Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Percepatkan Usaha Untuk Mendapatkan Dana Antarabangsa Bagi Perlindungan Hutan

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan Persekutuan supaya dengan segera mempercepatkan usaha untuk mendapatkan dana antarabangsa untuk membantu negeri-negeri melindungi dan memulihara hutan mereka yang amat penting bagi menangani perubahan iklim dan melindungi biodiversiti, dan bukan membenarkannya untuk dibalak dan  tujuan lain.

SAM membuat gesaan ini lanjutan daripada laporan media semalam bahawa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan bahawa 40 pemegang konsesi hutan perlu dibayar RM1 bilion sebagai pampasan atau diberikan hutan ganti kerana penarikan balik konsesi mereka dalam hutan simpanan kekal oleh kerajaan sebelum ini.

Kami menyeru kepada kerajaan negeri Kedah untuk tidak memberi hutan ganti kepada pembalak tetapi sebagai ganti mendapatkan bantuan kerajaan Persekutuan dalam mendapatkan dana antarabangsa yang boleh diperolehi bagi perlindungan dan pemuliharaan hutan, jika tujuannya ialah untuk menangani perubahan iklim dan bagi perlindungan biodiversiti.

Dana antarabangsa ini boleh diperolehi daripada Green Climate Fund, Adaptation Fund dan Global Environment Facility. Dana antarabangsa ini disasarkan untuk menyokong negara membangun dalam memenuhi objektif perubahan iklim dan biodiversiti mereka, yang juga akan membawa manfaat kepada dunia.

Dana-dana bagi perlindungan hutan di negeri ini hanya boleh diakses dengan sokongan kerajaan Persekutuan.

Dana-dana antarabangsa itu mengakui akan keperluan bagi bayaran kepada negara membangun seperti Malaysia untuk perkhidmatan ekosistem yang disediakan oleh hutan hujan tropika kita seperti dalam tindakan penyerapan karbon bagi menyerap gas rumah hijau, serta melindungi sumber air dan dalam mengekalkan biodiversiti.

Kerajaan Persekutuan mestilah dengan segera mendapatkan akses kepada dana ini dan menyalurkannya kepada negeri yang kaya dengan sumber hutan seperti Kedah, dengan itu negara mampu untuk memenuhi komitmen antarabangsa di bawah Perjanjian Paris serta Konvensyen Kepelbagaian Biologi.

Ianya amat kritikal bagi hutan tadahan air Ulu Muda dan kawasan sekitarnya dilindungi, memandangkan kemampanan sumber air amat kritikal bagi kelangsungan hidup berjuta orang bukan hanya di Kedah sahaja tetapi juga di Perlis dan Pulau Pinang. Sumber air ini amat penting bagi jelapang padi negara, sepertimana janji Menteri Besar Kedah untuk melindunginya.

Hutan Ulu Muda memenuhi keperluan air kepada kira-kira 4.09 juta penduduk di tiga negeri. Kira-kira 96% air mentah di Kedah, 70% di Perlis dan lebih daripada 80% di Pulau Pinang datangnya daripada Ulu Muda.

Pembalakan di masa lalu telah merosakkan kawasan di Hutan Simpanan Kekal Ulu Muda.

Oleh sebab itu, kami menggesa Kerajaan Negeri Kedah yang baharu untuk segera mewartakan Hutan Ulu Muda sebagai hutan tadahan air, jika ia masih belum dilakukan lagi, dan tidak membenarkan sebarang aktiviti dalam kawasan hutan yang mengancam fungsi sokongan hayat.

Jika tidak, kita akan berhadapan dengan krisis air yang serius dalam masa akan datang terutama sekali akibat kesan perubahan iklim.

Kami sekali lagi mengulangi bahawa kerajaan Persekutuan mestilah mengambil langkah untuk memberikan pampasan kepada kerajaan negeri Kedah kerana mengekalkan hutan mereka dalam keadaan yang baik demi manfaat awam, sebagai ganti kepada kehilangan yang akan dialami disebabkan oleh tuntutan pampasan daripada pembalak.

Kami menggesa untuk tidak berlengah lagi dalam bertindak bagi menyelamatkan hutan Ulu Muda serta hutan lain di Kedah yang tidak seharusnya diganti untuk pembalakan.

Kita tidak seharusnya mengundang bencana pada masa depan termasuklah daripada krisis iklim dan air yang boleh berlaku akibat kemusnahan hutan dan biodiversiti kita.

 

Kenyataan Akhbar, 27 Mei 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt