Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Pilih Model yang Sesuai untuk KTMB dan Tingkatkan Perkhidmatan – CAP

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berharap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mempertingkatkan perkhidmatannya bagi membolehkan rakyat menggunakan pengangkutan awam yang selamat, boleh dipercayai dan mampu dinaiki, bagi perjalanan antara bandar dan berulang alik setiap hari. Ini akan membantu lebih ramai penumpang bertukar  dari kaedah pengangkutan sedia ada yang terlalu banyak bergantung kepada kenderaan persendirian di samping mengurangkan penggunaan jalan raya yang membawa maut.

Landasan keretapi pertama yang dibina bagi mengangkut sumber asli ke pelabuhan untuk dieksport bermula pada 1885 dan berada di bawah kendalian beberapa syarikat dan negeri. Menjelang 1930an landasan keretapi pesisir pantai barat dan timur dibina dengan menghubungkan Singapura dan Thailand. Menjelang 1948 pihak British menyeragamkan perkhidmatan landasan kereta api di bawah Pentadbiran Keretapi Malaya. Kemudian pada 1991, ia dikenali sebagai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang beroperasi sebagai GLC. Namun pada 1997 usaha penswastaan itu menemui kegagalan menyebabkan kerajaan mengambil alih operasinya.

KTMB mengendalikan operasi tersebut dan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, sementara aset seperti landasan dan stesen menjadi milik Perbadanan Aset Keretapi di bawah Kementerian Kewangan. Model ini sama seperti yang dilaksanakan di UK di mana pengendalinya adalah syarikat swasta dan pemilikannya di bawah syarikat awam. Sebaliknya KTMB dan Kementerian Pengangkutan merupakan entiti kerajaan. KTMB terpaksa membayar pajakan ke atas aset berkenaan. Kementerian Pengangkutan bebas memajak laluan  itu kepada pengendali kereta api dan kargo lain, dengan itu meningkatkan persaingan.

Perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Kelang dan di negeri-negeri sebelah utara bermula pada 1991. Perkhidmatan Komuter di Lembah Kelang yang menggunakan tenaga elektrik diperkenalkan pada 1995. Perkhidmatan antara bandar di pantai barat digantung bagi membolehkan pelaksanaan landasan berkembar dan menggunakan kereta api dengan tenaga elektrik pada pertengahan 90an, dan Perkhidmatan Kereta api Elektrik (ETS) diperkenalkan secara berperingkat dari Padang Besar ke Gemas dari 2015 hingga 2017.

Dalam tempoh interim apabila perkhidmatan kereta api digantung, penumpang beralih kepada perkhidmatan bas ekspres dan kenderaan persendirian berikutan pembukaan Lebuh raya Utara-Selatan.

Oleh kerana pengangkutan barangan merupakan perniagaan yang tinggi daya saingnya, terutama bagi tempoh perjalanan singkat sekitar 300 km, pengangkutan melalui jalan raya lebih popular untuk barangan umum. Itulah sebabnya kenapa lebih banyak kenderaan berada di atas jalan dan menambah kesesakan jalan raya. Satu lagi alasan ialah peningkatan kadar tambang untuk barangan dan tambang untuk penumpang pada 2015 memaksa penumpang dan kargo menggunakan kaedah pengangkutan lain, menyebabkan keuntungan KTMB merosot.

Sebaliknya, kesesakan jalan raya telah menyebabkan kemalangan ngeri dan penumpang semakin takut untuk bergerak di jalan raya. Oleh itu mereka mula menggunakan ETS kerana beranggapan ia menjadi pilihan yang lebih baik untuk bergerak terutama ketika musim perayaan. Malah ETS sepatutnya diperluaskan hingga ke sebelah pulau (Pulau Pinang) memandangkan potensi permintaan yang tinggi untuknya.

KTMB mempunyai pelbagai kelemahan dan salah satu daripadanya ialah tidak melaksanakan sistem tiket bersepadu seperti Rapid KL. Pembelian tiket atas talian bagi kereta api ETS juga menjadi satu isu besar. Koc tren Komuter yang lusuh, tidak menepati jadual perjalanan dan keretapi tergelincir dari landasan sering menjadi rungutan penumpang.

KTMB kini berhadapan persaingan yang hebat daripada pengendali kereta api serta kaedah   pengangkutan lain. Keadaan akan terus bertambah buruk apabila laluan MRT dan LRT  dilaksanakan di Lembah Kelang.

KTMB mempunyai banyak aliran pendapatan melalui subsidiari dan perkongsiannya, di mana sebahagian daripadanya menemui kegagalan atau tidak lagi beroperasi sementara yang lain beroperasi dengan lancar. Kos pentadbiran dan operasi serta cukai yang tinggi menyebabkan KTMB menanggung kerugian. Menurut Laporan Ketua Audit terbaharu, KTMB mengumpul kerugian sebanyak RM2.83 bilion pada Disember 2018 dan telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM1.46 bilion dari Kementerian Pengangkutan sejak 1992 sehingga Julai tahun ini.

KTMB merupakan pengendali laluan kereta api yang tertua dan terbesar di Semenanjung. Justeru kami berharap ia dapat menyediakan komuter dan perkhidmatan kereta api antara bandar  yang selamat, boleh dipercayai, mampu digunakan dan selesa. Bagi memastikan lebih ramai penumpang menggunakan perkhidmatan KTM, kami menggesa pihak berkuasa mengambil langkah-langkah yang berikut:-

1. Melakukan kajian yang teliti mengenai model terbaik untuk melaksanakan dan menguruskan aset serta operasi KTMB;

2. Mempertingkatkan jadual kereta api dan menambah kekerapan perjalanan;

3. Memperbaiki penyelenggaraan koc;

4. Menyediakan bas pengantara di stesen KTM bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan kereta api;

5. Memperluaskan perkhidmatan ETC ke sebelah pulau, Pulau Pinang; dan

6. Menyediakan sistem tiket bersepadu untuk perjalanan yang lancar.

Kenyataan Akhbar, 20 Disember 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt