Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Batalkan Projek Terowong

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi mengulangi bantahan terhadap cadangan projek mega oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menyelesaikan masalah lalu lintas di negeri ini. Projek itu membabitkan pembinaan terowong bawah laut sepanjang 6.5 km dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Butterworth, jalan pintas sepanjang 4.2 km dari Persiaran Gurney ke Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, jalan pintas sepanjang 4.6 km dari lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam, dan jalan empat lorong sepanjang 12 km menghubungi Tanjung Bungah ke Teluk Bahang.

Dalam mewajarkan pembinaan jalan-jalan itu, hujah yang dikemukakan ialah ia akan mengembangkan lagi rangkaian jalan yang sedia ada. Dengan menyuraikan lalu lintas ia akan mengurangkan tekanan ke atas jalan sedia ada dan dengan itu membuka ruang untuk pengangkutan awam dan laluan pejalan kaki.

Hujahan itu sememangnya menarik, malangnya salah tanggapan. Banyak kajian telah membuktikan dengan membina banyak jalan (atau melebarkan jalan sedia ada) hanyalah penyelesaian jangka pendek manakala jalan baru pula akan menarik lebih banyak lalu lintas, menyebabkan jalan itu bertambah sesak lagi. Dalam kes Pulau Pinang, dengan 100,000 kenderaan baru memenuhi jalan raya setiap tahun, kemuncak kepada proses itu masalah kesesakan akan berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan.

Bagi terowong bawah laut, ia dicadangkan akan mengurangkan lalu lintas melalui selat antara pulau dan tanah besar tetapi fakta yang tidak diambilkira ialah ia akan mengakibatkan lebih banyak kenderaan ke pulau dan menyebabkan lebih banyak kesesakan di jalan-jalan raya Pulau Pinang. Jalan baru hanya mampu untuk menyelesaikan masalah secara sementara sahaja terhadap situasi ini. Apa yang sering terlepas pandang ialah pulau ini mempunyai kemampuan pengangkutan yang terbatas pada setiap masa dan tiada pertimbangan diberikan kepada perkara ini.

Tambahan pula, jika tumpuannya ialah untuk menyuraikan lalu lintas melintasi selat, pada hakikatnya Jambatan Kedua Pulau Pinang masih belum beroperasi lagi. Kesan lalu lintas masih belum dilihat, kita hairan kenapa Ketua Menteri tergesa-gesa untuk membina pembinaan terowong bawah laut yang berisiko dan mempunyai kesan sampingan.

Syarat di mana projek itu dipersetujui juga menjadi kontroversi. Selain menerima tempoh konsesi 30 tahun, pemaju juga memperolehi manfaat daripada 110 ekar tanah tebus guna sebagai bayaran. Tanah ini akan meningkat nilainya pada masa akan datang. Rakyat Pulau Pinang tidak akan memperolehi manfaat daripada nilai tambah ini tetapi pemajulah yang akan menikmatinya, melebihi kos awal pembinaan.

Tetapi Ketua Menteri mungkin benar apabila merumuskan bahawa jalan hubungan ketiga adalah perlu. Lagi pun, siapakah yang lebih mengetahui akan kesan daripada dasar pengangkutannya berbanding Ketua Menteri sendiri? Memandangkan hakikat bahawa seluruh dasar itu diarahkan dengan memberi keutamaan kepada pengangkutan persendirian berbanding pengangkutan awam, ia tidak lama sebelum kesesakan mula berlaku di atas jambatan kedua. Ringkasnya, jalan hubungan ketiga menjadi perlu kerana Ketua Menteri bercadang untuk meneruskan dasar yang akan mewujudkan keadaan yang lebih buruk yang memerlukan penyelesaian.

Terdapat juga ciri-ciri lain yang membimbangkan mengenai pakej projek ini. Bayaran bagi konsortium yang menjalankan projek ini ialah tanah tebus guna seluas 110 ekar. Dengan persetujuan ini, kerajaan Pulau Pinang tidak memberikan pertimbangan terhadap tebus guna tanah yang seterusnya di sepanjang pantai Pulau Pinang walaupun kesan sampingan projek tebus guna yang lebih awal jelas merosakkan kawasan pantai Pulau Pinang. Sikap tidak peduli terhadap alam sekitar amat mengejutkan.

Persoalan juga telah ditimbulkan mengenai kemampuan kewangan mereka yang menjalankan pembinaan itu. Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah aspek keselamatan terowong itu. Kebakaran terowong Chunnel pada 1996 menunjukkan batasan kepintaran teknikal dan kemahiran kemanusiaan. Terowong Chunnel, terowong bawah laut antara Selat Inggeris yang menghubungkan England dan Perancis, dianggap sebagai keajaiban dunia yang kelapan dan telah beberapa kali diuji tahap keselamatannya, termasuk model dan ujian kebakaran sepenuhnya, sebelum ia dibuka kepada lalu lintas. Apabila berlakunya kebakaran, para pakar sukar untuk menjelaskan bagaimana kebakaran itu boleh berlaku. Di Malaysia, dilaporkan terdapat kebakaran kenderaaan berlaku setiap bulan, bagi tempoh 8 bulan berturut-turut pada 2012. Insiden ini boleh menjadi bencana besar jika berlaku di terowong bawah laut yang dicadangkan. Ditambah pula dengan ketiadaan budaya keselamatan dalam masyarakat kita menjadi satu risiko besar bagi projek seperti ini. Persoalan juga ditimbulkan terhadap kepakaran dan pengalaman mereka yang menjalankan projek pembinaan terowong bawah laut ini. Mereka mungkin mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tidak diragui dalam pembinaan jenis lain, persoalan sebenar ialah kepakaran mereka dalam bidang khusus terowong bawah laut.

Dalam beberapa kenyataan oleh kerajaan negeri yang bercadang untuk meneruskan projek itu, kami menggesa mereka untuk mempertimbangkan semula seluruh isu ini. Pertimbangan semula ini mestilah melibatkan pemikiran semula seluruh asas dasar pengangkutan semasa yang mengutamakan kenderaan milik persendirian dengan mengorbankan pengguna pengangkutan awam. Semua usaha ke arah “Paradigma Pulau Pinang” tidak bermakna tanpa anjakan paradigma ini.

Kenyataan Akhbar - 18 Mac 2013

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt