Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kepalsuan Dalam Rundingan TPPA

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menganggap bahawa sesi rundingan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mendapatkan input berhubung Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) adalah satu kepalsuan kerana Kementerian itu gagal untuk mempertimbangkan gesaan kami berulangkali supaya menarik diri dari TPPA.

Banyak organisasi di Malaysia dan seluruh dunia telah menyuarakan bantahan terhadap TPPA yang sedang dirundingkan oleh 12 negara di rantau Asia Pasifik. Negara yang sedang merundingkan TPPA pada masa ini ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Kami telah mengemukakan beberapa kebimbangan dan garis merah kepada kerajaan Malaysia tetapi ia masih belum ditangani sepenuhnya. Jaminan bahawa kerajaan tidak akan bersetuju terhadap peruntukan yang bertentangan dengan kepentingan negara, hanya tinggal jaminan. Bagaimana boleh kita mengetahui apakah yang sedang dirundingkan bagi pihak kita memandangkan teks draf tidak didedahkan? Tambahan pula manfaat TPPA masih tidak berasas.

Kini MITI menjemput CAP menghadiri satu lagi perundingan pada 14 Februari di Kuala Lumpur kerana mesyuarat bersama menteri-menteri negara yang sedang merundingkan TPP akan diadakan di Singapura pada akhir Februari 2014. Jemputan itu hanya difakskan kepada CAP pada 11 Februari, jam 17.13. Di samping notis singkat itu, kami juga amat kecewa kerana beberapa isu yang dikemukakan oleh CAP dalam surat kami dan dalam rundingan sebelum ini tidak dipertimbangkan dengan serius. Oleh itu, CAP akan memboikot rundingan ini.

Tambahan lagi, analisis terbaharu CAP menunjukkan kos TPPA jauh mengatasi manfaatnya. Dalam bab barangan TPPA sahaja, kos mengatasi manfaat lebih daripada 6.5 kali. Selanjutnya, Malaysia sudah pun mempunyai FTA dengan tujuh negara TPPA lain (kecuali Kanada, Mexico, Peru dan Amerika Syarikat) yang mengurangkan atau menghapuskan tarif mereka ke atas eksport Malaysia. Jadi kenapa kita memerlukan TPPA? Ringkasan analisis disertakan.

Berdasarkan kepada isu yang dikemukakan di atas, kami menggesa kerajaan Malaysia supaya menarik diri dari rundingan TPPA dengan segera dan tidak menandatangani TPPA.

Sidang Akhbar - 13 Februari 2014

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt