Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP Gesa Tanah Sawah Di Kampung Ewa, Langkawi Dipulihkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pertanian Kedah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera membantu 30 petani di Kampung Ewa, Pulau Langkawi memulihkan tanah sawah yang tidak dapat diusahakan dan terbiar sejak tiga tahun yang lalu.

Keadaan ini berlaku kerana tanah sawah seluas 100 ekar di kampung tersebut tidak mempunyai sumber bekalan air yang mencukupi untuk mengairi tanaman padi di kawasan itu.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati selain masalah pam air yang tidak berfungsi dan empangan takungan air di tempat itu telah rosak, sistem pengairan yang tidak sempurna juga menjadi   punca tanah sawah di kawasan ini tidak dapat diusahakan.

CAP difahamkan, sebelum ini petani yang mengusahakan tanah sawah di kawasan tersebut memperolehi pendapatan lebih kurang RM1,500 satu ekar, tetapi kini mereka hilang sumber pendapatan dan terpaksa mencari pekerjaan lain bagi meneruskan kehidupan.

Masalah ini pernah dikemukakan dalam mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi tetapi hingga sekarang masih tidak ada tindakan yang diambil oleh mana-mana jabatan atau agensi berkaitan bagi mengatasinya.

CAP berharap pihak berkenaan segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini. CAP percaya jika ia dibiarkan bukan saja kehidupan masa depan para petani yang terlibat akan lebih teruk terjejas malah ekonomi negara dan sumber bekalan makanan untuk rakyat juga turut tergugat.

Kenyataan Media, 15hb April 2016

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt