Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Bertindak Terhadap Risiko Automasi: Revolusi Industri 4 (4IR) Malapetaka atau Rahmat

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat prihatin berhubung peningkatan laporan pekerja yang akan kehilangan kerja mereka akibat kemunculan “Revolusi Industri 4 (4IR), yang digembar-gemburkan untuk menggantikan banyak kemahiran dan fungsi dengan automasi yang dibantu oleh perisian.

Pembuangan pekerja, terutama sekali tenaga kerja kanan yang bekerja dalam bidang mereka sejak berdekad, akibat pengenalan automasi dan teknologi merupakan fenomena yang membimbangkan yang masih belum diberikan pengiktirafan.

Pada 3 Januari 2018, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Baradan memberi amaran bahawa automasi akan terus menjadi faktor bagi kehilangan kerja tahun ini memandangkan lebih banyak syarikat bertukar kepada automasi, penggunaan robotik dan teknologi maklumat. Kira-kira 18,000 pekerjaan hilang apabila bank menggunapakai penggunaan teknologi maklumat yang lebih tinggi pada 2016, beliau berkata industri insurans juga sedang menuju ke arah yang sama dengan kemungkinan kehilangan sebahagian besar pekerjaan.

Persatuan Bank Malaysia (ABM) menyatakan pada 15 Januari 2018 bahawa skim pemisahan sukarela (VSS) oleh bank di Malaysia adalah sebahagian daripada usaha bank untuk menyelaraskan semula strategi dalaman mereka selaras dengan “kemajuan teknologi yang lebih didorong sistem”. Ia berkata dengan kemunculan teknologi kewangan dan pendigitalan dalam sektor perbankan, bank mungkin mengambil pendekatan untuk mengurangkan tenaga kerja mereka dalam bidang operasi tertentu sementara meningkatkan tenaga kerja dalam bidang tumpuan utama lain, dengan jelas merujuk kepada mereka yang berkaitan dengan teknologi maklumat.

Pada 15 Disember 2017, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa orang ramai bersedia untuk berdepan dengan 4IR dalam usaha untuk memajukan negara ini. Beliau menarik perhatian kepada kenyataan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum itu bahawa orang ramai tiada pilihan kerana mereka perlu menerima hakikat bahawa “Industri 4.0” akan membawa kejayaan kepada visi Transfomasi Nasional 2050.

CAP mempunyai pandangan yang berbeza, dan menggesa kerajaan Malaysia dan sektor swasta supaya mengambil pengetahuan mengenai kelemahan dan kekurangan yang dikaitkan dengan kemunculan 4IR. Ini termasuklah kesannya ke atas masyarakat dan ekonomi, terutama sekali yang berkaitan dengan kehilangan kerja kepada automasi, dan lebihan yang akan dihasilkan bagi mereka yang mempunyai pelbagai kemahiran dan kepakaran yang sedia ada.

Terdapat beberapa isyarat amaran daripada pihak berkuasa antarabangsa berhubung bahaya yang dihadapi daripada “revolusi” 4IR.

Laporan Risiko Global 2017 Forum Ekonomi Dunia (WEF) memberi amaran bahawa apabila 4IR semakin meningkat, ramai individu akan berdepan potensi krisis. Ini termasuklah pekerja berkemahiran rendah lebih mudah digantikan oleh automasi, pekerja sendiri dan separuh masa tanpa akses kepada perlindungan tajaan majikan dan pekerja yang berusia serta pesara tanpa simpanan yang mencukupi atau pencen. “Kegagalan untuk mengambil tindakan berisiko kepada kemerosotan kewangan kerajaan dan diperparahkan lagi oleh pergolakan sosial, terutama sekali pada masa pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan ketidaksamaan yang semakin meluas,” laporan itu memberi amaran.

Dalam mesyuarat WEF mengenai ASEAN di Phnom Penh pada Mei tahun lalu, Wolfgang Jamann, Setiausaha Agung dan Ketua Pegawai Eksekutif CARE International, juga mengulas bahawa perubahan teknologi amat besar terhadap seluruh masyarakat, bukan hanya generasi tua. Beliau berkata perubahan berlaku begitu cepat yang memerlukan kita mengenal pasti bukan hanya mengenai peluang yang dihasilkan tetapi juga mengenai mereka yang ketinggalan.

Pada hakikat sebenarnya, kesan negatif automasi dan aliran 4IR termasuklah kemahiran dan pengetahuan yang diwarisi, adalah lebih serius berbanding mereka yang sanggup mengakuinya. Ia mendedahkan risiko kehilangan kemampuan intelektual manusia yang unik, yang berevolusi berabad lamanya, untuk kelangsungan hidup dan berkembang dalam pelbagai situasi tanpa pergantungan kepada teknologi berasaskan tenaga tiruan.

Kita sudah pun melihat kelenyapan ramai tukang tradisional yang mahir, penenun tekstil, tukang emas, pemungut tol, penjual suratkhabar, operator telefon, pembawa surat, penaja jamin insurans, pekerja dan juruwang bank yang digantikan oleh sistem bayaran elektronik.

Pada April tahun lalu, Khazanah Research Institute berkata dalam satu laporan berhubung teknologi, pekerjaan dan ekonomi Malaysia bahawa 54% daripada semua pekerjaan di Malaysia berisiko digantikan oleh teknologi dalam dua dekad akan datang. Laporan itu menjelaskan bilangan itu sebagai “membimbangkan” tetapi tidaklah dijangka, memandangkan penemuan yang sama bagi negara lain. Ia menyatakan empat daripada lima pekerjaan ini adalah separuh mahir. “Rakyat Malaysia adalah mereka yang paling terjejas, bukannya pekerja asing – 90% daripada semua pekerjaan separuh mahir adalah dipegang oleh rakyat Malaysia,” katanya. Daripada semua sektor ekonomi utama, lebih daripada 70% daripada separuh mahir dan 80% daripada semua pekerjaan kemahiran rendah berisiko tinggi, dengan kira-kira 40% kerja mahir berisiko sederhana, menurut laporan itu lagi.

Motif utama bagi syarikat untuk membuang pekerja dengan memperkenalkan automasi sebagai alternatif ialah untuk memaksimumkan keuntungan. Penggunaan teknologi yang tidak memerlukan upah dan faedah perundangan sepertimana yang diperlukan untuk pekerja, malah membantu mewujudkan perbadanan tanpa wajah manusia. Ia mengenai mengembangkan keuntungan daripada kepentingan manusia dan pekerja. Ia juga benar ketika kemelesetan ekonomi.

Peminggiran pekerja di bawah bantuan 4IR menjadikan kekayaan semakin meningkat dengan tertumpu ditangan segelintir kumpulan kecil manusia. Ia melebarkan jurang pendapatan dan sudah pun menambah jurang dalam kalangan masyarakat moden.

Adalah menjadi kewajipan kepada majikan untuk mengambil segala langkah untuk mengekalkan kakitangan lama yang jika tidak akan menjadi mangsa oleh serangan 4IR. Pihak syarikat mesti menyediakan alternatif yang sesuai seperti melatih semula mereka dan umpamanya membiarkan mereka bekerja tiga hari seminggu.

CAP menggesa semua pihak untuk memastikan perlindungan dan pemuliharaan sumber tradisional kita, fizikal dan budaya sebelum terlambat. Situasi ini perlu ditangani tanpa menjejaskan kemajuan ekonomi lestari. Kita melakukan satu kesilapan dengan mempromosikan kebangkitan 4IR, sehingga menjejaskan kerjaya dan sara hidup, dan kehilangan aset sosioekonomi dan budaya masyarakat kita.

Surat Kepada Pengarang, 26 Januari 2018

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt