Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Alat Tangkapan Musnah Dilanggar Bot Pukat Tunda

CAP Kesal Nelayan Pantai Yang Terlibat Gagal Dapat Pampasan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan peruntukan khas bagi membantu nelayan pantai yang mengalami kerugian akibat kerosakan alat tangkapan kerana dilanggar oleh bot pukat tunda.

Tindakan segera perlu dilakukan oleh kementerian ini memandangkan masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu semakin serius di hadapi oleh golongan tersebut sehingga membebankan kehidupan mereka.

CAP telah menerima banyak aduan dari nelayan-nelayan pantai yang terlibat bahawa mereka gagal memperolehi sebarang pampasan sama ada dari pengusaha bot pukat tunda atau pihak kerajaan setelah alat tangkapan seperti jaring dan bubu musnah dilanggar oleh bot berkenaan.

Kejadian seumpama itu kerap berlaku di Zon A, lima batu nautika dari pantai kerana bot pukat tunda sering menceroboh kawasan berkenaan yang menjadi tempat nelayan pantai menjalankan aktiviti tangkapan seperti yang termaktub di bawah peraturan Akta Perikanan 1985.

Pencerobohan oleh bot pukat tunda ini sering berlaku di waktu malam pada jarak hanya dua atau tiga batu nautika saja dari pantai. Nelayan pantai yang alat tangkapan mereka musnah dilanggar oleh bot pukat tunda mengalami kerugian antara RM600.00 hingga RM3,000.00 seorang.

Akibat kejadian itu nelayan terbabit tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan kerana tidak mempunyai alat tangkapan. Ada di antara mereka terpaksa menggadai barang kemas dan berhutang untuk membeli peralatan baru bagi meneruskan kerja-kerja tangkapan demi menyara kehidupan keluarga.

CAP kesal walau pun masalah ini sudah lama berlaku dan di hadapi oleh ramai nelayan pantai di negara ini namun masih tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan bagi membela nasib mereka.

CAP juga meminta Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) turut memainkan peranan dalam usaha membantu mereka yang mengalami kerugian dalam kes ini mendapatkan pampasan dari pengusaha bot pukat tunda yang terlibat.

Kenyataan Akhbar – 28 Mac 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt