Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Hari Perikanan Sedunia: SAM gesa nasib nelayan dan sumber hidupan laut diberi perhatian serius

Hari Perikanan Sedunia diperingati pada 21 November setiap tahun. Hari Perikanan Sedunia disambut untuk menarik perhatian masyarakat tempatan dan dunia kepada masalah serta isu berkaitan dengan perikanan seperti penangkapan ikan berlebihan, kaedah tangkapan yang merosakkan sumber, pemusnahan habitat, pencemaran, pembangunan pinggir pantai dan  pelbagai ancaman lain terhadap sumber hidupan laut.

Kajian melaporkan bahawa lebih daripada dua pertiga perikanan dunia telah mengalami penangkapan berlebihan atau dituai sepenuhnya dan lebih dari satu pertiga berada dalam keadaan merosot kerana pelbagai faktor.

Di Malaysia, pukat tunda dan alat tangkap terlarang serta merosakkan sumber merupakan salah satu daripada faktor utama kemerosotan sumber perikanan. Alat tangkap ini banyak memerangkap anak-anak ikan yang tiada nilai komersial, dan yakni dijadikan ikan baja. Kajian menunjukkan hingga 60% tangkapan oleh pukat tunda adalah ikan baja dan anak-anak ikan.

Selain itu, alat tangkap ini merosakkan dasar laut dan kawasan pembiakan hidupan marin. Operasi pukat tunda ini juga telah menimbulkan konflik dan ketegangan kepada nelayan pantai zon A kerana pukat ini kerap menceroboh ke kawasan tangkap nelayan Zon A serta merosakkan alat tangkapan nelayan.

Dasar Penghapusan Pukat Tunda B dan Penghapusan Pukat Kenka 2 bot (Apollo) berkuatkuasa 1 Januari 2021 mesti diteruskan seperti yang dirancang. Dasar ini perlu dilaksana segera seperti yang dirancang bagi menjamin sumber perikanan yang lestari dan berterusan. Dasar ini telah lama dirancang iaitu sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) bagi mengurangkan daya tangkap berlebihan di laut.

Pada 2014, Menteri Pertanian telah mengumumkan untuk penghapuskan pukat tunda di Zon B bermula 1 Januari 2016. Walaubagaimanapun,  peracangan ini ditunda kepada 1 Januari 2021 atas dasar dan bantahan pengusaha pukat tunda yang memerlukan lebih masa untuk menukar alat tangkap serta kebajikan awak-awak dan tekong. Sehingga hari ini, SAM melihat tiada kesungguhan dan komitmen dari kerajaan untuk mempertahankan dasar ini.

Selain itu, masalah pencerobohan nelayan asing terutamanya di perairan pantai Timur Malaysia di Laut China Selatan meliputi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang iaitu sekitar 121,398 kilometer persegi dengan jarak pantai 574 kilometer bermula dari Pantai Tok Bali di Kelantan sehingga ke Endau, Rompin di Pahang harus diberi perhatian serius. Pencerobohan nelayan asing dari negara jiran terutamanya dari Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia telah menyebabkan negara kerugian 6 bilion ringgit (AS$1.45 bilion) setahun.

Penggunaan pukat tunda ganding oleh nelayan asing banyak merosakkan sumber, bubu dan unjam nelayan serta mengancam keselamatan kepada nelayan tempatan. Lesen vesel terpakai yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan juga harus disemak semula kerana banyak lesen-lesen ini di Alibaba untuk kepentingan sesetangah pihak.

Usaha Jabatan Perikanan bagi meningkat sumber perikanan melalui penggunaan tukun tiruan amat disambut baik. Tukun-tukun tiruan ini akan menjadi tempat pembiakan ikan. Selain itu, tukun ini juga dapat berfungsi sebagai penghalang aktiviti nelayan pukat tunda dari masuk ke kawasan zon pantai. Pukat tunda yang tersangkut pada tukun akan pecah manakala tali penarik akan putus.

Selain tukun-tukun konkrit (atau buatan), bot-bot nelayan asing yang dilucut hak kerana menceroboh sempadan negara turut dijadikan tukun. Pelupusan bot dengan kaedah penenggelaman memberikan manfaat kepada para nelayan kerana ia akan menjadi habitat perikanan yang baharu sekali gus dapat menambah kawasan pembiakan ikan serta dapat menjana ekonomi nelayan setempat. Melalui pendekatan ini juga dapat memberi amaran dan pengajaran kepada mana-mana bot asing yang cuba menceroboh perairan negara.

Selain itu, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya bakau harus dipergiat. Kawasan hutan bakau yang sedia ada perlulah dikekalkan serta dipelihara dan dipulihara dengan baik. Kawasan-kawasan terosot perlu dilakukan usaha penanaman semula serta rawatan yang berterusan. Hutan paya bakau merupakan habitat hidupan marin untuk  membiak serta amat penting kepada kitaran hidupan anak-anak ikan, udang dan ketam dalam mencari tempat pelindungan sebelum membesar dan ke laut lepas.

Pokok-pokok bakau juga merupakan penyimpan karbon yang terbaik. Hasil kajian penilaian karbon mendapati pokok bakau yang berumur 4 hingga 13 tahun mampu menyimpan karbon di antara 7.25 hingga 83.35 tan karbon dengan kadar sekuestrasi karbon adalah antara 1.7 hingga 6.0 tan karbon per hektar setahun.

Bagi pokok rhu dan spesies-spesies lain yang berumur 4 hingga 7 tahun pula mampu menyimpan karbon di antara 3.02 hingga 103.62 tan karbon dengan kadar sekuestrasi karbon adalah di antara 1.7 hingga 6.0 tan karbon per hektar setahun. Sekaligus, merupakan antara tumbuhan terbaik dalam menstabilkan suhu bumi dan mengawal pemanasan global.

Hari Perikanan Sedunia membawa kita menyoroti secebis masalah serta isu-isu berkaitan perikanan serta merencana dan mencari jalan keluar terbaik kepada masalah yang saling berkaitan ini. Pemeliharaan dan pemuliharaan sumber perikanan merupakan agenda penting yang perlu dibawa oleh semua pihak bagi memastikan sumber protein negara berasaskan ikan dan sumber laut dapat dinikmati oleh generasi ke generasi.


Kenyataan Akhbar, 21 November 2020


alt

alt

alt

alt

alt