Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Cadangan mansuhkan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah dialu-alukan

Seksyen 309 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa “mana-mana individu boleh didakwa jika beliau cuba untuk membunuh diri sendiri dengan kemungkinan dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.”

Cubaan membunuh diri sering dikaitkan dengan keadaan kesihatan mental seseorang. Rawatan yang diberikan kepada orang yang cuba membunuh diri kurang empati (rasa belas kasihan) dan sudah ketinggalan zaman. Sehubungan itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong cadangan memansuhkan cubaan membunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah kerana kita perlu memahami kenapa seseorang itu melakukannya.

Oleh itu, kerajaan dan masyarakat secara keseluruhan perlu berbelas kasihan terhadap mereka yang gagal melakukan cubaan itu dan bukannya mengenakan dakwaan ke atasnya di bawah  Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Pendekatan perundangan seperti itu dalam usaha menangani cubaan membunuh diri tetapi gagal adalah kurang wajar jika dilihat dari sudut pemahaman moden masa kini berhubung perbuatan membunuh diri.

Dengan lebih 125 warga Malaysia cuba membunuh diri dalam sehari, terdapat lima kes mangsa berjaya melakukannya. Mengikut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2017, 29 peratus warga Malaysia mengalami masalah kemurungan dan gangguan kegelisahan berbanding cuma 12 peratus pada 2011. Begitu juga terdapat peningkatan dalam kes-kes terfikir untuk membunuh diri dalam kalangan remaja berusia 13 – 17 tahun kepada 10 peratus pada 2017, dari 7.9 peratus pada 2012.

Kajian itu juga menunjukkan 18.3 peratus dalam kumpulan umur tersebut mengalami kemurungan. Cubaan membunuh diri atau mati kerananya berpunca daripada beberapa faktor: mempunyai sejarah cuba membunuh diri; mengalami kemurungan dan/atau masalah kemurungan; penyalahgunaan dadah atau alkohol; mengalami penyakit yang kronik; dan merasa kesunyian. Menjelang 2020, kesakitan mental dijangka bakal menjadi masalah kesihatan kedua yang terbesar menjejaskan warga Malaysia selepas sakit jantung.

Lihatlah beberapa kes berikut:

· Pada Oktober 2019, seorang budak perempuan berusia 10 tahun terpaksa dipujuk supaya tidak meneruskan hasratnya untuk membunuh diri dengan cuba terjun dari tingkat 20 sebuah flat di Larkin, Johor Baharu.

· Pada Ogos 2019, seorang budak lelaki berusia 13 tahun dari Pulau Pinang menggantung dirinya sampai mati kerana tidak tertahan dengan kerja sekolah yang banyak.

· Pada Julai, seorang remaja dari Beaufort, Sabah menggantung dirinya selepas dimarahi oleh kakaknya kerana ponteng sekolah.

· Pada Mei 2019, seorang remaja perempuan di Kuching meminta pandangan pengikut Instagramnya sama ada dia perlu hidup atau mati. 69 peratus mengundi bahawa dia patut mati. Dia kemudian terjun bangunan hingga membawa maut.

Kita seharusnya melihat sebab-sebab kemapa mereka memilih untuk membunuh diri dalam usia semuda itu dan begitu jugalah dengan golongan dewasa. Menghukum mereka yang cuba mencabut nyawa sendiri mungkin akan merangsang mereka untuk melakukannya dan bukan melembutkan hati mereka.

Sementara itu ahli keluarga dan rakan-rakan perlu mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit mental. Kira-kira 50 hingga 60 peratus mereka yang cuba membunuh diri telah memberikan beberapa tanda amaran mengenai niat mereka itu kepada ahli keluarga atau rakan. Oleh itu perbuatan cuba membunuh diri mungkin boleh dihalang jika terdapat campurtangan yang positif. Malangnya masih ramai yang kurang memahami masalah tersebut.

Pesakit yang mengalami gangguan mental sering diasingkan dan sebahagian besar daripadanya dikategorikan sebagai “gila”, dan bukannya dengan cuba memahami keadaan dan keperluan mereka. Laporan pada 2015 menyebut kira-kira 60 peratus mangsa lebih rela mendapatkan rawatan dari bomoh atau paderi daripada mendapatkan rawatan perubatan di hospital. Seringkali ibu bapa berasa takut dengan anggapan buruk masyarakat berkaitan penyakit mental, yang membabitkan kepercayaan karut dan salah tanggapan.

Sehubungan itu, kami menggesa kerajaan supaya memansuhkdn tuduhan membunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah kerana ia akan memberi kelegaan kepada ahli keluarga mangsa yang gagal membunuh diri. Terdapat lebih 200 jenis penyakit mental namun ia dianggap sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya diperkatakan. Lebih banyak usaha perlu dikerah dalam mengenal pasti punca-punca kenapa seseorang membunuh diri dan menangani perkara tersebut dengan sewajarnya. Agensi-agensi kerajaan yang berkenaan juga boleh mengadakan pameran/pameran bergerak untuk mendidik orang ramai mengenai penyakit mental dan perbuatan membunuh diri.

 

Kenyataan Akhbar, 10 Februari 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt