Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

KES BANKRAP JEJASKAN NEGARA

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat bimbang mengenai bilangan rakyat Malaysia yang terdorong ke arah bankrap atau berada diambangnya. Lebih daripada suku juta – 294,000 rakyat Malaysia terlibat dalam kes bankrap. Sebahagian besarnya disumbang oleh kegagalan untuk menyelesaikan pinjaman sewa beli, pinjaman kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan penjamin sosial (akibat penghutang yang tidak membayarnya).

Menurut laporan berita 2013, kebanyakan mereka yang bankrap adalah dalam kumpulan usia 35 hingga 44 tahun (34 peratus). Amat membimbangkan bahawa kira-kira 22,663 rakyat Malaysia di bawah usia 35 tahun dilaporkan bankrap daripada 2011 hingga September 2015. Mereka sepatutnya tidak tercemar oleh kebankrapan terutama sekali pada usia di mana mereka sedang membina kerjaya dan keluarga.

Didapati bahawa punca utama bankrap antara 2011 dan 2015 adalah disebabkan kegagalan bayaran pinjaman terutama sekali pinjaman pembelian kenderaan (28,374 kes; 27.94 peratus); pinjaman perumahan (21,697 kes; 21.36 peratus); pinjaman peribadi (20,727 kes; 20.41 peratus); dan pinjaman perniagaan (11,899 kes; 11.71 peratus).

Pemilikan kenderaan di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di dunia dan niat untuk membelinya adalah yang tertinggi. Ia tidak menghairankan kerana sepertimana yang didedahkan dalam laporan berita, satu daripada empat orang yang mengalami bankrap adalah disebabkan oleh kegagalan membayar pinjaman kenderaan.

Ramai rakyat Malaysia cenderung untuk hidup di luar kemampuan mereka, dengan itu menjadikan mereka mudah terjejas kerana tidak mampu untuk membayar semula pinjaman mereka. Ini bukan hanya berlaku terhadap mereka yang mengambil pinjaman untuk membeli kenderaan tetapi juga untuk tujuan lain seperti mengambil pinjaman peribadi untuk membeli rumah, atau membiayai pendidikan tinggi. Ini mengakibatkan belanjawan mereka melangkaui kemampuan mereka.

Sebagai cara untuk menggalakkan penggunaan tanpa tunai, Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) kad kini dimasukkan ciri-ciri ‘Kad Debit’ dengan itu mendedahkan seseorang itu kepada perbelanjaan berlebihan melainkan mereka dapat menguruskan perbelanjaan dan baki dalam akaun dengan baik.

Memburukkan lagi keadaan, terdapat 3.6 juta pemegang kad kredit di negara ini dengan jumlah hutang kad kredit RM36.9 bilion sehingga Jun 2017. Amat  mengejutkan  apabila tiga daripada lima orang lebih cenderung untuk menggunakan kad kredit walaupun keadaan ekonomi dan pekerjaan tidak menentu kerana ia membenarkan seseorang itu berbelanja lebih awal daripada pendapatan mereka dan kesannya amat berbahaya.

Dipaksa oleh keadaan, mereka ini mencari jalan dengan mengambil pinjaman di institusi kewangan jika mereka boleh tetapi bukanlah disebabkan oleh rekod kredit buruk mereka. Mereka juga mungkin beralih kepada Ah Long untuk mendapatkan pinjaman. Jika mereka berjumpa Ah Long untuk mendapatkan pinjaman maka mereka mendedahkan diri mereka sendiri kepada pelbagai masalah seperti kadar faedah yang tinggi, gangguan dan ancaman.

Di samping mereka yang berada dalam perangkaan bankrap, terdapat anggaran 100,000 kakitangan awam yang berisiko menjadi bankrap pada 2017. Mereka bukanlah kumpulan pertama kerana sehingga 1 Mei 2017, kira-kira 3,000 orang daripada mereka sudah pun bankrap. 100,000 orang yang mungkin akan bankrap merupakan 6.25 peratus daripada anggaran 1.6 juta kakitangan awam di negara ini.

Pemangkin kepada keadaan yang teruk ini ialah kewujudan lebih daripada 20 institusi kewangan dan koperasi yang menyediakan pinjaman kepada kakitangan awam. Pembayaran balik pinjaman adalah melalui pemotongan gaji bulanan mereka.

Walaupun ia adalah cara mudah untuk memperolehi semula pinjaman melalui pemotongan gaji secara automatik, kita perlu mengakui hakikat bahawa ia menggalakkan kakitangan kerajaan untuk berbelanja lebih daripada pendapatan mereka.

Malangnya, institusi kewangan dan koperasi sering tidak menyemak latar belakang pemohon pinjaman mereka. Oleh sebab itu, pemohon yang layak untuk pinjaman RM50,000 boleh meminjam daripada empat institusi kewangan, berakhir dengan meminjam dengan jumlah RM200,000. Sesetengah pemohon memalsukan penyata gaji mereka untuk mendapatkan pinjaman yang mereka tidak layak.

Situasi kakitangan awam yang terpaksa mengambil pinjaman dipersalahkan terhadap kos kehidupan yang semakin meningkat. Walaupun ia mungkin benar, mereka perlu belajar untuk hidup sederhana mengikut kemampuan mereka kerana dengan mengambil pinjaman ia hanya akan memburukkan lagi keadaan kerana mereka terpaksa membayar pinjaman dan kadar faedah yang mempunyai kesan kumulatif.

Membeli-belah secara dalam talian merupakan satu lagi perangkap kewangan memandangkan pengguna mampu untuk membuat pembelian dengan mudah dan tanpa merasakan kesan segera terhadap belanjawan bulanan mereka. Pada hari bayaran akan datang, mereka mungkin hanya perlu membayar jumlah minimum yang diperlukan oleh pihak bank dan dengan itu kadar faedah dikenakan ke atas baki hutang manakala mereka terus dengan tabiat suka berbelanja. Dalam keadaan ini, mereka sendiri yang menjadikan diri mereka terperangkap dalam hutang sehingga menyukarkan mereka keluar daripadanya.

Komitmen berlebihan merupakan kebimbangan utama, terutama sekali apabila mereka diberhentikan kerja. Pada 2016, 32,552 rakyat Malaysia diberhentikan kerja; dan 14,848 lagi mendapat Skim Pemisahan Sukarela (VSS). Bagaimana mereka hendak membayar pinjaman rumah dan kereta mereka apabila masa depan mereka tidak menentu? Institusi kewangan sudah tentu tidak bersimpati dengan kesusahan mereka.

Sesetengah orang terpaksa mengambil pinjaman daripada Ah Long untuk membayar hutang mereka daripada mengalami bankrap. Sudah tentu ini bukanlah penyelesaian memandangkan kadar faedah yang amat tinggi akan menyebabkan hutang menjadi bertambah tinggi dan Ah Long akan menggunakan ancaman dan keganasan untuk mendapatkan wang mereka semula. Apabila perkara ini berlaku, ia akan menyebabkan keluarga berpecah-belah atau mendorong mereka untuk membunuh diri.

Kerajaan telah meminda Akta Kebankrapan 1967 (BA 1967) yang kini dikenali sebagai Akta Insolvensi 1967 (IA 1967). Di bawah BA 1967, seseorang itu boleh menjadi bankrap dengan hutang minimum RM30,000 tetapi kini IA 1967 telah menaikkan kepada minimum RM50,000. Walaupun mereka yang akan bankrap semakin kurang dengan menaikkan jumlah hutang sebelum seseorang itu diisytiharkan bankrap, ia masih tidak menenangkan dari segi kewangan untuk berada hampir-hampir dengannya. Dengan pindaan kepada BA 1967, Jabatan Insolvensi sedang berusaha untuk melepaskan anggaran 50,000 orang daripada bankrap.

Walau bagaimanapun, kebimbangan kami ialah mengenai corak perbelanjaan rakyat Malaysia yang mendorong ramai daripada mereka menjadi bankrap atau hampir kepadanya.

Surat Kepada Pengarang, 15 Januari 2018

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt