Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hentikan rancangan pembinaan loji nuklear dan empangan besar

Berdasarkan apa yang berlaku di Jepun, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Malaysia supaya menghentikan dengan segera idea untuk membina loji nuklear dan empangan besar untuk menangani isu “krisis” tenaga.

Pada masa ini, jumlah penggunaan elektrik Malaysia adalah dianggarkan 14,000 megawatt (MW) tetapi kita mempunyai kapasiti bekalan sebanyak 23,000 MW. Ini memberikan Malaysia margin yang amat selesa memandangkan sasaran kerajaan hanya 20%.

Tragedi yang melanda Jepun menunjukkan bahawa malapetaka boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Meskipun Malaysia tidak terletak dalam Lingkaran Api Pasifik atau Alpide Belt, ia tidak bermakna bahawa kita selamat daripada bencana alam.

Plat tektonik sentiasa bergerak dan kemungkinan akan tiba masanya di masa hadapan Malaysia turut didampingi malapetaka semula jadi. Kita perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lepas dunia yang telah menunjukkan kesengsaraan dan penderitaan yang dialami akibat daripada bencana alam.

Daripada semua teknologi penjanaan elektrik, tenaga nuklear merupakan salah satu yang mampu mengakibatkan malapetaka kemalangan. Mana-mana negara dengan aspirasi nuklear perlu mempertimbangkan risiko bencana kemalangan sebagai sumbangan negatif utama teknologi ini.

Adakah Malaysia mempunyai kemampuan untuk menangani keadaan malapetaka seperti kebocoran reaktor atau kebakaran loji dan kesannya yang mungkin melampaui ruang dan masa? Adakah orang ramai sanggup menerima risiko ini, sedangkan alternatif tenaga yang lebih murah dan selamat adalah wujud?

Di seluruh dunia, orang ramai telah menyedari bahawa terdapat alternatif kepada nuklear dan empangan besar yang lebih selamat, murah dan boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan angin. Bagaimanapun, potensi Tenaga Diperbaharui (Renewable Energy - RE) sebagai sumber tenaga yang mapan di Malaysia ditolak berulang kali oleh penyokong tenaga nuklear berdasarkan analisis berat sebelah dan terpilih di pihak mereka.

Kami percaya dengan rangka kerja peraturan yang berkesan dan sempurna dan fiskal yang betul untuk RE, ia boleh menyumbang dengan berkesan kepada rizab tenaga Malaysia, seterusnya menyangkal keperluan untuk melabur dalam tenaga yang kotor, berbahaya dan mahal seperti nuklear.

Satu cara lagi untuk mengurangkan penggunaan tenaga ialah dengan memperbaiki kecekapan tenaga (Energy Efficiency - EE) dalam semua sektor. Pada hakikatnya, EE merupakan salah satu objektif  Dasar Tenaga Negara yang sepatutnya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan. Usaha oleh Kerajaan Malaysia untuk menggalakkan kecekapan tenaga perlu ditingkatkan kerana ia bergerak terlalu perlahan.

Di samping itu, tenaga mampu diri (self-sufficiency) adalah jaminan terbaik sekuriti tenaga. Ini boleh dicapai dengan mempelbagaikan tenaga boleh diperbaharui yang  mapan pada skala penjanaan mikro, kecil dan sederhana, menurut sumber tempatan yang diperolehi, supaya tenaga digunakan pada titik penjanaan, menjimatkan sehingga 69 peratus daripada tenaga yang hilang melalui pengaliran elektrik jarak jauh daripada loji tenaga berpusat besar dan pengeluaran karbon berkaitan.

Akhir sekali, menggabungkan langkah kecekapan tenaga (EE) dan tenaga diperbaharui (RE) untuk memenuhi permintaan tenaga akan menghapuskan sebarang justifikasi bagi tenaga nuklear dan empangan besar.

Sehubungan itu, kami menggesa Kerajaan Malaysia supaya membatalkan rancangan untuk memajukan tenaga nuklear dan pembinaan empangan besar.

Surat kepada Pengarang - 17  Mac 2011

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt