Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Nelayan Pantai Yan Diancam Bot Pukat Siput

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan Kedah dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi ancaman bot pukat siput ke atas nelayan pantai daerah Yan ketika ini. Masalah itu telah menyebabkan sumber pendapatan lebih 300 nelayan pantai di daerah tersebut  terjejas teruk.

Kegiatan nelayan bot pukat siput ini berlaku pada waktu malam telah menyebabkan kawasan tangkapan nelayan pantai tercemar dengan serius. Bot pukat siput yang terlibat dengan kegiatan itu berpengkalan di Kuala Sungai Yan, Tanjung Dawai dan Kuala Kedah.
 
Air laut di Zon A telah menjadi busuk menyebabkan ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan-nelayan pantai di sini berkurangan.
 
Pada masa yang sama pukat siput yang digunakan itu juga memerangkap serta membunuh anak-anak ikan bersaiz kecil dan menjejaskan pembiakannya serta boleh menyebabkan berlakunya kepupusan sumber perikanan pada masa akan datang.
 
Dua tahun yang lalu masalah serupa turut di alami oleh nelayan-nelayan pantai di Kuala Kedah di mana banyak pukat kepunyaan mereka rosak akibat kegiatan bot pukat siput di kawasan itu. Malah ada di kalangan nelayan di sini pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang hasil tangkapan.
 
CAP kesal walau pun isu ini telah berlarutan sejak lebih 20 tahun yang lalu namun hingga sekarang penggunaan pukat siput masih berterusan.
 
Jika keadaan ini terus dibiarkan tanpa pemantauan rapi dan tindakan berkesan oleh pihak berkuasa berkenaan, sumber perikanan dan mata pencarian nelayan-nelayan pantai yang terlibat akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.
 
CAP meminta Jabatan Perikanan Kedah menarik balik permit yang dikeluarkan bagi tujuan itu dan tidak lagi mengeluarkannya sehingga kajian dari pihak berkenaan terbukti kegiatan dan penggunaan pukat siput ini tidak mendatangkan keburukan kepada alam sekitar, sumber perikanan dan kehidupan nelayan pantai di sini.
 
Berdasarkan maklumat dan aduan dari nelayan pantai kepada CAP, kami berpendapat pukat siput perlu diharamkan penggunaannya kerana ia menimbulkan berbagai masalah kepada mereka dan sumber perikanan di perairan negeri ini.

Kenyataan Media - 8 April 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt