Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP bimbang tanah sawah jerlus jejas kehidupan petani Kerian

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjalankan kajian dan mengambil tindakan bagi mengatasi punca berlakunya tanah sawah jerlus di daerah Kerian Perak ketika ini.

CAP bimbang jika masalah itu tidak ditangani segera ia boleh menjejaskan pendapatan serta kehidupan para petani di kawasan berkenaan dan menggugat sektor pertanian negara pada masa akan datang.

 

Tinjauan CAP mendapati beberapa kawasan sawah di daerah ini agak serius mengalami keadaan itu menyebabkan kerja-kerja menuai padi sukar dilakukan oleh petani-petani yang tanah sawah mereka terlibat dengan masalah tersebut.

CAP berpendapat kejadian ini bukan kerana taburan hujan yang tinggi tetapi ia berkemungkinan kesan dari penggunaan racun dan baja kimia yang berlebihan, amalan kaedah tabur terus, penggunaan jentera berat serta sistem pengairan yang tidak sempurna dan efektif.

Menggunakan racun makhluk perosak bertoksik tinggi dan baja kimia secara berlebihan di kalangan petani boleh menjejaskan kesuburan tanah sawah dan tanah sawah menjadi lembut. Masalah ini ditambah pula dengan kaedah tabur terus yang diamalkan mereka di mana tanah sawah sentiasa berair dan tidak pernah kering.

Selain itu, penggunaan jentera berat untuk menuai dan membajak turut menyumbang kepada masalah tanah sawah jerlus di daerah berkenaan. Pada masa yang sama sistem saliran yang tidak sempurna dan gagal berfungsi dengan berkesan menyebabkan beberapa kawasan sawah di daerah ini sentiasa digenangi air.

CAP berharap kawasan sawah yang terletak di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kerian/Sungai Manik ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak kementerian kerana ia merupakan salah satu jelapang padi di negara ini.

CAP mencadangkan supaya penggunaan teknologi moden yang boleh menjejaskan bidang pertanian ini dikaji semula dan digantikan dengan kaedah tradisi yang lebih selamat terhadap alam sekitar dan tidak menjejaskan aktiviti petani serta kehidupan mereka.

6hb Januari 2016

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt