Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Suruhanjaya Siasatan Diperlukan Untuk Menangani Pencemaran Sungai

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya menubuhkan  Suruhanjaya Siasatan untuk mengkaji punca utama pencemaran sungai, termasuk kawasan tadahan air di negara ini. Ia mestilah mengemukakan cadangan yang akan mengakhiri masalah pencemaran sungai yang berterusan ini.

Antara isu yang mesti dilihat oleh Suruhanjaya ini ialah:

* Jika ada undang-undang yang mencukupi untuk melindungi sungai dan sumbernya.

* Jika ada penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.

* Mengenal pasti dan memperbetulkan masalah yang mendasari berkaitan dengan hubungan antara negeri/persekutuan berhubung pengurusan sungai.

* Melihat kepada isu tadbir urus seperti sama ada seharusnya ada satu agensi sahaja yang bertanggungjawab dalam menguruskan sungai dengan kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang.

* Amalan rasuah dalam sektor awam dan swasta yang membolehkan pembuangan sisa ke dalam sungai dan saliran.

Kami menggesa kerajaan supaya mengelakkan mengambil langkah secara ad hoc kerana ia tidak berkesan dalam menangani masalah yang membarah ini. Penyelesaian secara holistik diperlukan kerana bila saja krisis berlaku, pelbagai janji dibuat untuk menangani masalah tetapi tiada perkara yang kuat dan berkesan berlaku.

Situasi ini amat serius kerana menurut Laporan Kualiti Alam Sekitar Malaysia 2017, hanya 219 (46 peratus) daripada 477 sungai yang diawasi dikategorikan sebagai ‘bersih’; 207 (43 peratus), ‘sedikit tercemar’; dan 51 (11 peratus), ‘tercemar’. Bagaimanapun, dilaporkan pada 2019 bahawa Malaysia memiliki 25 sungai ‘mati’. Daripada sungai ‘mati’ ini, 16 terletak di Johor, lima di Selangor, tiga di Pulau Pinang dan satu di Melaka.

Pelepasan sisa daripada industri, bengkel, kawasan kediaman, ternakan haiwan dan ladang pertanian merupakan penyumbang utama kepada pencemaran. Sehingga September 2019, sebahagian daripada Selangor, mengalami empat gangguan air tidak berjadual akibat pencemaran Sungai Selangor. Sekali lagi pada tahun ini, terdapat gangguan air di Kuala Lumpur dan Selangor selama empat hari yang menjejaskan 5 juta orang akibat pencemaran sungai yang disebabkan oleh kilang.

Kerajaan mestilah membuat rombakan terhadap seluruh sistem untuk menghapuskan sebarang kelemahan dalam undang-undang. Contohnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) hanya berkuasa untuk menyaman pihak yang melakukan pencemaran di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974. Oleh itu, JAS tidak dapat mengambil tindakan terhadap kilang haram dan tidak berlesen, pasar, gerai makanan dan kawasan setinggan.

Seharusnya terdapat hanya satu agensi untuk menguatkuasakan undang-undang bagi melindungi sungai dan kawasan tadahan air dengan kuasa untuk memenjarakan mereka yang mencabuli undang-undang dan menutup sumber yang menyebabkan pencemaran termasuk kilang.

Pencemaran Sungai Selangor mestilah disiasat dengan teliti dan langkah berkesan mestilah diambil untukmemastikan insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang. Ia juga seharusnya digunakan sebagai kes bagi menekankan akan kepentingan sumber air kita.

Kami merasa bingung bagaimana kilang yang beroperasi sejak 2014 tanpa lesen dan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan untuk menutupnya. Ia merupakan pesalah yang berulang, yang sebelum ini ditangkap dan dikenakan kompaun RM60,000 oleh JAS kerana melepaskan bahan cemar ke dalam Sungai Gong pada Mac 2020. Kenapa pihak Majlis Perbandaran di Selangor tidak merobohkan kilang tidak berlesen sebaliknya memberikan notis tiga hari kepada pengendali supaya menyerahkan pelan kelulusan. Kelalaian tugas oleh pegawai awam mestilah disiasat dan dipertanggungjawabkan.

Kerajaan Negeri tidak seharusnya mensahkan kilang haram melalui apa yang dipanggil proses mensahkannya. Ini hanya akan menggalakkan pembinaan kilang yang melanggar undang-undang.

Pemilik kilang perlu disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan untuk memohon lesen operasi dan kilang perlu dirobohkan. Kami ingin mengingatkan Kerajaan Negeri Selangor bahawa ia telah mengisytiharkan pada 2016 bahawa kilang tidak akan dibenarkan untuk beroperasi di sepanjang sungai utama di Selangor bagi mencegah pencemaran. Pada hakikatnya, tiada aktiviti pencemaran oleh manusia seharusnya dibenarkan memandangkan ia akan mengakibatkan pencemaran sumber air. Kami juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat sama ada terdapat unsur rasuah terlibat dalam membenarkan 2,978 kilang haram di Selangor pada 2016 beroperasi.


Kenyataan Akhbar, 10 September 2020

alt

alt

alt

alt

alt