Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Tidak mahu tenaga nuklear di Malaysia

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) merasa amat kecewa dengan pendirian Kerajaan Malaysia berhubung cadangan untuk membina loji tenaga nuklear di Malaysia.

Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, telah menyatakan Kabinet Malaysia masih belum memberi keputusan ke atas cadangan ini memandangkan Kabinet masih menunggu laporan daripada agensi pembangunan nuklear.

Kita tidak perlu menunggu sebarang laporan atau kajian lebih lanjut berhubung perkara ini. Pokoknya, loji tenaga nuklear ini seakan bom jangka dan kita tidak mahu teknologi berbahaya ini dibina di mana-mana tempat di Malaysia.

Pada masa yang sama, penularan reaktor nuklear di bahagian lain di dunia ini juga tidak seharusnya dibenarkan Bencana letupan dan kebocoran radiasi di loji tenaga nuklear Fukushima, Jepun berikutan gempa bumi dan tsunami menjadi peringatan akan kemusnahan yang boleh disebabkan oleh loji tenaga nuklear.

Jika Kerajaan Malaysia masih ingin meneruskan pembangunan tenaga nuklear, maka ia akan  menimbulkan masalah kepada generasi akan datang yang akan mengalami kecacatan sejak lahir dan pencemaran alam sekitar. Di samping potensi kemalangan dan kebocoran yang akan menyebarkan radiasi berparas tinggi, kita juga akan terdedah kepada radiasi dan pencemaran air yang secara rutinnya dilepaskan melalui operasi semua reaktor nuklear.

Pengalaman daripada bencana Chernobyl, Three Mile Island dan kini Fukushima menunjukkan kita akan terjejas sepenuhnya oleh kemalangan seperti itu dengan kehilangan nyawa, kecederaan, masalah kesihatan kronik dan akut, kehilangan pendapatan, pekerjaan dan sumber asli yang akan memakan masa beberapa generasi untuk pulih semula. Alam sekitar juga akan tercemar dengan teruk.

Satu lagi isu utama ialah pelupusan sisa nuklear. Walau di mana pun ia ditanam atau dibenamkan, kita tidak dapat menjamin untuk beribu tahun bahawa ia akan kekal selamat di tempat simpanannya. Oleh itu ia adalah tidak bermoral sama sekali sekiranya kuasa nuklear masih dibangunkan kerana ia menunjukkan kita tidak mementingkan kesejahteraan generasi masa depan sebab warisan kerosakan fizikal dan alam sekitar yang kita akan tinggalkan.

Banyak negara kini mengkaji semula rancangan mereka untuk memajukan reaktor nuklear baru ekoran letupan reaktor di Jepun. China telah menggantung proses kelulusan bagi stesen tenaga nuklear di negara itu agar piawaian keselamatan boleh diteliti semula. Jerman telah menutup sementara kesemua tujuh loji tenaga nuklear yang mula beroperasi sebelum 1980.

Perdana Menteri Thailand juga telah mengarahkan Kementerian Tenaga supaya menyemak semula rancangan untuk menubuhkan lima loji tenaga nuklear dan mengkaji dua isu dengan lebih lengkap iaitu langkah kecemasan dan potensi reaktor nuklear sebagai sasaran pengganas.

Walaupun langkah ini dialu-alukan, tetapi ia tidak mencukupi. Cadangan baru tenaga nuklear mestilah ditolak sepenuhnya dan pembubaran sempurna loji tenaga nuklear yang sedia ada mesti dilakukan dengan segera.

Malaysia mestilah menunjukkan contoh yang baik dengan menolak rancangan untuk tenaga nuklear dan menggesa semua kerajaan untuk melakukan perkara yang sama.

Sidang Akhbar - 19 Mac 2011

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt