Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Batalkan projek kereta kabel, tingkatkan perumahan untuk golongan miskin

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya tidak membina kereta kabel yang menghubungkan Kebun Bunga ke puncak Bukit Bendera kerana ia dikhuatiri akan memberi kesan buruk ke atas alam sekitar dan kesihatan. Kebajikan penduduk dan integriti alam sekitar kita tidak seharusnya dikorbankan semata-mata untuk menarik pelancong datang ke sini.

Peruntukan bagi kereta kabel akan membawa kepada pembinaan hotel, restoran, taman tema, rumah dan jalan untuk menampung pertambahan jumlah pelancong dan penduduk. Pembangunan sebegini akan memberi kesan buruk kepada presekitaran bukit yang lemah serta mengancam keseimbangan ekologi.

November lalu, sebelum kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM100 juta bagi projek kereta kabel, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembinaan dua buah hotel di atas bukit, satu di kawasan hutan simpan dan pada Januari tahun ini, beliau berkata Bukit Bendera mungkin akan ditukarkan menjadi destinasi pelancongan utama, seperti Genting Highlands. Tetapi aktiviti pembinaan seumpamanya cenderung membawa kepada kepupusan kawasan litupan hutan dan pencemaran sungai di kawasan bukit. Ia juga akan membawa kepada kemerosotan bilangan habitat dan selanjutnya kepupusan pelbagai hidupan berharga seperti tumbuhan, binatang, burung dan serangga.

Selain itu ia juga boleh menyebabkan hakisan tanah, kemerosotan cerun tanah dan runtuhan tanah meningkat. Ternyata pihak berkuasa tidak mengambil iktibar daripada kejadian ribut dan banjir dua tahun lalu yang menyebabkan runtuhan tanah besar-besaran, banyak pokok tercabut dan perhubungan terputus di kawasan bukit.

Pada ketika ini terdapat lebih 5,000 pengunjung ke Bukit Bendera dan jumlah ini sudah melebihi kemampuan pengangkutan bukit tersebut. Pertambahan dalam jumlah pengunjung dan penduduk, seperti yang dirancang oleh kerajaan, akan menghasilkan peningkatan dalam penggunaan sumber seperti makanan, air dan tenaga selain pertambahan dalam sisa buangan.

Pembuangan sisa boleh mendatangkan kerosakan yang besar kepada ekosistem bukit. Bukit Bendera tidak mempunyai loji pembetungan dan kemudahan pembuangan sisa yang mencukupi untuk mengendalikan sisa yang dibuang oleh sejumlah besar pelancong dan penduduk.

Stesen kereta kabel akan ditempatkan di antara Taman Belia dan Kebun Bunga. Ribuan orang – kanak-kanak, lelaki, wanita dan warga emas – sering mengunjungi kedua-dua taman terbuka itu untuk beriadah, di samping menikmati suasana nyaman dan tenang dalam persekitaran yang  menghijau.

Menempatkan stesen kereta kabel akan memburukkan kesesakan jalan di situ dan kawasan sekitarnya. Suasana hiruk-pikuk dan pencemaran bunyi akan sampai ke tahap tidak dapat diterima dan mengganggu ketenangan yang selama ini dinikmati oleh pengunjung kedua-dua tempat tersebut. Bas pelancong dan kereta persendirian akan menimbulkan bahaya gas ekzos dan menghasilkan bunyi bising yang memekakkan telinga.

Pembinaan kereta kabel dan kegiatan manusia di atas Bukit Bendera dan stesen berkenaan akan mengeluarkan jumlah besar karbon dioksida yang akan meningkatkan jejak karbon kita. Ini ternyata mencabuli komitmen Malaysia di bawah Matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mengurangkan jejak karbon.

 

Sumbangan kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta sebaiknya digunakan untuk membina kawasan perumahan bagi kumpulan yang berpendapatan rendah di samping mempertingkatkan penjagaan kesihatan awam.

Pemimpin kita dan ramai pemimpin lain dunia terikat dengan model neoliberal pembangunan ekonomi. Mereka mengejar laluan pertumbuhan ekonomi secara membuta tuli sehingga membawa kepada kemusnahan alam sekitar, dan kepanasan global yang menggugat kelangsungan bumi kita.

 

Kenyataan Akhbar, 18 Oktober 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt