Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

SAM alu-alukan penubuhan unit jenayah alam sekitar

Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berhubung penubuhan unit jenayah alam sekitar bagi menangani kegiatan haram yang boleh menjejaskan sumber asli negara.

Kami mengalu-alukan pengumuman Menteri Alam Sekitar bahawa rancangan sedang dilaksanakan untuk menyelaraskan usaha di antara pihak kementerian, polis dan tentera untuk melindungi sumber alam yang sangat berharga daripada masalah pencemaran.

Tindakan ini sememangnya sudah lama tertangguh, melihat kepada kejadian terbaharu kegiatan haram misalnya sisa toksik dan industri dibuang ke sungai, seperti pencemaran air di Lembah Klang dan pencemaran Sungai Kim Kim yang ternyata menjejaskan sebahagian besar penduduk termasuk pelajar sekolah.

Kegiatan haram lain misalnya pembalakan, selain pencerobohan dan perdagangan hidupan liar juga perlu diberi pertimbangan yang sama.

Kesemua perkara ini berada di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan adalah lebih baik jika unit jenayah alam sekitar itu diperluaskan bagi menangani kegiatan haram yang memusnahkan hutan dan sumber biodiversiti, sebagai tambahan kepada  sumber air kita.

Memandangkan kawasan tadahan air berada di hutan, ianya wajar kita turut memelihara sumber-sumber asli ini juga.

Di peringkat antarabangsa, perdagangan hidupan liar telah dikaitkan dengan kemunculan coronavirus  yang membawa kepada pandemik Covid-19 dan untuk mencegah penyakit zoonotik yang lain, kita juga perlu mempertimbangkan secara serius tindakan melindungi hidupan liar dan biodiversiti kita.

Oleh itu kami turut mencadangkan agar KeTSA dan KASA bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan Majlis Keselamatan Negara selain Kementerian Dalam Negeri bagi menyelaraskan isu-isu jenayah berkaitan alam sekitar dan sumber asli.

Tambahan pula, tindakan tegas mesti diambil terhadap pegawai-pegawai di bahagian penguatkuasa yang telah mengabaikan tugas di bawah undang-undang sedia ada dalam memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan dengan tegas. Tidak ada gunanya kita mempunyai undang-undang yang kuat tetapi lemah dalam pelaksanaannya.

Selanjutnya badan kehakiman perlu memberi perhatian serius berhubung kesalahan dan jenayah alam sekitar serta mengenakan hukuman maksimum dan berat, bukannya dengan sekadar mengenakan denda yang membolehkan pesalah membayar denda dan terus mencemarkan alam sekitar.

Kami bersetuju dengan Menteri Alam Sekitar bahawa ancaman terhadap sumber asli boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi. Justeru kita mesti belajar dan bertindak sebelum bencana alam sekitar lain berlaku.

Oleh itu, penubuhan unit jenayah alam sekitar merupakan satu langkah yang tepat.


Kenyataan Akhbar, 8 September 2020

alt

alt

alt

alt

alt