Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Ucapan Perasmian S. M. Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang di Forum Kesan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), Sabtu, 22 Jun 2013

Tuan-Tuan & Puan-Puan,
Selamat datang ke forum yang dianjurkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Semua yang berada di sini datang untuk mendengar dan mempelajari bagaimana Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), yang pada masa kini sedang dirundingkan oleh Kerajaan Malaysia, akan memberi kesan bukan hanya kepada anda semua tetapi juga kepada generasi masa depan kita.

Negara-negara yang terlibat dengan TPPA adalah Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. TPPA ini adalah versi yang dipertingkatkan daripada perjanjian perdagangan bebas AS (FTA) sebelum ini yang direka khusus untuk memaksimumkan kuasa dan keuntungan korporat. Pusingan rundingan TPPA akan datang, yang merupakan pusingan ke 18, akan diadakan di Malaysia pada 15 – 25 Julai 2013. Jepun dijangka turut serta dalam rundingan ini untuk pertama kali.  

Pada masa lepas, CAP dan pertubuhan lain telah membantah FTA AS-Malaysia kerana potensi kesan ke atas kehidupan kita. Hari ini kita sekali lagi berkumpul di sini untuk membantah TPPA. Untuk makluman semua, bukan hanya kita yang membantah FTA dan TPPA; warganegara dari bahagian lain di dunia ini juga turut berbuat demikian.

Saya ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada wakil dari Majlis Aids Malaysia (MAC), EcoKnights, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Third World Network (TWN), Jaringan Rakyat Tertindas dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang datang dari Kuala Lumpur untuk bersama kita bagi menjelaskan isu yang amat penting ini. Kami menggesa agar pihak MITI dapat mendengar dengan serius kebimbangan rakyat.

Berikut adalah alasan kenapa kami membantah TPPA:
1. Rundingan dan teks rundingan dirahsiakan, dan semua kerajaan TPPA telah bersetuju untuk meneruskan kerahsiaan teks rundingan itu sehingga empat tahun selepas perjanjian itu ditandatangani. “Terdapat satu pengecualian kepada kerahsiaan ini: sekumpulan kira-kira 600 “penasihat” perdagangan yang didominasi oleh perwakilan dari perniagaan besar, menikmati keistimewaan akses kepada draf teks dan perunding,” kata Lori Wallach, Peguam Amerika dan Pengarah Public Citizen’s Global Trade Watch.

2. Bab pelaburan akan memberikan kuasa kepada korporat asing untuk tidak mempedulikan dan mengatasi sistem parlimen, perundingan dan kehakiman negara kita. Peruntukan lain ialah mengehadkan kemampuan kerajaan untuk mengimbangi perlindungan kepentingan awam, kesihatan, alam sekitar dan hak asasi manusia terhadap kepentingan korporat swasta.

3. Akses kepada ubatan murah yang mampu dimiliki dan boleh menyelamatkan nyawa berjuta orang akan terancam memandangkan TPPA akan menyediakan perlindungan yang tinggi bagi paten dan data klinikal bagi syarikat farmaseutikal yang besar. Ini akan menyukarkan syarikat genetik untuk menghasilkan ubatan generik yang lebih murah dan mampu untuk dimiliki, serta melewatkan dan menghadkan akses kepada ubatan generik.

4. Jika tempoh masa hak cipta dilanjutkan sepertimana yang dicadangkan oleh AS menurut teks yang dibocorkan, akses kepada maklumat dan pengetahuan akan terjejas, dan akan terdapat kesan negatif ke atas sektor penyelidikan dan pendidikan.

5. Mengurangkan tarif ke atas produk pembuatan dan ladang akan mengakibatkan ramai orang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian mereka akibat kebanjiran barangan import yang murah menjadikan syarikat tempatan kita akan kehilangan perniagaan mereka.

Di samping itu, terdapat banyak lagi alasan kenapa Malaysia tidak sepatutnya menandatangani TPPA. Ahli panel forum kita pada hari ini akan menjelaskan kepada anda semua dengan terperinci kesan TPPA. Kita juga berpeluang untuk mendengar ketua perunding bagi Malaysia di TPPA mengenai kedudukan negara kita.

Akhir sekali, saya menggesa semua pihak bersatu padu menuntut hak kita untuk hidup, kesihatan, mata pencarian, kesaksamaan, ekuiti, makanan, alam sekitar, pengetahuan, sistem hidup dan kehidupan tradisional tidak terjejas oleh TPPA. Kita, secara kolektif mestilah memastikan kerajaan tidak menandatangani TPPA.

Sekian. Terima Kasih.

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt