Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP BIMBANG GANGGUAN BEKALAN AIR PAIP DI KEDAH SEMAKIN SERIUS

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa bimbang berikutan gangguan bekalan air paip yang berterusan dan semakin serius berlaku di Kedah ketika ini. Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu di negeri tersebut jika tidak ditangani segera boleh menjejaskan keperluan asas dan kesihatan penduduk-penduduk yang terlibat.

Mengulas laporan akhbar tempatan hari ini (Utusan Malaysia : 11 Ogos 2020) CAP bersimpati dengan penduduk-penduduk di beberapa kawasan yang terpaksa berjaga malam dan menggunakan air hujan untuk kegunaan harian kerana bekalan air paip di rumah mereka sering terganggu. Malah ada yang terpaksa membeli air mineral untuk minuman

Media melaporkan bahawa penduduk di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah mendakwa bekalan air sering terputus dan menimbulkan banyak kesulitan kepada mereka dan menjadi lebih serius pada musim perayaan. Manakala di Merbok, masalah gangguan bekalan air berlaku di kawasan ini kerana logi lama tidak mampu lagi menampung keperluan pengguna yang semakin bertambah.

Bagi penduduk-penduduk di Kampung Pida 11 Lama, Jalan Sanglang daerah Kubang Pasu pula, bekalan air paip di rumah mereka hanya ada antara pukul 3 hingga 6 pagi sahaja. Untuk memenuhi keperluan harian penduduk terbabit terpaksa membeli air mineral atau menggunakan pam bagi mendapatkan sumber air.

Sejak berlakunya masalah bekalan air paip di negeri jelapang padi ini CAP telah beberapa kali menggesa kerajaan Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyiasat dan mengambil tindakan ke atas punca berlakunya kejadian tersebut. Namun begitu CAP amat kesal di atas perhatian dingin dan tidak bersungguh-sungguh pihak berkenaan dalam usaha untuk menanganinya menyebabkan keluh resah penduduk terbabit berlanjutan hingga sekarang.

Justeru itu, CAP berharap agar kerajaan Kedah dan SADA membekalkan air bersih yang mencukupi bagi kegunaan penduduk-penduduk yang menghadapi masalah tersebut di samping melaksanakan pembinaan logi rawatan air di Pelubang, Bukit Selambau, Jenun Baru, Sungai Limau dan Lubuk Buntar dengan secepat mungkin.

Pada masa yang sama kawasan tadahan air dan sumber utama bekalan itu seperti Hutan Simpan Ulu Muda, sungai dan tasik perlu dilindungi dari sebarang bentuk ancaman atau pencemaran kerana tempat-tempat itu merupakan nadi kehidupan rakyat negeri ini.


Kenyataan Media, 11 Ogos 2020

alt

alt

alt

alt

alt