Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP BANTAH TAPAK PERTANIAN DIJADIKAN KAWASAN PERLOMBONGAN

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Selangor mengkaji semula dan menarik balik cadangan untuk menjadikan Taman Pengeluaran Kekal Makanan di Bestari Jaya, Kuala Selangor sebagai kawasan perlombongan.

Mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini (18 Ogos 2020), CAP bersimpati dengan nasib 23 peneroka yang terdiri dari petani dan penternak yang bakal kehilangan sumber pendapatan jika keputusan tersebut dilaksanakan.

CAP membantah keputusan tersebut kerana ia bukan saja boleh menjejaskan sumber bekalan makanan negara tetapi juga kehidupan para pengusaha projek pertanian di kawasan tersebut dan alam sekitar pada masa akan datang.

Menurut laporan media masalah ini tercetus berikutan anak syarikat kerajaan Selangor telah diberi kuasa untuk menjadikan tapak pertanian seluas 72.8 hektar di sini sebagai kawasan perlombongan. Para peneroka yang terlibat bimbang kerana projek pertanian yang mereka usahakan sejak 10 tahun yang lalu akan musnah termasuk modal jutaan ringgit yang telah mereka belanjakan.

Mereka juga kesal kerana tempoh kebenaran selama 49 tahun sehingga 2040 yang telah diluluskan tidak dipatuhi oleh pihak berkenaan menyebabkan mereka akan diusir dalam jangka masa dua tahun akan datang.

Justeru itu CAP berharap kerajaan Selangor membatalkan hasrat tersebut demi masa depan sumber makanan negara, kehidupan masa depan keluarga pengusaha pertanian yang terlibat dan masa depan alam sekitar di kawasan itu.

CAP berpendapat bahawa kerajaan Selangor harus berbincang dengan pengusaha pertanian terbabit serta jabatan dan agensi yang terlibat untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Keputusan yang paling baik dalam hal ini ialah membatalkan cadangan perlombongan di sini.

CAP amat kecewa kerana ketika sumber makanan dan alam sekitar di negara ini sedang terancam kerajaan Selangor telah membuat keputusan yang boleh menambahkan lagi masalah itu. Kesejahteraan rakyat, jaminan bekalan makanan dan perlindungan alam sekitar perlu didahulukan.


Kenyataan Media, 18 Ogos 2020

alt

alt

alt

alt

alt