Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Malaysia Perlu Menarik Diri Daripada TPPA, Demikian Menurut CAP

Berdasarkan kepada perkembangan terbaharu berhubung Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), Malaysia perlu menarik diri daripada perjanjian itu. Malaysia juga perlu menghentikan pelaksanaan perubahan dalam dasar dan undang-undang negara yang dilakukan untuk mematuhi TPPA. Kerajaan juga sepatutnya tidak terburu-buru melakukan rundingan perjanjian perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat.

Perintah eksekutif Presiden Donald Trump untuk Amerika Syarikat menarik diri daripada TPP secara tidak langsung telah membunuh TPPA itu sendiri.

Bagaimana pun, menurut laporan media, beberapa ahli TPPA seperti Australia cuba untuk menyelamatkan TPPA dengan meminta 11 negara TPPA yang lain untuk meneruskan TPPA dan agar perjanjian itu dikuatkuasakan tanpa Amerika Syarikat.

Malaysia tidak sepatutnya bersetuju dengan cadangan itu memandangkan ia bertentangan dengan kepentingan negara kita untuk menyertai TPPA yang sama, serta tanpa Amerka Syarikat.

Dalam TPPA, Malaysia berharap untuk memperolehi faedah daripada akses pasaran yang lebih baik untuk eksport kita terutamanya ke pasaran Amerika Syarikat, memandangkan Amerika Syarikat merupakan ekonomi terbesar dalam kalangan negara TPPA.

Dalam urusan ini, Malaysia sanggup untuk menanggung kewajipan berat yang mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi dan masyarakat kita. Adalah sesuatu yang tidak rasional dan tidak dapat diterima untuk kekal dalam TPPA dan menanggung kewajipan yang buruk apabila tiada akses yang berfaedah kepada pasaran Amerika Syarikat sebagai ganti rugi bagi kewajipan yang buruk ini.

Kewajipan negatif ini termasuklah terhadap undang-undang harta intelektual yang lebih kukuh yang akan menghalang kemampuan Malaysia untuk mempunyai ubatan generik yang lebih murah dan bersetuju untuk pelabur asing membawa kes pertikaian ke tribunal antarabangsa terhadap kerajaan untuk mendapatkan pampasan bagi kerugian masa depan yang dialami oleh mereka daripada sebarang perubahan dasar kerajaan.

Kewajipan lain termasuklah membuka pasaran bagi pemerolehan kerajaan untuk orang asing dan keutamaan untuk syarikat tempatan akan berakhir atau dihadkan berbanding sistem sekarang; dan juga had yang dikenakan terhadap operasi syarikat dan entiti yang dimiliki kerajaan atau kepentingan di dalamnya.

Selain itu, Malaysia juga perlu membuka pasarannya kepada negara TPPA lain, yang mungkin boleh menyebabkan pengaliran masuk import murah yang akan merosakkan kehidupan petani dan perniagaan beberapa syarikat kita terutama sekali perusahaan kecil dan sederhana.

Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat merupakan negara utama yang menekan negara lain termasuk Malaysia agar melaksanakan kewajipan seperti harta intelektual, peraturan pelaburan, sistem pertikaian negara-pelabur, pemerolehan kerajaan dan perusahaan milik negara.

Peraturan ini dalam TPPA digubal untuk faedah korporat besar Amerika Syarikat dan negara maju lain seperti Jepun dan menjejaskan pengguna, petani dan syarikat tempatan Malaysia.

Malangnya Malaysia masih sanggup mengambil kewajipan berat ini dalam usaha untuk mempunyai akses kepada pasaran lain, terutamanya pasaran Amerika Syarikat.

Adalah tidak logik dan amat menjejaskan jika Malaysia menyertai TPPA tanpa Amerika Syarikat. Ini bermakna terus menerima dan menanggung penderitaan akibat komponen yang merosakkan daripada TPPA yang dituntut oleh Amerika Syarikat, tanpa mendapat manfaat daripada akses yang lebih baik ke pasaran utama iaitu Amerika Syarikat.

TPPA merupakan perjanjian yang berat sebelah yang tidak memihak kepada Malaysia, jadi tiada sebarang kerugian kepada Malaysia dengan tidak menyertai TPPA.  Dalam bidang perdagangan barangan, kajian menunjukkan bahawa akan ada kerugian bersih dalam imbangan perdagangan bagi Malaysia, kerana import akan meningkat lebih daripada eksport di bawah TPP. Jika isu-isu bukan perdagangan dimasukkan, akan ada kesan kerosakan yang serius secara keseluruhan kepada Malaysia

Menurut Presiden Trump, beliau kini akan meneruskan dengan rundingan perdagangan dua hala antara satu pihak dengan satu pihak yang lain dengan beberapa negara TPPA. Malaysia tidak seharusnya melakukan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi perjanjian perdagangan dua hala kerana ia adalah berat sebelah serta bertentangan dengan kepentingan negara, memandangkan tuntutan melampau Amerika Syarikat yang akan dibuat ke atas isu bukan perdagangan, dengan hanya keuntungan terhad dalam bentuk akses pasaran ke Amerika Syarikat.

Bahaya lebih jelas dengan strategi perdagangan "Amerika Didahulukan (America First)" Presiden Trump di bawah mana Amerika Syarikat boleh dijangka akan memaksimumkan eksportnya sambil meminimumkan import dengan rakan-rakan dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Satu lagi persoalan penting ialah apakah akan berlaku kepada perubahan dalam undang-undang dan dasar yang telah disediakan oleh kerajaan dalam usaha untuk mematuhi peraturan TPPA?

Pada pandangan kami, adalah penting bagi kerajaan untuk menggantung semua langkah untuk membuat perubahan ini memandangkan TPPA tidak akan wujud. Kebanyakan perubahan ini mempunyai kesan sosial dan ekonomi negatif yang serius.

Khususnya, perubahan kepada undang-undang dan dasar negara kita berhubung harta intelektual akan menghalang atau menyukarkan bagi Malaysia untuk mendapatkan ubatan pada harga yang lebih murah. Ia juga akan menjejaskan kepentingan petani yang akan berhadapan batasan baharu terhadap kemampuan mereka untuk menyimpan dan menggunakan semua biji benih. Ia juga akan mengehadkan akses orang ramai kepada pengetahuan saintifik dan penerbitan.

Adalah tidak munasabah dan bertentangan dengan kepentingan awam untuk menukar undang-undang dan dasar yang akan menjadikan rakyat Malaysia lebih buruk hanya untuk mematuhi TPPA sedangkan TPPA kebarangkalian besar tidak akan wujud lagi

CAP menggesa kerajaan supaya mengesahkan bahawa ia tidak lagi menyertai TPPA dan sebaliknya tarik diri dari TPPA berdasarkan situasi baharu di mana Amerika Syarikat telah menarik diri; serta tidak terburu-buru untuk merundingkan FTA dua hala dengan Amerika Syarikat; dan menghentikan langkah untuk melaksanakan perubahan dalam undang-undang dan polisi yang dirancang untuk dilaksanakan dalam TPPA.

Penarikan diri Amerika Syarikat daripada TPPA adalah peluang terbaik buat Malaysia untuk memikirkan semula pendekatan terhadap perjanjian pelaburan dan perdagangan. Perdagangan merupakan sebahagian penting daripada ekonomi Malaysia, perjanjian perdagangan tidak secara automatik baik untuk negara dan kita perlu mengambil bahagian hanya dalam perjanjian yang mempunyai kepentingan kepada orang ramai.

Surat Kepada Pengarang, 26 Januari 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt