Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

FOUM mendesak Kerajaan Negeri Kedah untuk mengutamakan Pemuliharaan dan Perlindungan Hutan Belantara Ulu Muda (Greater Ulu Muda Forest) dan membangunkan sumber pendapatan lestari

Friends of Ulu Muda (FOUM) adalah gabungan beberapa organisasi dan individu yang bekerjasama untuk melindungi Hutan Ulu Muda dan kawasan sekitarnya seluas 160,000 ha. Hutan memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan dan kesejahteraan penduduk negeri Perlis, Pulau Pinang dan Kedah, dan merupakan sebahagian daripada warisan semula jadi Malaysia dan dunia yang tidak dapat diganti.

FOUM menyokong pemuliharaan dan perlindungan Hutan Belantara Ulu Muda dan kami berharap pembalakan tidak akan dimulakan semula di kawasan ini. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan hasrat mereka untuk memulakan semula pembalakan bagi mengelak tuntutan undang-undang berjumlah RM1.5 bilion daripada 40 syarikat pembalakan. Kenyataan ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan FOUM dan orang ramai.

Hutan Belantara Ulu Muda mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada RM1.5 bilion dari segi sosioekonomi, dan untuk memelihara identiti dan warisan negeri Kedah serta wilayah sekitarnya, seperti yang kami jelaskan di bawah.

Hutan merupakan kunci kemakmuran wilayah utara Semenanjung Malaysia kerana ia membekalkan air untuk sektor pertanian, perindustrian, pelancongan dan pengguna. Sebagai contoh, Empangan Muda, Pedu dan Ahning mengawal bekalan air minum untuk 4.2 juta orang dan menyokong aktiviti ekonomi yang menjana pendapatan tahunan yang dianggarkan sebanyak RM150.5 bilion kepada negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang (lihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato' Ir. Jaseni Maidinsa, PBA Holdings Bhd).

Saliran air dari Hutan Belantara Ulu Muda membolehkan penanaman padi dua kali setahun di negeri Kedah dan Perlis, yang menyumbang sehingga 50% pengeluaran padi negara. Memandangkan krisis Covid-19 dan kesannya yang mengganggu bekalan beras import, negeri Kedah boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jaminan bekalan makanan Malaysia. Sebaliknya, kemusnahan hutan Ulu Muda boleh menjejaskan pengeluaran padi dan punca pendapatan 48,500 orang petani.

Hutan Belantara Ulu Muda memiliki keindahan alam semulajadi yang tak ternilai dan kepelbagaian biologi yang penting, termasuk habitat pelbagai spesies hidupan liar yang terancam seperti gajah Asia, beruang matahari, tapir, tenggiling, ungka tangan hitam, memerang hidung berbulu, harimau dahan, rusa sambar, dan lebih 320 spesies burung. Ia merupakan satu daripada hanya dua lokasi di Malaysia di mana semua 10 spesies burung enggang Malaysia dapat dijumpai. Ulu Muda juga adalah habitat harimau yang layak dikaji melalui Tinjauan Harimau Kebangsaan baru-baru ini. Dahulu ia merupakan habitat kepada badak Jawa, Banteng dan badak Sumatera yang malangnya tiada lagi. Hutan Belantara Ulu Muda turut memainkan peranan penting sebagai penyerap karbon, dan dalam meningkatkan daya ketahanan negara terhadap perubahan iklim.

FOUM faham bahawa melindungi Hutan Belantara Ulu Muda dan menjamin pendapatan negara adalah tugas yang mencabar. FOUM percaya bahawa mekanisme pembiayaan lestari seperti Pembayaran untuk Perkhidmatan Ekosistem (Payment for Ecosystem Services, PES) yang diperkuatkan dengan komitmen dan kebertanggungjawapan yang tinggi adalah langkah yang sesuai untuk maju ke hadapan. Ia membolehkan Kerajaan Negeri Kedah memperolehi sumber pendapatan lestari untuk jangka masa panjang daripada perkhidmatan ekosistem Hutan Belantara Ulu Muda. Dana daripada agensi antarabangsa, Kerajaan Persekutuan, dan pihak lain juga perlu dicari untuk menyokong Kerajaan Negeri Kedah dalam usaha melindungi kawasan tersebut di samping mengekalkan sumber pendapatan negeri.

FOUM berharap Kerajaan Negeri Kedah mengutamakan perlindungan Hutan Belantara Ulu Muda, dengan mempertimbangkan kesejahteraan rakyat, Negeri dan alam sekitar. Anggota kami bersedia menawarkan sokongan dari segi kepakaran teknikal dan khidmat nasihat mengenai rancangan pembangunan yang mampan dan mesra alam bagi melindungi Hutan Belantara Ulu Muda dan membantu menyokong pemulihan pasca Covid 19 di rantau ini.


Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi:-

Friends of Ulu Muda

c/o Consumers’ Association of Penang

10, Jln Masjid Negeri

11600 Pulau Pinang

Tel: +604 829 9511

KENYATAAN MEDIA, 8 Jun 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt