Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

CAP Sambut Baik Lesen Untuk Nelayan Zon A

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik keputusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Jabatan Perikanan yang akan membuka semula permohonan lesen nelayan pantai (Zon A) untuk mereka yang aktif dalam bidang ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan akhbar tempatan (Sinar Harian, 27 Julai 2020) baru-baru ini berkata, isu lesen memerlukan perhatian sewajarnya memandangkan nelayan sentiasa terdedah kepada risiko ketika di laut.

Mengulas kenyataan menteri itu, CAP berpendapat tindakan sedemikian adalah yang terbaik dan tepat pada masanya dalam usaha kerajaan membantu golongan ini bagi meningkatkan usaha dan menambahkan hasil pendapatan mereka.

CAP mendapati sejak 30 tahun selepas dasar pengurangan nelayan diperkenalkan ramai nelayan pantai yang terlibat dengan dasar tersebut menghadapi berbagai masalah kerana sukar untuk memperbaharui lesen mereka. Malah tidak kurang juga yang merungut kerana tidak sesuai dengan kerja-kerja yang mereka terpaksa teruskan dalam sektor lain seperti perladangan.

Dasar sebelum ini yang kononnya untuk mengimbangi hidupan laut dengan jumlah nelayan pantai yang dikatakan ramai menyebabkan sumber tersebut berkurangan, adalah tidak logik dan tidak munasabah. CAP menegaskan hidupan laut berkurangan bukan kerana nelayan pantai terlalu ramai tetapi puncanya kerana masalah lain seperti pencemaran laut, kemusnahan hutan paya bakau, penggunaan dan pencerobohan pukat tunda dan lain-lain.

Justeru keputusan Kementerian membuka lesen untuk nelayan Zon A merupakan satu pembelaan yang amat besar ertinya bagi golongan nelayan pantai untuk menarik nafas lega setelah sekian lama dibelenggu kebimbangan kerana tidak mempunyai lesen ketika menangkap ikan di laut.

Nelayan-nelayan pantai yang mempunyai lesen juga memudahkan mereka membuat tuntutan seperti insurans, khairat kematian dan urusan Perkeso.

CAP pasti seluruh nelayan pantai yang berdaftar di bawah Jabatan Perikanan bersyukur dengan keputusan Kementerian ini. CAP menyeru agar nelayan di Zon A menjalankan aktiviti tangkapan mengikut undang-undang serta peraturan yang termaktub di bawah Akta Perikanan 1985 demi pengekalan sumber makanan untuk pengguna pada masa depan.


Kenyataan Media, 28 Julai 2020

alt

alt

alt

alt

alt