Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Jawapan kepada surat terbuka Ketua Menteri Pulau Pinang kepada CAP berhubung projek mega RM6.3 Bilion

Yang Amat Berhormat,

Saya mengucapkan terima kasih di atas jemputan peribadi, melalui surat terbuka, menghadiri mesyuarat bagi membincangkan keprihatinan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) berhubung projek mega RM6.3 bilion untuk membina terowong bawah laut sepanjang 7 km dan 3 lebuh raya. Saya kesal kerana tidak dapat menerima jemputan peribadi melalui surat terbuka itu kerana dalam budaya kita, kita tidak menjemput seseorang itu ke mesyuarat melalui surat terbuka. Pertemuan itu juga akan menjadi sia-sia dan tidak mencapai tujuannya kerana menurut laporan akhbar, kerajaan negeri sudah pun menyerahkan projek itu kepada syarikat swasta walaupun terdapat bantahan dari banyak NGO.

YAB Ketua Menteri, saya pernah bertemu YAB dua kali atas jemputan YAB, dan kita telah mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan mengenai projek yang dicadangkan dan perspektif berbeza ahli politik dan pencinta alam sekitar. Saya menghargai inisiatif YAB dan apa yang diperkatakan di dalam pertemuan itu.

Terdapat pelbagai jenis ahli politik. Tidak diragui bahawa terdapat ahli politik yang tidak mementingkan diri yang mengabdikan seluruh hidup mereka untuk memberikan khidmat kepada rakyat tanpa memikirkan keuntungan atau kuasa, malangnya mereka ini hanya segelintir sahaja. Sebaliknya, ramai ahli politik yang mengejar kuasa, untuk menyelamatkan apa yang mereka ada atau untuk mengambil daripada pihak lain. Mereka boleh membuat pelbagai janji, memutar belit, dan memberikan pelbagai sumbangan dengan jangkaan penerima akan mengundi mereka. Mereka mahu membina jambatan terpanjang, bangunan tertinggi di dunia dan lebuh raya yang lebar untuk membuktikan kepada pengundi mereka boleh memenuhinya dan bukan janji kosong.

Ramai ahli politik yang berpegang teguh dengan dasar ekonomi neo-liberal berasaskan keuntungan dan pertumbuhan ekonomi tinggi tanpa benar-benar prihatin terhadap keadilan sosial dan ekologi. Pemaju, perbankan, pelabur dan lain-lain dari elit ekonomi kaya mempunyai pengaruh penting ke atas dasar kerajaan berbanding rakyat.

Sebaliknya, pencinta alam sekitar yang sejati – bukannya mereka yang berkhidmat untuk kepentingan politik tertentu – amat bimbang dengan kesan ‘pembangunan’ terhadap ekologi, hubungan sosial, keadilan sosial dan hak antara generasi kita. Mereka tidak berjuang untuk merebut kuasa dan faedah yang datang bersamanya. Tetap dengan perspektif ini, CAP dan SAM tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan menentang projek yang kami yakin tidak memberikan kepentingan jangka panjang kepada masyarakat, tidak kira parti politik mana yang mempromosinya.

Contohnya, kami membantah projek Komtar berdasarkan ia tidak ekonomi, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan memusnahkan kecantikan unik bandar warisan kita. Kami terbukti benar dengan kurangnya permintaan bagi ruang di sana, kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar dan kemunculan bangunan tinggi di sekitar bandar raya.

Kami juga menggerakkan gabungan kumpulan masyarakat sivil yang berkempen menentang dan menghentikan cadangan pembangunan secara besar-besaran di atas Bukit Bendera oleh Kumpulan Berjaya.

Kami cuba untuk menghentikan projek Bakun, malah membawa perkara itu sehingga ke Mahkamah Rayuan tetapi tidak berjaya disebabkan oleh halangan mahkamah dan kuasa mereka di sebalik projek itu. Projek itu telah memusnahkan hutan hujan seluas Singapura, menyebabkan kemusnahan ekologi dan kerugian kewangan yang besar kepada kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan yang masih berterusan. Untuk mewujudkan permintaan bagi tenaga berlebihan yang dijana, kerajaan negeri Sarawak cuba untuk menarik industri yang menggunakan banyak tenaga dan mencemarkan seperti aluminium dan keluli.

YAB silap dalam mendakwa kami tidak membantah tebus guna tanah yang dijalankan oleh pihak pentadbiran terdahulu. Keputusan mengenai tebus guna tanah dan keputusan untuk menyerahkan kontrak kepada syarikat tertentu tanpa mengeluarkan tender dirahsiakan oleh Exco Kerajaan Negeri. Hanya selepas kontrak ditandatangani dan kerja dimulakan barulah orang ramai tahu mengenainya. Kami mengkritiknya dan menyatukan seluruh nelayan pantai yang terjejas oleh projek terbabit bagi membantah dan menentang tebus guna tanah. Demi mencegah amalan buruk seperti itu, yang akan menyebabkan kerugian kewangan kepada rakyat dan kerosakan kepada alam sekitar, maka apabila YAB mengumumkan projek mega pada 2011, CAP, SAM dan kumpulan masyarakat sivil lain membantah dan menggesa supaya kajian terhadap kesesuaian dan keperluannya.

Berdasarkan rekod ini, adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak beretika untuk menuduh kami bersikap memilih dalam mengkritik dan bersekutu dengan Barisan Nasional. Kami faham YAB berada dalam tekanan dan semakin tertekan dengan pilihan raya yang semakin dekat tetapi YAB mestilah berhati-hati dengan ulasan yang dibuat dan tidak membuat tuduhan liar. Inilah yang membezakan antara negarawan daripada ahli politik.

Baru-baru ini, seorang ahli politik dari Barisan Nasional menuduh kami menjadi sekutu kepada Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan BN. Dengan melihat kritikan membina dari masyarakat sivil melalui kaca mata parti, sesetengah ahli politik mempamerkan sikap tidak mempedulikan demokrasi. Mereka percaya kepada Doktrin Bush “Sama ada awak bersama kami atau menentang kami” – dan lihatlah apa yang terjadi kepada Amerika Syarikat.

Kesukaran yang dihadapi dengan Kerajaan Persekutuan tidak mewajarkan bagi pihak YAB untuk meneruskan projek mega RM6.3 bilion tanpa memahami implikasi jangka panjang dan tanpa bukti meyakinkan bahawa ia akan menyelesaikan masalah kesesakan di pulau ini. “Perundingan” YAB dengan orang ramai dilakukan selepas pengumuman projek dan ia adalah untuk menjelaskan keputusan yang diambil, bukannya mendapatkan pandangan awam berhubung projek itu sebelum mengambil keputusan.

Persoalan asasnya ialah: Adakah terdapat keperluan untuk projek seperti itu dan adakah sebarang kebolehlaksanaan dan kajian manfaat kos telah dijalankan sebelum keputusan dibuat untuk meneruskan projek besar ini? Malah YAB mengumumkan telah menandatangani MOU untuk empat jalan utama dengan syarikat dari China sebelum perunding memulakan kerja berhubung Pelan Induk Pengangkutan (TMP). Atas asas apakah keputusan ini diambil?

Penilaian Strategik Alam Sekitar (SEA) terhadap cadangan dengan penyertaan awam yang sebenar perlu dijalankan sebelum keputusan dibuat untuk meneruskan dengan projek itu dan memanggil tender untuk kerja itu. SEA perlu terlibat dalam melihat kemapanan projek dari perspektif ekonomi, sosial, alam sekitar dan budaya. Mengambil contoh dari Scandinavia, SEA dilakukan untuk Jalan Norwegian, malah Pelan Pengangkutan Jalan 1997, turut mempertimbangkan bilangan kilometer jalan raya utama yang berkonflik dengan kualiti landskap dan alam sekitar semula jadi dan budaya.

TMP menyarankan pendekatan seimbang untuk menyelesaikan masalah pengangkutan dengan langkah jangka panjang dan jangka pendek. Pembinaan jalan utama adalah untuk jangka panjang. YAB telah memilih untuk meneruskan dengan projek mega tanpa mengambilkira bantahan awam dan tidak mempedulikan saranan TMP. Oleh sebab itu, apa lagi yang tinggal untuk “dirundingkan”? Perundingan awam menjadi tidak bermakna dan bertukar menjadi khidmat perhubungan awam.

Kami bimbang terowong yang dicadangkan itu dan jambatan kedua akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. YAB telah menyatakan bahawa lebih 80,000 kenderaan menggunakan Jambatan Pulau Pinang pada hari biasa. Dengan pengenalan dua lagi rangkaian perhubungan, penggunaan kenderaan akan meningkat kepada 240,000 dalam tempoh itu. Bilangan kenderaan meningkat 10% setahun dan pada kadar ini, Pulau Pinang akan mempunyai satu juta lebih kenderaan dalam tempoh 10 tahun. Aliran yang sama boleh dilihat di negeri jiran seperti Kedah, Perlis dan Perak Utara yang penduduknya kerap mengunjungi pulau ini. Pembangunan sebegini akan mewujudkan kesesakan lalu lintas kenderaan yang menjadi mimpi ngeri di pulau ini.

Jika aliran ini berterusan, lebih banyak jalan, tempat parkir, stesen minyak, dan bengkel diperlukan. Ini hanya akan meningkatkan permintaan tanah yang dikaitkan dengan pertumbuhan kenderaan bermotor; faktor pertumbuhan penduduk dan tanah yang diperlukan untuknya tidak diambilkira.

YAB Ketua Menteri, kami juga berkongsi visi “kita tidak mahu generasi akan datang menjadi generasi kesesakan lalu lintas untuk mengalami apa yang kita alami akibat kurangnya pandangan masa depan dan perancangan jangka panjang.” Pengangkutan awam yang baik bersama dengan perancangan bandar yang rasional dan mapan di mana orang ramai digalakkan untuk tinggal berdekatan dengan tempat kerja mereka, dan mengawal penghijrahan luar bandar ke bandar dan perkembangan bandar, akan membolehkan kita merealisasikan visi itu. Tetapi dengan membina lebih banyak jalan, jambatan dan terowong seperti yang dirancang adalah jalan yang pasti kepada “menukarkan generasi akan datang kepada generasi kesesakan lalu lintas.”

Kami sekali lagi, merayu YAB supaya mempertimbangkan semula keputusan itu. Kami juga menggesa YAB mengambil langkah jangka pendek yang berikut untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sementara mengusahakan penyelesaian jangka panjang yang memerlukan perubahan radikal dalam model ekonomi, perancangan bandar, dan corak penggunaan kita:

• Wujudkan laluan khusus untuk bas, basikal dan pejalan kaki. Tidak perlu mengutamakan kenderaan persendirian. Kajilah pengalaman Curitiba, Copenhagen, dan Amsterdam. Di Copenhagen, 37% menggunakan komuter ke tempat kerja (sasaran untuk mencapai 50% menjelang 2015); 58% menggunakan basikal setiap hari; hanya 29% isirumah mempunyai kereta.

• Menyediakan perkhidmatan ulang alik yang cekap ke hentian bas utama dari kawasan perumahan.

• Menyediakan insentif kepada pekerja awam untuk berbasikal atau berjalan ke tempat kerja dan merayu kepada sektor swasta melakukan perkara yang sama.

• Mengurangkan dengan drastik meletak kereta di tepi jalan dan menjadikannya amat mahal.

• Meningkatkan caj letak kereta.

• Mengenakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian yang memasuki bandar.

• Menghadkan ketinggian bangunan kepada tidak lebih daripada enam tingkat.

Sistem pengangkutan awam yang baik, cekap dan mampu diikuti dengan tekanan terhadap pengguna kenderaan yang membawa kenderaan mereka ke bandar akan memperbaiki masalah kesesakan lalu lintas.

Kenyataan Akhbar - 26 Mac 2013

 

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt