Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hadapilah Kenyataan Yang Perit Daripada Digoda Fiksyen Ganas

Kesan buruk keganasan dalam media terhadap kanak-kanak sudah banyak dibuktikan melalui pelbagai kajian. Filem Kabali mencerminkan kenyataan pahit yang menyelubungi komuniti India dan filem ini boleh mempengaruhi kanak-kanak untuk mempercayai bahawa keganasan adalah rencah kehidupan.

Menurut laporan pada Ogos 2013, seramai 40,313 ahli kepada 49 pertubuhan haram telah ditahan kerana terlibat dalam jenayah rompakan bersenjata, kecurian, mencuri kenderaan, melakukan aktiviti haram, mengedar dadah dan berurusan dengan pertubuhan rahsia.

Daripada 49 pertubuhan geng haram, 38 adalah geng India yang terbabit dalam kegiatan samseng dan kebanyakan usia ahlinya dalam lingkungan 20 – 30 tahun. Dengan kumpulan umur begitu, bermakna ahli-ahli terbabit berada di waktu puncak mereka.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi gesaan agar filem Kabali diharamkan kerana sebagai pengguna yang bertanggungjawab, kita tidak sepatutnya membiarkan kegiatan samseng menjadi perkara biasa sungguhpun ia sebagai ‘hiburan’. Begitu juga halnya dengan filem-filem lain yang menonjolkan adegan keganasan dan seks.

Adalah paradoks untuk mendakwa adegan-adegan kekejaman dan pembunuhan adalah sebahagian daripada ‘hiburan’ dan kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah boleh menontonnya.

Secara statistik kaum India terdiri daripada kira-kira 7 peratus penduduk di Malaysia namun mereka mewakili 70 peratus penjenayah di penjara. Perkara ini tidak sepatutnya dipandang sebelah mata.

Menurut Pengarah Jabatan  Siasatan Jenayah Polis Persekutuan (Bukit Aman), Timbalan Pesuruhjaya Polis, Datuk Hadi Ho Abdullah, India (7.1% daripada jumlah penduduk) merangkumi lebih 70 peratus kumpulan kongsi gelap; Cina (23.7 peratus daripada jumlah penduduk), lebih dari 25 peratus dan Melayu (50.4 peratus dari jumlah penduduk), 4.77 peratus.

Punca utama ramai kaum India menyertai kumpulan haram adalah disebabkan suasana sosio-ekonomi yang buruk. Justeru itu, kaum India mempunyai:

·         Kadar kematian tertinggi. Kaum India merekodkan jangka hayat terendah ketika lahir dengan 67.7 tahun (lelaki) dan 75.8 tahun (perempuan).

·         Cuma kira-kira 5 peratus berjaya ke peringkat lebih tinggi sementara yang lain kecundang di tengah jalan.

·         Kadar pengambilan alkohol tertinggi (kaum India di Malaysia membelanjakan kira-kira RM150 juta ketika perayaan seperti yang dilaporkan  pada 2015.

·         Kadar penagihan dadah kedua tertinggi (0.11 peratus) dalam nisbah mengikut etnik.

·         Kira-kira 70 peratus banduan adalah orang India.

·         Lebih daripada 70 peratus  ahli kumpulan haram adalah orang India.

·         41 peratus adalah peminta sedekah.

Sementara kehidupan golongan yang terpinggir itu berjalan seperti biasa, Kabali mengutip RM12 juta selepas seminggu ditayangkan di Malaysia.

Hiburan mampu mengulit minda tetapi ia akan memberi kesan buruk apabila kenyataan muncul di depan mata. CAP tertanya-tanya sejauh mana mereka yang kurang bernasib baik akan menikmati manfaatnya jika mereka berupaya mendapatkan separuh daripada jumlah terbabit (RM6 juta) untuk menjalani latihan kemahiran atau menerima bantuan untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah.

CAP ingin mengetengahkan bahawa Rancangan Malaysia ke 11 menggariskan apa yang telah dilakukan untuk menangani masalah komuniti India yang miskin menerusi latihan keusahawanan  dan kemahiran sewaktu Rancangan Malaysia ke 10 (2011-2015), dan janji untuk memberikan tumpuan khusus ke arah mengurangkan kadar keciciran di sekolah.

Program-program keusahawanan dan latihan kemahiran yang disediakan kepada komuniti India yang miskin telah memanfaatkan 167,500 individu. Daripada jumlah ini, lebih 10,000 remaja mengikuti program latihan kemahiran; 30,000 orang dewasa mengikuti program latihan usahawan dan 127,500 pelajar sekolah rendah dan menengah mengikuti program peningkatan pendidikan. Namun begitu, tiada pecahan bagi perangkaan ini diberikan dalam Rancangan Malaysia ke 11 atau dalam Elevating B40 Households Towards a Middle Class Society – Strategy Paper 2. ‘B40’ merujuk kepada isirumah yang berpendapatan sehingga  RM3,855.

Oleh itu, tidak diketahui berapa banyakkah daripada program-program ini telah dijalankan atas dasar ‘one-off’  atau bagaimana ia distrukturkan? Pemecahan statistik adalah penting  kerana kita perlu tahu bagaimanapun komuniti mendapat manfaat daripadanya.

CAP ingin tahu sama ada Kerajaan mempunyai rancangan untuk mengetengah atau menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat India di negara ini seperti yang disebutkan sebelum ini, khususnya mengenai kemiskinan, kegiatan samseng dan pendidikan yang rendah. Rancangan Malaysia ke 11 adalah penting dalam membantu Kerajaan untuk membasmi kemiskinan ke arah mencapai Visi 2020.

Surat kepada Pengarang, 22 Ogos 2016

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt