Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hapuskan Makhluk Perosak Dengan Kaedah Biologi

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mencadangkan supaya Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan mempergiatkan kaedah biologi kepada pesawah di negara ini bagi mengawal ancaman makhluk perosak ke atas tanaman padi mereka.

Kaedah biologi bukan saja boleh memberikan kesan dalam jangka masa panjang malah para pesawah juga tidak perlu membelanjakan wang untuk membeli racun dan dapat menghindarkan diri mereka dari mengalami masalah kesihatan.

Mengulas laporan akhbar tempatan (Berita Harian:18 Julai 2016 ) mengenai kejadian serangan bena perang di kawasan sawah daerah Bagan Serai di negeri Perak baru-baru ini, CAP bimbang penggunaan racun secara berlebihan oleh pesawah-pesawah di sini bagi mengatasi masalah itu akan memberi kesan buruk ke atas alam sekitar dan kesihatan mereka.

CAP mendapat tahu para pesawah yang menghadapi ancaman makhluk perosak seperti bena perang, siput gondang, tikus dan ulat bukan saja menggunakan racun yang disyorkan oleh Jabatan Pertanian atau agensi berkenaan tetapi juga menggunakan racun bertoksik tinggi yang diharamkan penggunaannya di negara ini.

Kesan penggunaan racun berlebihan dan yang bertoksik tinggi boleh menyebabkan serangga perosak menjadi kebal dan sukar dibasmi pada masa akan datang. Pada masa yang sama bahan beracun ini akan turut membunuh serangga semulajadi atau sahabat ladang seperti katak, pepatung, belalang, labah-labah dan lain-lain yang boleh membantu pesawah membunuh serangga perosak pada peringkat awal pembiakannya.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati walaupun berbagai jenis racun diperkenalkan dan digunakan oleh pesawah sejak lebih 20 tahun yang lalu bagi mencegah serangan makhluk perosak di kawasan penanaman padi di negara ini namun keadaannya tidak berubah malah semakin serius berlaku.

Para pesawah yang terlibat telah mengalami kerugian ribuan ringgit pada setiap musim dan jika masalah ini berterusan ia boleh menggugat bekalan makanan dan masa depan sektor pertanian negara.

Justeru ini CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian serta agensi yang terlibat mengadakan lebih banyak program kesedaran dengan para pesawah di negara ini tentang kesan buruk penyalahgunaan racun makhluk perosak dan kebaikan kaedah biologi dalam usaha mengawal musuh tanaman yang mengancam tanaman padi mereka.

Kenyataan Media, 25 Julai 2016

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt