Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kronologi Peristiwa di Kilang Nadir Bumi, Bukit Merah

Lapan lelaki – Seorang pengimpal, pembuat kasut, pekerja am, pesara, tukang gunting rambut, pemandu traktor, pengendali kren dan mangsa kanser yang kemudiannya meninggal dunia – menyaman Asian Rare Earth pada 1985 bagi pihak diri mereka sendiri dan 10,000 penduduk Bukit Merah dan pencinta alam di Perak. Mereka mahu menutup kilang nadir bumi di kampung mereka berdekatan Ipoh kerana sisa radioaktif membahayakan kehidupan mereka.

Apabila kilang usahasama Mitsubishi dibuka pada 1982, penduduk mula mengadu mengenai bau dan asap kilang yang busuk hingga menjadikan mereka sesak nafas dan menangis. Lebih malang kesihatan mereka semakin buruk, bukan hanya batuk dan demam yang kerap tetapi insiden leukaemia, kematian bayi, penyakit sejak lahir dan keracunan plumbun semakin meningkat.   

Untuk pertama kali dalam sejarah perundangan Malaysia, seluruh komuniti bangkit untuk bertindak terhadap isu alam sekitar, untuk melindungi kesihatan dan alam sekitar mereka daripada pencemaran radioaktif.

Berikut adalah kronologi apa yang berlaku apabila kilang nadir bumi radioaktif dibina di Bukit Merah. Kini, kira-kira 30 tahun kemudian, Kerajaan membenarkan kilang nadir bumi baharu dibina oleh Lynas di Gebeng, Kuantan. Projek baharu ini perlu dibatalkan jika Kerajaan Malaysia mengutamakan kesihatan rakyat daripada keuntungan.

1979

November: Asian Rare Earth Sdn Bhd (ARE) ditubuhkan untuk mengekstrak yttrium (nadir bumi) daripada monazite. Pemegang saham utama aialah: Mitsubishi Chemical Industries Ltd (35%), Beh Minerals (35%), Lembaga Urusan Tabung Haji (20%) dan ahli perniagaan bumiputra lain (10%). ARE mendapatkan nasihat daripada Pusat Penyelidikan Tun Ismail (Puspati) dari Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengenai sisa radioaktif yang dihasilkan oleh pemprosesan monazite. Diputuskan bahawa sisa itu menjadi milik Kerajaan Negeri Perak, akan disimpan memandangkan ia berpotensi sebagai sumber tenaga nuklear.

1982

Jun: Penduduk Parit di Perak mendapati tapak seluas sembilan ekar yang terletak enam kilometer dari kawasan itu telah dipilih oleh kerajaan sebagai tapak simpanan pembuangan sisa radioaktif ARE.

30 Jun: Berikutan bantahan oleh jawatankuasa penduduk dan pertubuhan sosial dan politik lain, rancangan itu dibatalkan oleh kerajaan yang mula mencari tapak lain untuk menempatkan sisa buangan itu.

11 Julai: Kilang ARE mula beroperasi di 7.2 km Jalan Lahat di Kampung Baru Bukit Merah.

1983

November: Penduduk Papan (kira-kira 16 kilometer dari Ipoh) mendapati ARE membina parit pembuangan sisa berdekatan pekan mereka untuk menyimpan sisa radioaktif. Tapak itu dipilih oleh kerajaan.

1984

24 Mei: Kira-kira 6,700 penduduk Papan dan pekan berdekatan menandatangani surat bantahan dan menghantar kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Perak, Menteri Kesihatan, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

31 Mei: Kira-kira 200 penduduk dari Papan membantah terhadap cadangan pembuangan sisa. Mereka menghalang jalan ke tapak itu.

5 Jun: Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan telah mengambil setiap langkah untuk memastikan keselamatan dan pembinaan tapak pembuangan sisa radioaktif akan diteruskan.

18 Jun: Kira-kira 300 penduduk Papan mengadakan demonstrasi untuk kali kedua menentang lokasi tapak pembuangan sisa yang dicadangkan itu.

28 Jun: Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen Yong, menyatakan bahawa tapak pembuangan di Papan itu selamat kerana ia dibina menurut piawaian yang ketat. Beliau mencabar pengkritik supaya membuktikan tapak pembuangan itu berbahaya kepada kesihatan dan alam sekitar. Sementara itu, ARE terus beroperasi, membuang sisa thorium di kawasan terbuka dan kolam berdekatan kilang.

1 Julai: Kira-kira 3,000 penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak, mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah tapak pembuangan sisa di Papan.

4 Julai: Kira-kira 2,000 penduduk terus dengan demonstrasi walaupun mendapat perintah dari Ketua Polis Perak supaya menghentikannya.

18 Julai: Jawatankuasa Bertindak Bukit Merah dibentuk, terdiri daripada penduduk dari Bukit Merah, Lahat, Menglembu dan Taman Badri Shah untuk menyokong penduduk Papan. Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri menyatakan paras radiasi yang tinggi wujud di kawasan terbuka dan kolam berdekatan kilang ARE di Bukit Merah. Satu bacaan yang diambil oleh pegawai SAM dalam kunjungan ke tapak itu ialah 43,800 milirem/tahun, 88 kali lebih tinggi berbanding paras maksimum yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Antarabangsa Perlindungan Radiologi (ICRP) bagi pendedahan kepada orang awam.

29 Ogos: Michael O’Riordan dari Lembaga Perlindungan Radiologi Kebangsaan British (BNRPB) dijemput oleh kerajaan untuk memeriksa tapak pembuangan di Papan.

19 September: Satu pasukan yang terdiri daripada tiga ahli Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IAEA) mengunjungi tapak di Papan atas jemputan Kerajaan Malaysia. Mereka mengisytiharkan parit itu tidak selamat.

5 Oktober: Ahli fizik dan penganalisis keselamatan British, Dr William Cannell, dijemput oleh penduduk Papan untuk mengunjungi tapak pembuangan. Beliau mendapati kerja kejuruteraan “amat buruk”.

21 Oktober: Pakar dari Amerika Syarikat, bekas ahli Jawatankuasa Akademi Sains Kebangsaan Amerika Syarikat mengenai Kesan Biologi Radiasi Pengionan (BEIR), Dr Edward Radford, dijemput oleh penduduk Papan untuk meneliti tapak pembuangan. Beliau mendapati tapak itu tidak sesuai dan parit itu mempunyai dinding yang nipis dan retak.

7 November: Pakar sisa industri Jepun, Dr Jun Ui, dijemput oleh penduduk Papan untuk memeriksa tapak pembuangan sisa. Beliau mendapati ia tidak sesuai untuk menyimpan sisa berbahaya.

28 November: Kabinet membincangkan laporan yang diserahkan oleh dua badan kawalan. Laporan oleh Lembaga Perlindungan Radiologi Kebangsaan British (NRPB) berkata penduduk akan selamat hanya jika keadaan tertentu dipatuhi oleh Kerajaan Perak dan ARE. Laporan kedua oleh IAEA berkata parit itu tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

9 Disember: Lebih daripada 1,500 penduduk di Papan mengadakan mogok lapar selama sehari sebagai membantah keputusan kerajaan untuk meneruskan rancangan menempatkan tapak pembuangan sisa di Papan. Penduduk Bukit Merah telah membawa pakar radiasi dan genetik Jepun, Profesor Sadao Ichikawa, untuk mengukur paras radiasi di tapak terbuka dan kolam berdekatan kilang ARE. Beliau mendapati parasnya amat tinggi dan berbahaya, di mana paras tertinggi ialah 800 kali melebihi paras yang dibenarkan.

12 Disember: Pemangku Perdana Menteri Datuk Musa Hitam mengumumkan keprihatinannya terhadap hal ehwal Papan. Beliau mengunjungi tapak pembuangan sisa tersebut.

1985

11 Januari: Selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Musa Hitam, kerajaan memutuskan untuk memindahkan semula tapak pembuangan sisa yang dicadangkan itu ke Mukim Belanja di Banjaran Kledang kira-kira lima kilometer dari Papan dan tiga kilometer dari Menglembu.

1 Februari: Lapan penduduk bagi pihak diri mereka sendiri dan penduduk Bukit Merah menfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk menghentikan ARE daripada mengeluar, menyimpan dan mengekalkan sisa radioaktif di sekitar kampung. Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 dikuatkuasakan. Ia memastikan pengendali peralatan nuklear (termasuk kerajaan) dipertanggungjawabkan terhadap kerosakan nuklear. Lima ahli Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dibentuk di bawah Akta itu, dengan wakilnya daripada Puspati, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

14 Oktober: Hakim Anuar Bin Datuk Zainal Abidin di Mahkamah Tinggi Ipoh mengeluarkan perintah injunksi kepada penduduk Bukit Merah untuk menghentikan ARE daripada menghasilkan dan menyimpan sisa radioaktif sehingga langkah keselamatan yang mencukupi diambil. Lebih daripada 1,500 penduduk Bukit Merah hadir ke mahkamah untuk mendengar keputusan.

1986

22 September: ARE mendakwa ia membelanjakan lebih RM2 juta untuk meningkatkan langkah keselamatan (seperti yang dikehendaki oleh injunksi mahkamah) berikutan standard IAEA. Ia menjemput pakar tenaga atom Amerika, Dr E. E. Fowler (bekas anggota IAEA) untuk mengunjungi kilang itu. Dr Fowler menyatakan paras radiasi berdekatan kemudahan ARE memenuhi standard ICRP dan kilang itu selamat untuk beroperasi.       

5 Oktober: Kira-kira 3,000 penduduk di Bukit Merah dan sekitarnya mengadakan demonstrasi membantah rancangan ARE untuk menyimpan sisa radioaktif di tapak pembuangan kekalnya di Banjaran Kledang.

28 Oktober: Profesor Sadao Ichikawa dalam kunjungannya pada kali kedua ke Bukit Merah mendedahkan bahawa radiasi di sekitar kilang ARE masih melebihi paras yang diterima. Beliau tidak dibenarkan memasuki kilang itu.

16 November: Satu pasukan dari AELB memeriksa beberapa tapak pembuangan sisa thorium secara haram di Bukit Merah. Mereka dibantu oleh bekas kontraktor ARE, Ng Toong Foo, yang menjalankan kerja pembuangan. Bacaan di satu tapak pembuangan adalah antara 0.05-0.10 milirem/jam (iaitu 438-876 milirem/tahun) melebihi paras keselamatan maksimum 0.057 milirem/jam yang ditetapkan oleh ICRP.

26 November: Wakil dari tujuh kawasan (Bukit Merah, Lahat, Taman Badri Shah, Menglembu, Papan, Falim dan Guntong) menubuhkan Jawatankuasa Antiradioaktif Perak (PARC).

8 Disember: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kasitah Gadam berkata paras radiasi di dua tapak pembuangan haram di Bukit Merah yang diperiksa oleh AELB adalah selamat. Beliau berkata walaupun AELB mendapati paras melebihi paras radiasi biasa, ia tidak mendedahkan bahaya memandangkan bilangan tapak pembuangan itu hanya sedikit sahaja.     

1987

6 Februari: Tanpa mempedulikan perintah injunksi oleh Mahkamah Tinggi supaya ARE menghentikan operasi, AELB Malaysia mengeluarkan lesen kepada ARE untuk meneruskan semula operasi.

10 April: Empat belas pakar asing dijemput oleh PARC ke Bukit Merah – Pengasas dan Pengarah International Institute for Public Concern di Kanada, Dr Rosalie Bertell; Setiausaha Centre for Industrial Safety and Environmental Concern di India, V. T. Pathmanabhan; Presiden Health and Energy Institute di Amerika Syarikat, Kathleen Tucker turut dilarang daripada masuk ke dalam kilang ARE. Dalam satu forum yang diadakan di Bukit Merah, para pakar ini merumuskan bahawa kehadiran ARE menjadi bahaya kesihatan yang amat teruk.

12 April: Kira-kira 10,000 orang berarak melalui Bukit Merah sebagai membantah operasi semula ARE.

24 Mei: Kira-kira 300 orang disuraikan oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan berdekatan kilang ARE. Lebih 20 orang, termasuk tiga wanita, cedera dalam dua pertelingkahan pada hari itu. Kira-kira 60 orang ditahan oleh polis. Kesemuanya dibebaskan kecuali enam orang yang dibebaskan selepas disoal siasat. Enam belia itu dibebaskan seminggu kemudian kerana pihak polis tidak mengenakan sebarang tuduhan terhadap mereka. Kerja pembinaan oleh ARE untuk membina jalan ke tapak pembuangan kekal yang dicadangkan di Banjaran Kledang dihentikan oleh penduduk.

23 Julai: Seorang doktor dari Kanada, Bernie Lau, yang dilantik oleh PARC meletakkan alat pengesan gas radon di luar kilang ARE. Beliau mendapati jumlah gas radon yang ketara keluar dari kilang itu. Sebelum itu, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen Yong berkata, kerajaan berpuas hati dengan laporan penilaian alam sekitar cadangan tapak pembuangan kekal. Penilaian itu dijalankan oleh ARE bersama dengan pegawai kementerian.

7 September: Perbicaraan saman yang difailkan oleh lapan penduduk Bukit Merah terhadap ARE bermula di hadapan Hakim Peh Swee Chin di Mahkamah Tinggi Ipoh. Untuk menunjukkan kesengsaraan mereka, penyokong PARC berjalan sejauh kira-kira lapan kilometer dari Bukit Merah ke Ipoh. Polis menyuraikan perarakan mereka berdekatan Menglembu. Sembilan orang ditangkap tetapi kemudiannya dibebaskan dengan jaminan. Kira-kira 1,000 orang berkumpul di mahkamah untuk memberikan sokongan mereka.

11 September: Penduduk berarak dari Bukit Merah ke Mahkamah Tinggi Ipoh pada hari terakhir perbicaraan. Bilangan mereka yang berkumpul di kawasan mahkamah meningkat kepada 3,000 orang.

18 September: Penduduk Bukit Merah menfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap ARE kerana melanggar perintah injunksi yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 1985.

27 Oktober: Lebih seratus orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Antara mereka yang ditahan adalah: Pengerusi PARC Hew Yoon Tat, Naib Pengerusi PARC Hiew Yew Lan, bekas Setiausaha PARC Lee Koon Bun, ahli jawatankuasa Phang Kooi Yau dan peguam Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mewakili plaintif Bukit Merah, Meenakshi Raman. Mereka dibebaskan dua bulan kemudian.

November: ARE mula membina tapak pembuangan sisa kekal di Banjaran Kledang.

1988

25 Januari: Perbicaraan disambung semula.

1990

13 Februari: Perbicaraan hampir selesai selepas 65 hari perbicaraan yang mengambil masa lebih 32 bulan.

1992

11 Julai: Penduduk Bukit Merah memenangi saman mereka terhadap ARE. Kilang itu diperintah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh supaya ditutup dalam tempoh 14 hari. ARE mengumumkan bahawa ia akan membuat rayuan kepada Mahkamah Agung.

23 Julai: ARE menfailkan rayuan di Mahkamah Agung terhadap Mahkamah Tinggi Ipoh yang memerintahkan supaya dihentikan operasi. Pengerusi PARC Hew Yoon Tat dan Lau Fong Fatt, salah seorang palintif dalam saman terhadap ARE, bertemu pegawai pengurusan tertinggi Mitsubishi Chemical di Jepun. Mereka diberitahu ARE menfailkan rayuan tanpa kebenaran perbadanan itu.

24 Julai: Berikutan permohonan ex-parte oleh ARE, Ketua Hakim Mahkamah Agung menggantung (sehingga perintah selanjutnya) perintah Mahkamah Tinggi terhadap ARE supaya menghentikan operasi.

3 Ogos: Lebih 2,000 orang dari Bukit Merah hadir ke Mahkamah Agung untuk mendengar rayuan oleh ARE terhadap perintah Mahkamah Tinggi Ipoh yang menggantung operasi ARE. Bagaimanapun, hakim Mahkamah Agung menangguhkan perbicaraan kepada 5 Ogos disebabkan “tekanan oleh penduduk yang berpiket” di luar mahkamah.

5 Ogos: Mahkamah Agung membenarkan permohonan oleh ARE untuk menggantung perintah Mahkamah Tinggi yang menghendaki ARE menghentikan operasi sementara menunggu rayuan oleh syarikat itu. Menurut hakim, penutupan itu akan membawa kesukaran kepada syarikat itu dan 183 pekerjanya.

1993      

15 Mac: Jadual perbicaraan rayuan yang difailkan oleh ARE ditunda kepada 7 Jun.

23 Disember: Mahkamah Agung menolak keputusan Mahkamah Tinggi atas 2 alasan. Mahkamah berpendapat bahawa pakar ARE lebih dipercayai berikutan hasil ujian yang dijalankan oleh mereka menunjukkan bahawa radiasi adalah dalam paras yang dibenarkan. Kedua, Mahkamah Agung berkata penduduk perlu kembali kepada AELB untuk meminta supaya ia membatalkan lesen ARE, kerana AELB mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom. Mahkamah berkata: “... terpulang kepada penduduk untuk meyakinkan pihak berkuasa pelesenan bahawa operasi kilang itu tidak mempunyai kepentingan awam kerana bahaya radiasi kepada kesihatan mereka.”

Bagaimanapun, Akta Pelesenan Tenaga Atom tidak mempunyai sebarang peruntukan bagi rayuan oleh komuniti terjejas atau orang awam bagi sebarang rayuan untuk membatalkan lesen yang diberikan kepada syarikat oleh AELB.

Walaupun ARE berjaya dalam rayuan mereka, syarikat itu kemudiannya menghentikan operasi mereka dan mula membersihkan tapak itu akibat tekanan awam baik di peringkat negara dan antarabangsa.

1994      

19 Januari: ARE mengumumkan penutupan kilang Bukit Merah.

2002

6 November: Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) menulis surat kepada CAP dan berkata pelucutan tauliah dan pembersihan pencemaran di kilang ARE masih belum bermula. Ia hanya akan berlaku apabila Kerajaan Negeri Perak dan ARE memuktamadkan perjanjian.

2003

Pelaksanaan pelucutan tauliah dan pembersihan pencemaran bermula pada 2003 dan 2005.

2010

13 Jun: Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk membina loji tenaga nuklear dan melaporkan bahawa “sejumlah kecil” sisa nuklear ditanam di Perak.

Dr Mahathir berkata, “Di Malaysia, kita mempunyai sisa nuklear yang mungkin orang ramai tidak menyedarinya. Kita terpaksa menanam amang di Perak, jauh ke dalam tanah. Tetapi tempat ini masih tidak selamat. Hampir satu batu per segi daripada kawasan itu masih berbahaya.”

Berikutan kenyataannya itu, The Star menemui 80,000 tong 200 liter yang mengandungi sisa radioaktif yang pada masa ini disimpan di tapak pembuangan yang terletak di Banjaran Kledang di belakang pekan Papan. Tapak itu kira-kira 3 km dari Bukit Merah dan Papan dan kira-kira15 km dari Ipoh dan sisa itu bukan amang tetapi thorium hydroxide.

Pada hakikatnya, hanya Januari tahun ini kerja pembinaan kemudahan penyimpanan bawah tanah yang sempurna bermula yang dipanggil sel kejuruteraan (EC).

Kerja pembersihan yang berterusan terhadap masalah 30 tahun lalu dianggarkan bernilai RM300 juta.

2011

Mac: The New York Times melaporkan seramai 2,500 pekerja sedang giat menyiapkan kilang bernilai AS$230 juta di Gebeng, dekat Kuantan, yang akan menapis bijih radioaktif dari Australia.     

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt