Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kerajaan perlu mengiktirafkan hak-hak orang pelarian

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) rasa kecewa dengan cadangan yang tidak berperikemanusiaan daripada beberapa pihak bahawa Malaysia sepatutnya menghalang dan juga mengusir pelarian Rohingya yang ada di negara kita. Mereka telah melarikan diri daripada negara asal mereka kerana nyawa mereka terancam dan ia sama seperti menjatuhkan hukuman mati jikalau kita mengusir mereka.

Memang ada segelintir rakyat, NGO dan juga ahli politik yang menentang penempatan orang Rohingya di Malaysia. Alasan yang diberi bagi prejudis mereka adalah bahawa pelarian Rohingya bersifat kotor, biadap, tidak menghormati budaya kita dan juga menuntut untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Namun demikian, memang tidak adil untuk kita menjatuhkan hukuman ke atas keseluruhan kelompok manusia kerana kelakuan buruk segelintir daripada mereka; dalam sebarang kelompok manusia mesti ada yang berkelakuan baik dan juga buruk.

Kebanyakan pelarian Rohingya di Malaysia menyatakan dengan jelas mereka menghargai peluang menjadikan Malaysia sebagai kediaman sementara dan mereka hanya mahu pulang ke Myammar atau menetap di negara ketiga. Mereka bukan sahaja perlu menghadapi sikap ketaksuban sesetengah golongan rakyat tetapi juga tekanan mental dan emosi yang muncul disebabkan ketidakpunyaan kewarganegaraan dan kebergantungan kepada jasa baik orang lain untuk hidup.

Malaysia tidak mengiktirafkan status pelarian Rohingya sebagai orang pelarian tetapi sebagai pendatang tanpa izin ataupun orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan. Ini menyebabkan kesukaran untuk mereka hidup dengan baik. Mereka tidak dapat bekerja secara sah di negara kita dan mereka juga tiada akses kepada sistem penjagaan kesihatan dan sistem pendidikan. Semua ini memberikan mereka imej yang buruk dan kehadiran mereka di sini mempunyai konotasi negatif.

Jikalau kerajaan mengiktirafkan status orang pelarian, ia bukan sahaja akan membawa faedah kepada orang Rohingya tetapi akan membawa faedah kepada negara kita juga. Pelarian Rohingya akan dapat bekerja secara sah dan hasil daripada itu mereka akan membayar cukai dan menyumbang kepada masyarakat. Anak-anak mereka boleh pergi ke sekolah untuk mendapatkan pendidikan dan belajar bagaimana cara bersosialisasi. Tambahan lagi kita tidak perlu rasa bimbang bahawa penyakit berbahaya, seperti Covid-19, akan merebak di kawasan yang mempunyai ramai pelarian Rohingya dan seterusnya mereka akan menyebarkannya kepada orang lain. Mereka tidak akan rasa takut untuk mendapatkan rawatan perubatan apabila tidak sihat; dan apabila mereka mendapat rawatan yang sepatutnya sebarang epidemik dapat dielakkan daripada berlaku.

Kami memohon agar kerajaan mengiktirafkan status pelarian Rohingya dan juga pelarian dari negara lain yang menetap di Malaysia. Kerajaan perlu mengiktirafkan hak mereka untuk bekerja, mendapatkan pendidikan dan mendapatkan akses kepada sistem kesihatan seperti termaktub dalam perjanjian antarabangsa, misalnya Konvensyen Pelarian 1951 atau juga diketahui sebagai Konvensyen Geneva. Sudah tiba masanya kita berhenti menghina mereka yang telah dianiayai secara tidak adil oleh rakyat dan kerajaan mereka sendiri.


Kenyataan Akhbar/Surat kepada Pengarang, 29 April 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt