Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Pusat Pembedahan Kardiotoraks Bagi Wilayah Utara Diperlukan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu kepada Kementerian Kesihatan supaya menaik taraf Hospital Pulau Pinang bagi menjadikannya pusat terkemuka bagi Pembedahan Kardiotoraks.

Jabatan Pembedahan Kardiotoraks di Hospital Pulau Pinang beroperasi sejak 1995 dan menyediakan rawatan dan penjagaan kritikal kepada beribu pesakit dari wilayah Utara. Ia menjadi pusat rujukan utama bagi pesakit pembedahan kardiotoraks yang kompleks dari negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak Utara, Kelantan dan juga hospital swasta.

Malangnya ia tidak pernah menjalani sebarang kerja naik taraf sejak ia mula beroperasi. Walaupun bilangan pesakit meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lepas, ruang wad juga tidak bertambah dan terdapat kesesakan dengan kekurangan katil dan ruang simpanan. Kekurangan katil yang amat teruk dan kesesakan yang amat kritikal sehingga wad kardiotoraks mendapat status uniseks di mana pesakit lelaki dan wanita dengan masalah paru-paru dan luka kaki dirawat bersama di dalam wad yang sama bertentangan antara satu sama lain. Keadaan ini tidak dapat diterima bukan hanya daripada sudut budaya dan agama tetapi daripada perspektif menyediakan penjagaan kesihatan asas dengan bermaruah kepada semua.

Infrastruktur dan aset perubatan dalam bentuk katil, monitor, dan mesin elektrokardiogram juga lama dan bermutu rendah. Jabatan Kecemasan dan Trauma juga mengalami kekurangan ruang yang teruk dan amat sesak.

Hospital Pulau Pinang berpotensi menjadi sebuah hospital terbaik di wilayah ini dalam Pembedahan Kardiotoraks dan Penjagaan Trauma. Jabatan Kardiotoraks sudah pun diakui sebagai pusat latihan dan pembelajaran utama bagi pegawai paramedik, penuntut perubatan, pegawai perubatan dan perunding muda. Pada 2015, The Royal College of Surgeons of Edinburgh menerima pusat ini sebagai tempat latihan bagi doktor kardiotoraks muda.

Dengan permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan Pembedahan Kardiotoraks dan Penjagaan Trauma hanya amat bermanfaat apabila Kementerian Kesihatan melabur dalam kesihatan rakyat negara ini bagi menyediakan kemudahan Pembedahan Kardiotoraks dan Penjagaan Trauma yang canggih di Hospital Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia dari wilayah Utara. Ini akan memberikan kesan besar kepada kehidupan rakyat Malaysia.

 

Kenyataan Akhbar, 18 September 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt