Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Memakan Daging Membawa Kesengsaraan dan Memusnahkan Kesihatan dan Bumi

Hari ini, 25 November adalah Hari Tanpa Daging yang disambut di seluruh dunia dan pada kesempatan ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat Malaysia agar mengurangkan atau jika perlu elakkan daripada memakan daging untuk manfaat kesihatan dan alam sekitar kita.

Meningkatnya kemakmuran membolehkan penduduk di seluruh dunia memakan lebih banyak daging dan Malaysia juga tidak terkecuali. Pengambilan daging per kapita kita telah meningkat daripada 13.2 kg pada 1961 kepada hampir 55 kg pada 2017. Dengan peningkatan pendapatan, diramalkan pengguna Malaysia akan memakan lebih banyak daging pada masa depan.

Pada masa kini, terdapat kira-kira 23 bilion ayam, 1.5 bilion lembu dan 1 bilion babi dan biri-biri untuk penggunaan manusia. Kira-kira 83% tanah ladang di seluruh dunia digunakan untuk memberi makan ternakan.

Sementara daging itu sedap, ia disertai dengan banyak penderitaan, bukan hanya kepada haiwan tetapi juga manusia yang memakannya. Pengambilan daging dikaitkan dengan obesiti, penyakit jantung, kanser, diabetes, dan banyak lagi penyakit kronik  lain yang membunuh.

Memakan lebih banyak daging meningkatkan peluang kita untuk menghidap penyakit atau mati awal. Perangkaan kesihatan menunjukkan negara yang paling banyak mengambil daging, mempunyai insiden penyakit jantung dan kanser.

Kajian oleh Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC) mendapati “bukti yang mencukupi dalam manusia bahawa pengambilan daging, terutama sekali daging proses menyebabkan kanser usus.”

Daging proses termasuklah daging bergaram, diawet, diperam atau disalai – hot dog, sosej, daging asin, daging kering, daging dalam tin atau sos berasaskan daging. Hasil penemuan itu menyokong “saranan supaya mengehadkan pengambilan daging” terutamanya dalam bentuk proses, jelas IARC.

Di samping kesan kesihatan daripada memakan daging, ramai pengguna tidak melihat kepada besarnya kesan alam sekitar yang disebabkan oleh pengambilan daging.

Mungkin tidak ada aktiviti manusia yang mempunyai kesan besar berbanding ladang ternakan. Kira-kira 40% daripada permukaan tanah dunia digunakan untuk menanam tanaman makanan, kebanyakannya digunakan untuk memberi makan haiwan. Ladang ternakan di seluruh dunia menjana 18% lebih banyak gas rumah hijau berbanding pengangkutan. Kira-kira 70% daripada hutan Amazon ditebang untuk haiwan meragut.

Untuk mendapatkan daging, haiwan perlu disembelih. Rumah sembelihan merupakan barisan pengeluaran industri dengan pekerja separuh mahir bekerja keras dalam keadaan yang buruk. Sesetengah rumah sembelihan mampu menyembelih 85,000 ekor lembu, 70,000 babi dan 12 juta ayam sehari. Industri ini tersembunyi daripada pandangan. Kumpulan hak asasi haiwan mempersoalkan etika industri penyembelihan.

Kita telah memusnahkan ekosistem yang luas dan menghabiskan sumber yang banyak untuk menyokong ternakan yang semakin berkembang pesat di dunia. Haiwan ternakan menghasilkan jumlah sisa yang banyak seperti nitrogen, fosforus, potasium, sisa ubatan, organisma penyebab penyakit dan logam berat yang boleh  mencemarkan sistem air kita.

Penghasilan daging juga paling tidak cekap. Untuk menghasilkan satu kilogram daging lembu, ia memerlukan 6.5 kilogram bijirin, 36 kilogram bahan makanan pelawas, dan 15,500 meter padu air.

70% antibiotik dihasilkan di seluruh dunia digunakan untuk ternakan. Antibiotik melakukan dua fungsi: Ia membantu haiwan meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan teruk sehingga disembelih, dan menjadikan haiwan membesar dengan cepat. Menurut WHO, lebih banyak antibiotik diberikan kepada haiwan sihat berbanding manusia.

Ternakan biasanya diberikan antibiotik yang sama dengan manusia. Setiap kali antibiotik diberikan, terdapat peluang bagi bakteria untuk berkembang menjadi kebal. Patogen biasa seperti Escherichia coli, salmonella atau campylobacter akan berkembang menjadi : Kuman Kebal” dengan kehadiran antibiotik dan ini boleh menjejaskan kesihatan manusia.

Kajian juga mendapati najis ayam digunakan untuk memberi makan lembu, bahagian anggota  haiwan diberi makan semula kepada haiwan (kanibalisme yang boleh membawa kepada Penyakit Lembu Gila) dan berenga digunakan sebagai sumber protein untuk haiwan.

Tidak dinafikan bagaimana lazatnya daging. Selagi pengguna tidak melihat bagaimana daging diperolehi, mereka tidak kisah untuk memakan daging. Mereka juga tidak ketahui keadaan  daging yang mereka beli dihasilkan. Mereka tidak tahu mengenai antibiotik, hormon dan patogen yang ditemui dalam daging, kekejaman kepada haiwan, menyebabkan kemusnahan alam sekitar dan sampah yang diberi makan kepada haiwan.

Daging memuaskan ramai orang. Memakan daging tidak menjadikan seseorang itu buruk, begitu juga menjadi pengamal vegetarian menjadikan seseorang itu baik. Tetapi sesuatu perlu dilakukan mengenai cara rakyat Malaysia mendapatkan daging.

Memandangkan hari ini adalah Hari Tanpa Daging, CAP ingin menggesa semua pengguna untuk mengurangkan atau jika perlu elakkan daripada memakan daging untuk manfaat kesihatan dan alam sekitar dan pada masa yang sama memikirkan nasib berbilion haiwan yang terpaksa mengorbankan nyawa untuk kita  memuaskan selera memakan daging.


Kenyataan Akhbar, 25 November 2020

alt

alt

alt

alt

alt