencemaran dasar laut yang teruk terancam. Malah ada di kalangan nelayan pantai yang terlibat pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang hasil tangkapan.

Selain lesen pukat siput, CAP dan SAM turut menggesa kerajaan menyiasat bagaimana dan mengapa bot pukat sorong dan pukat apollo yang banyak menimbulkan masalah kepada nelayan pantai di daerah Kerian Perak gagal dibenteras dengan berkesan sejak lebih 30 tahun yang lalu walau pun sudah banyak aduan dibuat kepada Jabatan Perikanan.


Kenyataan Media, 12hb September 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt