Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

FAMA - cekapkan kerja!

Kala ini merupakan masa kritikal bagi negara. Petani sayur-sayuran dengan hasilnya untuk dijual. Pengguna dengan permintaan untuk sayur-sayuran ini. Tetapi nampaknya, rantaian bekalan adalah terputus atau tidak berfungsi dengan berkesan. Oleh itu, petani menyimpan hasilnya dan pengguna menjangkakan harga sayur akan meningkat seawal minggu depan.

Menurut sumber pasaran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), permintaan untuk sayur-sayuran memang ada, tetapi berlaku kekurangan bekalan. Ketika kami bertanya kepada pengeluar sayur terbesar di negara ini - Cameron Highlands - mereka menjelaskan bahawa mereka berada dalam keadaan sukar kerana masalah pengangkutan untuk menghantar sayur-sayuran ke pasar.

Kami mengulangi apa yang kami katakan lebih dari seminggu yang lalu kepada pembuat dasar. Kami menyarankan kepada Kerajaan untuk mengadakan Lorong Hijau (Green Lane) agar bekalan penting dapat diangkut ke seluruh negara dengan sekatan minimum. Melaksanakan Lorong Hijau bukanlah sains roket dan Kesatuan Eropah (EU) telah merancangnya pada awal pandemik COVID-19 ini. Makanan sangat mustahak jika sesebuah negara tidak menginginkan lebih banyak masalah untuk dihadapi kerana kekurangan makanan boleh menyebabkan harga makanan melambung tinggi ketika mengalami kemelesetan ekonomi.

Sekadar maklumat, EU yang terdiri dari 27 negara sudah mempunyai Lorong Hijau untuk mengangkut barang keperluan seperti makanan, peralatan perubatan serta pelindung, dan bahan pembungkusan barang keperluan sejak bulan Mac.

Kami berharap Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bertindak dengan lebih cekap dan berkesan. FAMA harus memainkan peranan mereka dalam mengatur dan menyelaraskan pengangkutan bagi petani untuk membantu mereka mencapai pengguna. Ini bukan masanya untuk birokrasi kerana seluruh negara berada dalam kesusahan.

Kami ingin mengulangi bahawa Malaysia perlu dengan segera melaksanakan Lorong Hijau di seluruh negara dan FAMA harus membantu petani untuk menghantar hasil mereka ke destinasi masing-masing. Ini mesti dilakukan sebelum harga sayur-sayuran membebankan pengguna.

 

Kenyataan Akhbar,17 April 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt