Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kesan buruk penggunaan racun makhluk perosak

Laporan mengenai sebahagian besar ikan di Sungai Terla mati pada minggu lepas hingga memaksa penutupan loji rawatan air Kampung Terla di Cameron Highlands, Pahang merupakan berita yang amat mengejutkan. Ujian yang dilakukan oleh Jabatan Kimia mendapati penggunaan racun makhluk perosak yang berlebihan menjadi punca kematian ikan-ikan itu. Loji rawatan air itu ditutup sehingga airnya disahkan selamat untuk diminum.

Racun makhluk perosak merupakan racun berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan manusia dan alam sekitar. Disebabkan penggunaan racun makhluk perosak yang banyak di dalam sektor pertanian dan di rumah, bahan kimia toksik ini kini terdapat di dalam semua hidupan daripada sekecil hidupan sehinggalah kepada manusia.

Siasatan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di Cameron Highlands dan kawasan lain pada masa lepas mendapati penggunaan rmakhluk perosak yang berleluasa. Malah petani menggunakan racun makhluk perosak yang diharamkan yang amat berbahaya kepada kesihatan manusia. Penggunaan pelbagai campuran racun makhluk perosak iaitu mencampurkan pelbagai jenis racun makhluk perosak yang berbeza untuk menjadikannya lebih kuat juga menjadi perkara biasa.

Racun makhluk perosak menjejaskan kesihatan manusia melalui kesan akut, kronik atau kedua-duanya sekali. Kesan kronik boleh merupakan kesan yang lambat daripada pendedahan individu, atau hasil daripada pendedahan paras rendah yang berulangan yang mana kesannya akan memakan masa.

Kesan racun makhluk perosak kepada kesihatan bergantung kepada jenis racun makhluk perosak. Sesetengah racun makhluk perosak mungkin berkarsinogen, boleh menjejaskan sistem endokrin atau hormon dalam tubuh. Manakala yang lain pula mungkin menyebabkan kerengsaan kulit dan mata. Paling membimbangkan ialah kesannya yang boleh meresap ke dalam janin dan kanak-kanak menyebabkan keracunan racun makhluk perosak.

Insiden pencemaran racun makhluk di sungai itu baharu-baharu ini dan bekalan air domestik mengesahkan bahawa petani di Cameron Highlands masih menggunakan terlalu banyak racun makhluk perosak. Syarikat kimia pertanian terus menjual pelbagai jenis racun makhluk perosak, dan petani yang hanya mementingkan keuntungan pula terus memberi pengguna racun dengan menyemburkan racun pada tanaman mereka. Petani yang menggunakan racun makhluk perosak sering berhujah bahawa sisa racun makhluk perosak yang digunakan adalah mengikut standard yang telah ditetapkan tetapi kami yakin perkara itu tidak seperti yang didakwa.

Jawatankuasa Codex mengenai Sisa Racun Makhluk Perosak ditugaskan untuk membangunkan Had Sisa Maksimum (MRL). Pertimbangan kesihatan awam sepatutnya diambil kira dengan mewujudkan MRL pada paras yang tidak tinggi berbanding hasil daripada penggunaan racun makhluk perosak selaras dengan Amalan Pertanian Baik (GAP). Isunya ialah masih terdapat sisa racun makhluk perosak dalam makanan yang kita makan. Sebelum ini paras selamat yang ditetapkan mungkin tidak selamat sepenuhnya memandangkan masih banyak yang perlu dikaji mengenai racun ini.

Kesan pendedahan racun makhluk perosak mungkin tidak dapat dirasakan dengan segera tetapi dalam kes terbaharu di Cameron Highlands, kesan akutnya telah terbukti dan kami difahamkan ramai yang jatuh sakit selepas meminum air yang tercemar itu.   

Ketiadaan tindakan yang berterusan terhadap penggunaan racun makhluk perosak telah mengakibatkan penderitaan kepada manusia dan kematian kehidupan akuatik. Walaupun kerajaan menyedari masalah penggunaan racun makhluk perosak, ia lambat bertindak dalam mengarusperdanakan pertanian organik.

Petani organik di seluruh dunia dan projek pertanian asli CAP telah membuktikan bahawa sayuran dan buahan boleh dihasilkan secara menguntungkan tanpa menggunakan racun makhluk perosak. Kerajaan Malaysia mestilah mengambil langkah untuk menerapkan perubahan daripada sistem pertanian yang bergantung kepada racun makhluk perosak ke arah pertanian organik yang lebih asli dan mapan. Kegagalan untuk berbuat demikian merupakan satu pakatan dengan mereka yang meracuni penduduk kita.

Surat Kepada Pengarang - 7 Mac 2012

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt