Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Nelayan pantai P.Pinang terpaksa berhutang bergadai

Bot pukat tunda terus bermaharajalela

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil tindakan lebih berkesan bagi mengawal kegiatan pencerobohan bot pukat tunda di kawasan tangkapan nelayan pantai di negeri ini.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati lebih 2,000 nelayan pantai di 10 pengkalan daerah barat daya di sini terjejas sumber pendapatan harian akibat kegiatan itu. Pengkalan-pengkalan nelayan yang terlibat ialah Pulau Betong,Kuala Jalan Baru, Sungai Burung,Gertak Sanggul,Teluk Kumbar, Teluk Tempoyak,Sungai Batu ,Permatang Damar Laut, Permatang Tepi Laut dan Batu Maung.

CAP difahamkan bot pukat tunda yang berpengkalan di Batu Maung itu kerap menceroboh kawasan tangkapan nelayan pantai di sini pada waktu malam dan beroperasi hanya 1 batu nautika atau 2 batu nautika saja dari pantai.

Kegiatan bot-bot pukat tunda ini bukan saja mengancam sumber perikanan di kawasan pantai tetapi juga membunuh anak-anak ikan (benih), mencemarkan dasar laut dan kawasan pantai serta melanggar dan memusnahkan jaring kepunyaan nelayan-nelayan pantai di sini.

Seorang nelayan Idris Ishak,62 berkata selain kemerosotan pendapatan dari lebih RM100.00 sehari kepada RM15.00 sehari akibat ancaman bot pukat tunda ini, ada di antara nelayan-nelayan di sini turut mengalami kerugian besar kerana jaring mereka musnah dilanggar oleh bot-bot pukat tunda tersebut.

Beliau memberitahu ramai nelayan pantai yang terlibat dengan masalah ini terpaksa berhutang untuk membeli pukat baru bagi meneruskan kerja-kerja tangkapan dan menyara kehidupan keluarga.

Seorang nelayan wanita Fatimah Abdullah,51 pula berkata kerana bot pukat tunda beliau terpaksa menggadai barang kemas kerana tidak cukup wang untuk menyara persekolahan anaknya. “ Pergi ke laut kadang-kadang dapat sedikit, kadang-kadang pulang dengan tangan kosong” keluhnya.

Ia merasa kesal walau pun masalah ini begitu serius menjejaskan kehidupan mereka tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkenaan.

Seorang lagi nelayan Foo Kok Keong,57 mendakwa beliau telah mengalami kerugian sebanyak RM1,300.00 kerana jaringnya musnah dilanggar oleh bot pukat tunda, tetapi pengusaha bot pukat tunda yang terlibat hanya membayar gantirugi sebanyak RM600.00 sahaja kepadanya.

Beliau yang mempunyai tiga orang anak merasa bimbang mengenai masa depan keluarganya kerana setiap hari ia terpaksa berhadapan dengan masalah kekurangan hasil tangkapan dan memperolehi pendapatan yang amat sedikit.

Kok Keong berharap APMM dan pihak kerajaan dapat memberi perhatian berat terhadap masalah ini di samping mengambil tindakan tegas ke atas bot-bot pukat tunda yang menceroboh kawasan tangkapan mereka.

CAP turut kesal dan merasa bimbang dengan isu pencerobohan bot pukat tunda yang berlaku di negeri ini. Walau pun gesaan dan bantahan telah berulang kali dibuat oleh CAP serta nelayan-nelayan pantai yang terlibat tetapi keadaanya tidak berubah malah masalah tersebut semakin serius berlaku.

Penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 yang lemah menyebabkan bot pukat tunda bermaharajalela dan ancaman ke atas sumber perikanan serta nelayan pantai masih berterusan.

CAP percaya jika keadaan ini tidak ditangani segera ia bukan saja boleh menjejaskan mata pencarian nelayan pantai dengan lebih teruk lagi malah sumber perikanan di perairan negeri ini mungkin pupus dalam jangka masa 10 tahun akan datang.

CAP mendapat tahu bot pukat tunda semakin rakus mengaut anak ikan ( ikan kecil atau benih ikan ) di laut kerana ia laris dijual sebagai ikan baja dan makanan ikan ternakan untuk projek akuakultur.

Sehubungan itu CAP menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan pukat tunda bukan saja di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara agar perairan Malaysia tidak ketandusan sumber perikanan dan rakyat mendapat bekalan makanan yang mencukupi pada masa akan datang.

Kenyataan Media - 19 September 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt