Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Selamatkan Biji Benih Kita dari Kawalan Korporat

Biji benih merupakan input paling penting bagi petani. Sejak beribu tahun komuniti ladang meneliti, memilih, memelihara, membiak dan menyimpan biji benih untuk semaian seterusnya. Malangnya, dalam beberapa abad lalu terdapat kemerosotan mendadak dalam kepelbagaian biji benih di peringkat global, yang mana Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melaporkan pada 2010 bahawa 75% kepelbagaian tanaman dunia telah pun lenyap.

Hakisan kepelbagaian-bio (biodiversiti) pertanian sebahagian besarnya berpunca daripada perniagaan industri-pertanian dan dasar yang menyokongnya. Petani kini membeli banyak input penting pertanian, sedangkan sebelum ini input dihasilkan dan dikitar semula dalam lingkungan ladang. Kawalan korporat ke atas biji benih amat membimbangkan kerana ia mengancam untuk menjadikan pertanian tebusan kepada kepentingan perniagaan besar. Menurut La Via Campesina, sebuah Pergerakan Petani Antrabangsa dan GRAIN, sebuah NGO yang giat dalam isu biji benih, hanya 10 syarikat terlibat bagi 55% daripada pasaran biji benih global Antaranya ialah Monsanto, Dow, Dupont dan Syngenta.

 

Di masa lalu, pertukaran secara tetap biji benih dalam kalangan komuniti dan petani membolehkan penyesuaian tanaman dengan keadaan kawasan penanaman, iklim dan topografi yang berbeza. Ini dapat menyediakan kepada kita kepelbagaian diet dan pemakanan berkhasiat yang amat diperlukan. Petani dengan kreatif membuat pembiakan dan menanam pelbagai jenis tanaman bagi menangani pelbagai cabaran tanah, perosak dan penyakit yang berbeza. Wanita, telah dan di sesetengah kawasan masih memainkan peranan penting dalam komuniti mereka sebagai penjaga biji benih.


Bagaimanapun, dengan kemunculan industri pertanian dan desakan untuk biji benih komersial bukan hanya menghakis kepelbagaian biji benih tetapi juga sistem biji benih petani. Undang-undang biji benih dan hak varieti tumbuhan sentiasa disemak semula untuk disesuaikan kepada permintaan industri biji benih dan bioteknologi. Melalui pelbagai peraturan yang tidak memihak petani, mereka ditekan supaya membeli biji benih dan ramai daripada mereka mendapati diri mereka terperangkap dalam hutang untuk membayar bagi biji benih dan input kimia pertanian.

Tanpa kepelbagaian biji benih tradisional dan hakisan kepelbagaian-bio pertanian dunia, petani mula kehilangan kaedah dan daya tahan untuk menangani cabaran seperti perubahan iklim, perosak tanaman dan penyakit. Tambahan lagi, jenis biji benih komersial ‘penghasilan tinggi’ terbukti kurang berkesan dengan perubahan iklim, mengakibatkan petani rentan dan mengalami kerugian yang lebih besar. Petani juga turut dieksploitasi melalui penjualan pakej biji benih yang terikat dengan kimia pertanian.

Petani Malaysia juga mungkin terjejas dengan perjanjian perdagangan bebas yang berusaha untuk mengkomersialkan biji benih. Matlamat utama perniagaan adalah untuk menjadikannya mustahil bagi petani untuk menyimpan biji benih dan dengan itu menjadikan mereka bergantung kepada pembelian biji benih. Contohnya, draf bab hak intelektual dalam Perkongsian Trans Pasifik (TPP) yang dibocorkan pada 16 Oktober 2014, mengandungi teks yang memerlukan negara yang menandatanganinya untuk meratifikasikan perjanjian (triti) yang meningkatkan hak penyingkiran bagi pembiak baka tumbuhan dan ini mungkin akan mengenepikan hak petani untuk menyimpan, mengguna, menjual dan pertukaran biji benih.

Dalam kes Malaysia, ia telah menggubal Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 yang memperuntukkan hak untuk diberikan kepada pembiak baka komersial bagi sebarang varieti baru tumbuhan yang mereka hasilkan, tetapi undang-undang itu juga melindungi varieti biji benih yang dihasilkan melalui pembiakan oleh petani tradisional, masyarakat tempatan atau pribumi.

Undang-undang Malaysia juga memberikan hak kepada petani kecil (bagi mereka yang mengusahakan tanah pertanian kurang daripada 0.2 hektar): untuk memperbanyakan bahan tuaian daripada jenis tumbuhan yang dilindungi di ladang mereka sendiri, pertukaran munasabah jumlah bahan yang disebarluaskan dalam kalangan mereka sendiri, dan menjual biji benih ladang yang disimpan yang mereka tidak boleh gunakan disebabkan oleh faktor yang melangkaui kawalan mereka.

Bagaimanapun, Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Varieti Tumbuhan (dikenali sebagai Konvensyen UPOV) mahu negara melaksanakan undang-undang UPOV 1991. Undang-undang ini melarang petani daripada menyimpan biji benih secara bebas, menukar dan menjual biji benih mereka sendiri; terutama sekali memandangkan petani menggunakan biji benih termasuk varieti yang dilindungi. Peraturan ini tentu akan meningkatkan kawalan pertanian oleh syarikat korporat dan multinasional. Oleh itu Malaysia mestilah tidak dipaksa atau dibenarkan untuk menyertai UPOV 1991.

Tindakan segera diperlukan bagi memastikan petani mengawal dan mampu untuk menanam kepelbagaian tanaman makanan yang berkhasiat dan berdaya tahan dalam berdepan dengan perubahan iklim dan cabaran lain seperti perosak tanaman dan penyakit. Sumbangan CAP terhadap perkara ini adalah dengan memulakan sudut biji benih untuk mengumpulkan pelbagai jenis biji benih sayuran yang berbeza. Biji benih ini akan dikongsi bersama dengan petani dan isirumah yang terlibat dalam pertanian di rumah.

Selaras dengan pemulihan kepelbagaian biji benih kita, meningkatkan kepelbagaian-bio pertanian dan memastikan jaminan keselamatan makanan, kami menggesa kerajaan Malaysia supaya:

-- Menyokong rangkaian petani dan penyimpan biji benih, dan aktiviti yang membawa kepada perkongsian biji benih, pengetahuan dan pengalaman.

-- Menyokong bank biji benih komuniti dan pemuliharaan agro-biodiversiti di kebun.

-- Menolak pengenalan dan pengharmonian undang-undang biji benih yang berdasarkan kepada UPOV 1991 dan standard harta intelektual yang terbatas dan mengenepikan hak petani.

-- Menolak teknologi ubah suai genetik yang memberikan kesan negatif kepada kepelbagaian-bio serta kehidupan petani dan pengguna.


Kenyataan Akhbar, 2 Oktober 2015

 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt