Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP Gesa Kerajaan Tidak Sertai UPOV 1991 Kerana Ia Tidak Melindungi Petani Kecil

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Malaysia untuk tidak menyertai Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 1991 (International Convention for the Protection of New Varieties of Plants of 1991 - UPOV 1991).

CAP difahamkan bahawa Kerajaan Malaysia semakin ditekan untuk bersetuju dengan langkah itu, dan kami amat bimbang dan takut kerajaan akan menerima dan menyertai UPOV, yang mana ia amat bertentangan dengan kepentingan petani kecil, penyelidik tempatan dan perlindungan kepelbagaian biologi kita.

UPOV 1991 mewujudkan sistem harta intelektual “hak pembiak baka tumbuhan” (“Plant Breeder Rights”) yang berpihak kepada pembiak baka dan penyelidik institusi korporat negara maju, dengan mengorbankan kepelbagaian biologi, hak dan kepentingan petani kecil dan penyelidikan tempatan negara membangun seperti Malaysia.

Selama bertahun Kerajaan Malaysia membuat keputusan yang tepat untuk tidak menyertai UPOV 1991. Perkara ini wajar untuk diteruskan memandangkan keadaan semasa dalam penyelidikan dan pembangunan pertanian kita, di mana institusi penyelidikan awam tempatan mendominasi dalam melakukan penyelidikan rasmi tumbuhan.

Malaysia sudah pun mempunyai Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta PNPV) yang memenuhi sepenuhnya kewajipan kita di bawah Perjanjian Harta Intelektual Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) yang memerlukan perlindungan varieti baru tumbuhan. Tidak terdapat keperluan bagi ahli WTO untuk menyertai UPOV 1991. Menyertai UPOV 1991 bermakna bahawa Akta PNPV perlu perubahan drastik yang akan menjejaskan apa yang menjadikan undang-undang Malaysia unik untuk memenuhi keperluan negara kita.

Bahagian dalam Akta PNPV yang akan dihapuskan dalam usaha untuk menyertai UPOV 1991 termasuk peruntukan yang boleh melindungi terhadap penjarahan hayati (biopiracy) kepelbagaian biologi pertanian Malaysia; peruntukan yang memastikan kepaduan antara undang-undang negara seperti peraturan keselamatan biologi; peruntukan yang mengiktiraf hak kerajaan untuk tidak meluluskan pendaftaran varieti baru tumbuhan kepada pembiak baka sekiranya boleh menjejaskan ketenteraman awam; perlindungan yang membenarkan petani untuk menanam semula sebarang benih komersial yang mereka simpan sendiri di ladang mereka tanpa membayar royalti; peruntukan membenarkan petani bertukar dan menjual benih sendiri.

Kajian menunjukkan UPOV 1991 memberikan kesan sampingan kepada petani yang bergantung dengan sistem pengurusan benih-petani (sektor benih tidak rasmi) dan amalan warisan mereka yang bebas menyimpan, menggunakan, menukar dan menjual benih sendiri. Hak Asasi Petani diiktiraf dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Sumber Genetik Tumbuhan untuk Makanan dan Pertanian (International Treaty on Plant Genetic Resources for Food and Agriculture - ITPGRFA) dan Kerajaan Malaysia bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

Dalam kes Malaysia, komuniti Orang Asal Sabah dan Sarawak, yang ramai daripadanya adalah petani kecil yang mempunyai pelbagai jenis benih tempatan penting, akan terpinggir dan terancam.

Terdapat laporan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan pakar pertanian menunjukkan sistem pengurusan benih-petani membolehkan petani untuk mengehadkan kos pengeluaran dengan memelihara kebebasan daripada sektor benih komersial manakala pertukaran benih secara bebas menyumbang kepada pembangunan kepelbagaian tanaman dan benih tempatan yang sesuai yang lebih berdaya tahan kepada perubahan iklim, serangga dan penyakit. Oleh sebab itu sistem ini telah memberikan sumbangan besar kepada pemuliharaan, penambahbaikan dan menjadikan kepelbagaian biologi boleh diperolehi, yang menjadi asas kepada jaminan keselamatan makanan. UPOV 1991 tidak mengiktiraf sistem pengurusan benih-petani dan pada hakikatnya perlaksanaannya akan memberikan kesan sampingan kepada petani kecil.

Tambahan pula, dengan menyertai UPOV 1991, akan menjejaskan keberkesanan Malaysia dalam melaksanakan Konvensyen Kepelbagaian Biologi (Convention on Biological Diversity - CBD) memandangkan Malaysia tidak dapat melaksanakan perlindungan seperti pendedahan asal dan bukti kepatuhan dengan akses dan peraturan manfaat perkongsian yang perlu untuk memerangi rompakan biologi.

Terdapat juga potensi implikasi kesan sampingan bagi penyelidikan pembiak baka tumbuhan awam tempatan Malaysia. Monopoli hak pembiak baka yang diwujudkan UPOV 1991 boleh meletakkan penyelidikan awam di Malaysia pada tahap kerugian yang serius berbanding hak pembiak baka tumbuhan negara asing. Pada masa yang sama, penyelidikan tumbuhan dan benih tempatan kita oleh orang asing akan berakhir dengan tuntutan oleh mereka dengan mengorbankan kepentingan negara.

Kami tidak menyedari akan sebarang usaha oleh Kerajaan untuk berunding dengan petani kita berhubung isu penting ini yang akan menjejaskan hak serta kehidupan mereka dan jaminan keselamatan makanan.

Kerajaan adalah anggota kepada ITPGRFA dan mestilah menerima komitmen antarabangsa untuk melaksanakan Hak Petani termasuk hak mereka untuk turut serta dalam membuat keputusan di peringkat kebangsaan berhubung perkara berkaitan sumber genetik tumbuhan. Oleh sebab itu, CAP menggesa Kerajaan dengan segera menghentikan semua proses untuk menyertai UPOV 1991.

Ini adalah selaras dengan saranan oleh beberapa kajian pakar bebas bahawa negara membangun seharusnya tidak menyertai UPOV 1991 memandangkan ia menawarkan rangka kerja perundangan yang jumud dan tidak sesuai untuk sistem pertanian semasa di negara membangun[1].


[1] Contohnya, The UPOV Convention, Farmers’ Rights and Human Rights - An integrated assessment of potentially conflicting legal frameworks” published by Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) on behalf of the German Federal Ministry for Economic Cooperation and Development” (June 2015) available at https://www.giz.de/fachexpertise/downloads/giz2015-en-upov-convention.pdf ;

UNDP (2008) “Towards a Balanced Sui Generis Plant Variety Regime”, available at http://www.undp.org/content/undp/en/home/librarypage/poverty-reduction/toward-a-balanced-sui-generis-plant-variety-regime.html;

Kenyataan Media, 20 Februari 2017

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt