Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Jangan Pandang Ringan Kematian Gajah Akibat Kejutan Elektrik

Sahabat Alam Malaysia (SAM) amat terkejut dengan kematian seekor lagi gajah liar di Gerik, Perak. Insiden itu berlaku pada 3 Januari 2018 apabila gajah betina berusia 40 tahun mati akibat kejutan elektrik di tapak pembinaan.

Kumpulan gajah ini yang memasuki kawasan penduduk adalah untuk mencari makanan. Haiwan berkulit tebal ini telah kehilangan habitat semula jadi mereka akibat penerokaan tanah yang tidak terkawal dan secara besar-besaran membawa kepada meningkatnya pemisahan habitat. Menurut pakar gajah, habitat yang sesuai hilang apabila jalan dibina melintasi kawasan habitat dan membawa kepada lalu-lintas.

SAM, NGO dan komuniti menyuarakan kebimbangan berhubung beberapa kejadian di mana beberapa spesies terancam lain dan gajah mati di jalan raya, tetapi kelihatan Lembaga Lebuh raya Malaysia masih tidak menimbangkan untuk menangani perkara yang disuarakan dalam banyak surat yang diterbitkan di dalam media. Malah surat dari SAM kepada pihak berkuasa lebuh raya tidak mendapat jawapan sehingga ke hari ini.

Gajah di Malaysia terdedah kepada bahaya daripada semua bahagian – daripada menjadi sasaran pemburu haram, kematian akibat kemalangan, keracunan, dan ditembak atau dibunuh oleh pekerja ladang. Masa depan gajah kita amat gelap.

Kematian akibat kejutan elektrik gajah betina yang menyusu ini mengingatkan semula kepada insiden di Sabah di mana tujuh ekor gajah pigmi yang diancam kepupusan mati di dalam kolam kuari terbiar pada tahun lepas. Adalah tidak bertanggungjawab untuk membiarkan kerja projek yang membahayakan kepada manusia dan haiwan.

Agensi, jabatan atau badan kerajaan manakah yang bertanggunjawab meletakkan kabin itu dan kemudiannya membiarkannya selepas menyiapkan projek tanpa memutuskan bekalan elektrik? Siapakah yang akan dipertanggungjawabkan terhadap tempat kerja yang tidak selamat ini? Bagaimana jika manusia memasuki atau melalui berdekatan kabin dan dengan tidak sengaja terpijak wayar elektrik itu?

Kehilangan seekor gajah itu akan mengurangkan lagi bilangannya dan bagaimana pula dengan anaknya? Ia mungkin akan mengikuti kumpulan gajah tetapi bagaimanakah peluangnya untuk hidup tanpa ibunya?

Sebab kematian ini perlu disiasat dengan lebih jelas dan tidak dipandang ringan oleh Jabatan Hidupan Liar. Tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang terlibat tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja.

Berdasarkan kepada situasi ini dan pengabaian protokol keselamatan, SAM menggesa Jabatan Hidupan Liar menjalankan siasatan yang mendalam terhadap kemalangan itu dan menggesa siasatan dan hasilnya didedahkan kepada orang ramai seberapa segera.

Surat Kepada Pengarang, 18 Januari 2018

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt