Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Bertanggungjawab atas kematian gajah di Sabah

2019 merupakan tahun yang mencabar bagi Sabah kerana berdepan dengan isu hidupan liar dan beberapa kematian gajah pygmy Borneo. Pada tahun lalu, 24 kematian direkodkan dengan lima daripadanya berlaku dalam tempoh empat bulan. Kematian itu pula jarang berpunca daripada kematian biasa. Perburuan haram, pencerobohan dan keracunan menjadi penyebab biasa kematian gajah. Sungguhpun kemalangan mungkin berlaku namun kebanyakan kematian kelihatan seperti disengajakan, pembunuhan yang bersifat membalas, iaitu selepas gajah tersebut memasuki kawasan ladang, di mana ia memakan tanaman dan tanah diinjak-injak. Biar apa pun motifnya, pembunuhan yang dilakukan memang tidak wajar. 

Konflik antara manusia dan gajah ternyata menjadi isu utama yang dihadapi oleh Sabah. Gajah-gajah berkenaan terpaksa berpindah akibat kehilangan habitat, yang kini terbahagi kepada beberapa bahagian sehingga memberi kesan kepada kawasan kediaman dan pergerakan semula jadinya. Salah satu penyebab utama pembahagian ini ialah pemberian lesen bagi ladang monokultur di tengah-tengah habitat haiwan. Akhirnya ia menyebabkan konflik yang semakin meningkat dan pembunuhan gajah di Sabah.

Menurut Global Forest Watch, Sabah kehilangan hampir 900,000 hektar tanah di antara 2001-2013 atau sekitar 15 peratus rimbunan pokoknya. Berikutan semakin banyak habitat semula jadi haiwan dibersihkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan, penempatan dan perladangan, konflik antara manusia dan gajah yang berlaku sekarang semakin menjadi-jadi berbanding sebelumnya. Ditutup dari semua arah dan dengan sumber makanan musnah, gajah-gajah itu tidak mempunyai pilihan kecuali mencari makan di kawasan kelapa sawit.

Rentetan kematian beberapa ekor gajah baru-baru ini di ladang kelapa sawit atau kawasan sekitarnya di Sabah telah mengejutkan dan menimbulkan kemarahan banyak pihak. Salah satu daripada pembunuhan paling kejam melibatkan dua pengawal keselamatan ladang dan seorang pekerja yang ditugaskan untuk menjauhkan hidupan liar daripada kawasan syarikat. Bangkai gajah pygmy yang ditemui di Sungai Udin, daerah Tawau, dipenuhi dengan lebih 70 kesan tembakan. (Pengawal keselamatan ladang ditahan berhubung pembunuhan terbaru gajah di Sabah - Malay Mail, 21 Oktober 2019).

Justeru sudah tiba masanya kerajaan negeri mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk mencegah penebangan hutan dan kemusnahan ekologi di Sabah di samping memperkenalkan kerangka kerja yang lebih tegas untuk melindungi gajah-gajah Borneo, yang perlu dipatuhi oleh industri perladangan tanpa mengira jenis tanaman yang ditanam.

Semua pihak yang terlibat dengan kematian spesies gajah Borneo yang ikonik itu ataupun terus memusnahkan habitat haiwan tersebut perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka mendakwa tidak mengetahui mengenainya. Gajah-gajah itu sudah lama mendiami kawasan hutan di Sabah, jauh lebih lama daripada perladangan monokultur itu sendiri. Justeru, perbadanan perladangan perlu bertanggungjawab jika terdapat mana-mana pekerja mereka, sama ada kekal atau kontrak, terbukti terlibat dalam mendatangkan kemudaratan atau kematian haiwan tersebut. Adalah tidak adil malah tidak wajar undang-undang cuma menghukum pekerja dan pengawal keselamatan yang bekerja di ladang terbabit, yang kehidupan mereka turut terancam akibat konflik antara manusia dan gajah, terutama jika mereka kurang terlatih untuk mengurusnya. Sama pentingnya, satu batasan perlu ditentukan untuk menghalang penukaran hutan kepada ladang seperti itu.

Selain itu perlu wujud kerangka kerja yang lebih kukuh untuk memberi panduan kepada agensi kerajaan yang berkenaan, masyarakat dan komuniti tempatan bekerja bersama-sama ke arah mewujudkan sistem pengurusan ekosistem habitat gajah di Sabah. Kerjasama seperti itu diperlukan segera untuk mengawasi perbuatan memburu secara haram dan memelihara hidupan liar di Sabah. Penduduk mesti digalakkan agar memainkan peranan yang lebih penting dalam melindungi gajah Borneo. Mereka perlu digalakkan agar lebih berwaspada dan bersedia melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengulangi gesaannya kepada Kerajaan Negeri Sabah agar meminda Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dengan memasukkan peruntukan yang menjadikan pemilik tanah persendirian bertanggungjawab atas kematian gajah di tanah mereka. Sementara itu, SAM ternanti-nanti pelaksanaan Pelan Tindakan Pengurusan Gajah Sabah (2020-2030) yang menyertakan klausa yang akan mewajibkan pekerja dan pemilik tanah bertanggungjawab atas kematian gajah yang tercedera dan terbunuh di tanah mereka.

 

Surat kepada Pengarang, 10 Februari 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt