Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP gesa Perdana Menteri menarik diri dari Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) ketika lawatan Obama

Atau sekurang-kurangnya tidak menawarkan  sebarang konsesi kepada Presiden Amerika Syarikat

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)  menggesa Kerajaan supaya memaklumkan kepada Presiden Amerika Syarikat (USA), Barack Obama, bahawa Malaysia akan menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) apabila beliau  berkunjung ke Malaysia hujung minggu ini.

Jika ini dirasakan bukan masa yang sesuai untuk berbuat demikian, maka Malaysia sekurang-kurangnya tidak membuat sebarang konsesi baru mengenai rundingan TPPA ketika kunjungan itu nanti, kata CAP.

Presiden CAP, Encik S.M. Mohamed Idris menyatakan hal ini di dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, yang dihantar pada 21hb. April 2014. Surat yang serupa dihantar kepada  anggota kabinet yang lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd. Yassin, Menteri Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa, Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Abdul Wahid Omar dan Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Seri Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah.

Di dalam surat beliau kepada Perdana Menteri, yang merumuskan beberapa perkara yang menimbulkan kebimbangan berhubung Malaysia menyertai TPPA, Encik Idris berkata, “Sehubungan dengan perkara-perkara yang dibangkitkan di atas, kami percaya YAB perlu mengambil kesempatan daripada kunjungan Presiden Amerika Syarikat untuk memberi taklimat mengenai kebimbangan Malaysia berhubung TPPA, dan menarik diri daripada rundingan selanjutnya. Kami percaya langkah ini adalah yang terbaik demi kepentingan negara ini.”

“Harus diingat bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat telah cuba membuat rundingan FTA dua hala beberapa tahun dahulu, tetapi rundingan itu menemui jalan buntu kerana terdapat banyak  percanggahan (termasuk dalam sebahagian daripada isu-isu sama yang kini dibangkitkan di dalam TPPA). Ketiadaan kata putus dalam rundingan tersebut tidak menjejaskan hubungan di antara Amerika Syarikat dan Malaysia.”

“Jika kunjungan Presiden Amerika Syarikat dianggap bukan masa yang tepat untuk mengumumkan penarikan Malaysia dari TPPA, kami memohon sekurang-kurangnya tidak ada konsesi baru yang ditawarkan kepada Amerika Syarikat ketika mesyuarat Perdana Menteri dengan Presiden Obama, ataupun ketika mesyuarat di antara pegawai-pegawai dari Malaysia dan Amerika Syarikat.”

Encik Idris berkata, CAP ingin menyatakan secara rasmi pandangannya mengenai TPPA ketika lawatan Presiden Obama memandangkan TPPA akan menjadi salah satu agenda dalam mesyuarat di antara Dato’ Sri Najib dan Presiden Amerika Syarikat.

Menurut CAP, TPPA cuma memberi sedikit manfaat kepada Malaysia meskipun dalam akses pasaran memandangkan Malaysia mempunyai tarif yang lebih tinggi dalam pelbagai produk berbanding Amerika Syarikat, dan oleh itu kita secara signifikan perlu membuat lebih banyak konsesi berbanding Amerika.

Bagi isu-isu selain tarif, Malaysia berkemungkinan akan mengalami kesan yang teruk dari segi ekonomi dan sosial, tegas Encik Idris.

Di antara kesan-kesan buruknya termasuklah:

• Malaysia terpaksa bersetuju untuk tidak mengenakan cukai eksport bagi hampir kesemua komoditi kita, dengan itu menghalang kita daripada menggunakan dasar yang membolehkan Malaysia mempunyai aktiviti pemprosesan, penapisan dan perusahaan yang pesat berkembang dalam sektor-sektor berasaskan sumber seperti balak, getah, minyak sawit, keluli dan sebagainya.
 
• Berhubung harta intelektual (IP), berdasarkan teks TPPA yang boleh diteliti oleh orang awam, cadangan yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat akan melanjutkan terma paten untuk ubatan, dan secara signifikan melengahkan kemampuan kita untuk menghasilkan atau mengimport ubatan generik yang baharu (berikutan peraturan data eksklusiviti yang ketat). Peraturan yang dicadangkan mengenai IP dan pertanian itu akan bercanggah dengan undang-undang Malaysia berhubung perlindungan varieti tumbuhan,  dan merugikan petani kita dengan menaikkan kos input mereka. Peraturan yang dicadangkan mengenai hakcipta akan melanjutkan terma hakcipta itu hingga sekurang-kurangnya 70 tahun (daripada tempoh semasa 50 tahun). Akibatnya hak dan akses pengguna kepada ubatan yang mampu serta maklumat dan pengetahuan akan terancam sementara hak petani ke atas benih akan turut terjejas.
 
• Berhubung pemerolehan kerajaan, berdasarkan rundingan FTA Amerika Syarikat yang lalu, kebebasan Malaysia sekarang untuk menetapkan peraturan kita sendiri akan tergugat. Adalah mustahil  untuk memberi keutamaan kepada produk, perkhidmatan dan pembekal tempatan (kerana membeli melebihi nilai ambang bagi Kementerian yang meliberalkan pemerolehan mereka), yang berperanan penting dalam menggalakkan ekonomi tempatan. Keutamaan untuk perniagaan bumiputra juga akan terjejas. Sungguhpun Malaysia dilaporkan memohon ambang yang lebih tinggi serta pengecualian yang besar bagi dasar Bumiputra, adalah tidak pasti dan agak mustahil permintaan itu akan dipenuhi.
 
• Peraturan berhubung perusahaan milik negara akan makin menyukarkan syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Malaysia (government-linked companies - GLC) untuk beroperasi mahupun kemandiriannya. TPPA akan mencabar dan melemahkan usaha institusi politik-ekonomi yang menggabungkan kerajaan dengan amalan dan entiti komersial, yang sudah berkhidmat untuk Malaysia bertahun-tahun lamanya. Ini akan memberikan implikasi yang besar bagi ekonomi politik negara dan kebebasan kita untuk memilih corak institusi ekonomi dan sosial kita sendiri.
 
• Bab pelaburan memberikan hak ‘pre-establishment’ kepada syarikat-syarikat luar dari negara-negara yang menyertai TPPA, dan ini bakal memberi tekanan kepada Malaysia untuk membuka pelbagai sektor kepada pemilikan dan kawalan asing, dan secara progresif  memansuhkan batasan sedia ada dalam pelbagai sektor. Ini sudah pasti akan menjejaskan perniagaan firma tempatan.
 
• Bab pelaburan juga menghendaki negara-negara TPPA menyerahkan hampir semua kebebasan kepada pelabur asing untuk membawa masuk dan membawa keluar dana, dengan itu menyukarkan kerajaan dan pihak berkuasa kewangan untuk mengawal aliran dana. Ini membuatkan Malaysia terdedah kepada kewangan yang tidak stabil dan krisis kewangan pada masa depan akibat aliran masuk spekulatif berlebihan di samping aliran keluar modal secara mendadak dan berlebihan. Kawalan modal terpilih yang diperkenalkan oleh Malaysia pada 1998 untuk menangani dengan berkesan aliran keluar modal (dan dengan itu mengelak krisis yang serius) tidak akan dibenarkan di bawah peraturan baharu TPPA.
 
• Bab pelabur juga mengandungi komponen ‘perlindungan pelabur’. Di antara tanggungjawab yang harus dipikul Malaysia ialah memberi ‘layanan yang adil dan sama rata’ serta ‘ekspropriasi secara tidak langsung’:  di bawah syarat-syarat ini banyak negara maju dan  sedang membangun telah disaman oleh syarikat-syarikat asing, termasuk kerugian bagi keuntungan  yang dijangkakan berikutan dasar yang sedia ada atau dasar baharu, ataupun berlaku perubahan dalam kontrak atau kontrak yang tidak diperbaharui.
 
• Bahaya itu diburukkan lagi oleh sistem penyelesaian pertikaian antara pelabur dan negara (investor-to-state dispute settlement - ISDS) di mana pelabur luar boleh menyaman kerajaan di tribunal arbitrasi antarabangsa untuk menguatkuasakan peruntukan bab pelaburan di atas. Kerajaan terdedah kepada ancaman akan disaman dan terpaksa membayar jumlah yang besar sehingga ratusan juta malah berbilion dolar.
 
• Dasar kesihatan dan alam sekitar kerajaan akan terjejas. Misalnya langkah kawalan tembakau kerajaan sekarang dan pada masa depan akan dikekang oleh beberapa bab di dalam TPPA. Harga ubatan akan kekal tinggi dalam jangka panjang. Kedua-duanya akan menjejaskan kesihatan rakyat termasuk kehilangan banyak nyawa. Berhubung alam sekitar, beberapa langkah kerajaan untuk mengawal pencemaran, menangani perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti serta memulihara sumber-sumber alam semulajadi cenderung disaman di mahkamah terutamanya yang dikemukakan oleh pelabur luar di bawah ISDS sepertimana yang dialami oleh kerajaan-kerajaan yang menandatangani FTA dengan Amerika Syarikat.
 
• Amerika Syarikat dan beberapa negara lain mungkin cuba meyakinkan kerajaan Malaysia bahawa  pengecualian dan kelonggaran lain boleh dibuat tetapi pengalaman lalu dengan FTA Amerika Syarikat dan bab-bab yang boleh dibaca oleh orang awam di internet menunjukkan kelonggaran dan pengecualian ini cenderung terbatas dan tidak memadai. Kebanyakan kelonggaran hanya terdapat dalam bentuk tempoh transisi selama beberapa tahun, di mana obligasi perlu dipatuhi. Pengecualian dalam bab pengecualian umum dalam FTA Amerika Syarikat sedia ada tidak merujuk kepada beberapa bab utama dan obligasi, dan begitu payah untuk digunakan sehinggakan sukar untuk melakukannya. Oleh itu adalah penting untuk tidak bergantung kepada kelonggaran tersebut apabila memutuskan sama ada selamat untuk menandatangani TPPA kecuali ia didapati benar-benar sahih, meluas, mudah untuk digunakan dan kekal.

Menurut CAP, kesan-kesan ini ke atas Malaysia sudah cukup buruk dan kita juga tidak dapat menjamin bahawa apa sahaja cadangan yang dikemukakan oleh pasukan perunding Amerika Syarikat boleh memberi manfaat.

Ini kerana dasar dagangan, termasuk TPPA berada di bawah bidang kuasa Kongres Amerika Syarikat. Oleh itu Kongres boleh menolak mana-mana bahagian daripada TPPA itu dan meminta pihak Pentadbiran mendapatkan lain-lain negara TPPA agar menerima pindaan.

Encik Idris menambah, Presiden Amerika Syarikat telah berusaha untuk mendapatkan kuasa ‘fast-track’  dari Kongres (di mana Kongres hanya boleh meluluskan atau menolak tetapi tidak boleh mengubah TPPA) tetapi beliau gagal mendapatkannya berikutan bantahan daripada majoriti ahli Kongres. Sehubungan ini, sesetengah negara dilaporkan menyatakan bahawa mereka tidak akan menandatangani TPPA jika Presiden Amerika Syarikat tidak mendapat kuasa ‘fast track’. “Kami percaya Malaysia juga perlu mengambil langkah yang sama dan tidak sepatutnya membuat sebarang konsesi apabila Amerika tidak mempunyai bidang kuasa ‘fast track’, kata Encik Idris.

Tambahan pula, majoriti ahli-ahli Kongres menegaskan bahawa  unsur ‘manipulasi matawang’ dimasukkan ke dalam TPPA. Mana-mana negara TPPA yang memanipulasi matawangnya akan disekat produknya dengan tarif tambahan. Malaysia merupakan satu dari dua negara TPPA (satu lagi ialah Singapura) yang telah dinamakan sebagai manipulator matawang menurut  kriteria yang diguna pakai oleh seorang pemimpin Kongres.

CAP ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa ketika Sidang Kemuncak TPPA yang berlangsung di Bali dalam bulan Oktober 2013, beliau telah menyatakan bahawa isu-isu seperti IP, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar, buruh dan ISDS adalah isu-isu yang mempengaruhi hak kedaulatan sesebuah negara untuk membuat peraturan dan dasar.

“Justeru kami percaya YAB berkongsi kebimbangan kami dan ramai rakyat Malaysia mengenai bahaya yang didedahkan oleh TPPA dan potensi keuntungannya yang terbatas.”

Sehubungan itu, Encik Idris menggesa Perdana Menteri supaya mengumumkan bahawa Malaysia menarik diri daripada TPPA, atau sekurang-kurangnya  tidak menawarkan sebarang konsesi apabila beliau bertemu Presiden Obama kelak.

Kenyataan Akhbar - 24 April 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt