Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

GAIK Bantah Cadangan Insinerator di Jeram, Kuala Selangor

Gabungan Anti-Insinerator Kebangsaan (GAIK) ingin menarik perhatian orang ramai bahawa sebuah insinerator sedang dicadangkan di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu Jeram di Mukim Jeram, Daerah Kuala Selangor, Selangor. Projek yang dicadangkan adalah insinerator piringan bergerak, yang digelar sebagai loji “sisa kepada tenaga”, berkapasiti 1,200 tan/hari yang lokasinya bersebelahan dengan tapak pelupusan sisa Jeram.

Pengumuman dan ringkasan eksekutif laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) projek yang dicadangkan sedang dipaparkan di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS). Laporan EIA lengkap projek boleh dilayari di https://www.europasia.com.my/projects/eia-report-jeram/

Tarikh akhir untuk mengemukakan maklum balas awam terhadap EIA tersebut adalah 5 Jun 2020, dan kami membantah tarikh tamat ini kerana akan meminggirkan sebilangan orang awam daripada mengkaji laporan tersebut. Oleh demikian kami menggesa JAS untuk tidak melakukan pameran awam terhadap sebarang EIA semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana tidak semua orang dapat mengakses laporan dalam talian.

Selain itu, kami menentang insinerator atau apa yang disebut sebagai teknologi "sisa kepada tenaga". Menurut EIA tersebut, insinerator Jeram akan membakar semua sisa berkumpul tanpa pemisahan sisa terlebih dahulu. Tenaga sebagai fokus untuk pelupusan sisa bukan sahaja tidak mampan dari sudut ekonomi tenaga, tetapi juga beralih daripada pengurusan sisa yang cekap, kerana secara automatik tidak membawa kepada pengurangan sisa secara keseluruhannya. Sebenarnya insinerator adalah pembazir tenaga.

Ketika membakar bahan yang dapat digunakan kembali atau dikitar semula, insinerator memusnahkan potensi penjimatan tenaga sekiranya bahan tersebut digunakan semula. Kitar semula, misalnya, menjimatkan tiga hingga lima kali ganda tenaga yang dihasilkan oleh loji insinerator “sisa kepada tenaga”. Insinerator juga pembazir tenaga bersih apabila tenaga dari bahan terbakar diambil kira. Atas sebab-sebab ini, loji "sisa kepada tenaga" adalah lebih tepat dinamakan “loji pembaziran tenaga". Negara kita, mempunyai lebihan tenaga 30%, lebih banyak daripada yang kita perlukan. Maka loji “sisa kepada tenaga” ini hanya akan mencemarkan udara kita tanpa memberi faedah tenaga yang dihasilkan. Tambahan pula, kita sebagai pembayar cukai masih perlu membayar kosnya.

Kami kecewa kerana Kerajaan masih menuju ke arah insinerator walaupun menghadapi masalah penyelenggaraan, bahkan dengan operasi insinerator kecil yang ada di Pulau Pangkor, Cameron Highlands, Pulau Langkawi. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami sering mendengar aduan dari masyarakat sekitar mengenai asap hitam yang dilepaskan dari cerobong insinerator di situ dan juga sampah bertimbun di lokasi.

Sisa dan asap ini dapat dilihat, tetapi yang lebih teruk lagi ialah pelbagai pelepasan toksik ke udara, air dan tanah termasuk dioksin dan bahan pencemar berbahaya lain yang terbukti kesan toksiknya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Sebilangan besar toksin ini memasuki bekalan makanan dan rantaian makanan kita.

Ada yang mendakwa bahawa insinerator akan mengurangkan tapak pelupusan sisa. Penyataan ini terbukti salah di Singapura kerana masih ada tapak pelupusan sisa yang besar walaupun ada insinerator di negara ini. Selain itu, tapak pelupusan sisa masih diperlukan untuk melupuskan abu yang dihasilkan oleh insinerator.

Dengan mengambil kira kesalahanggapan tentang loji “sisa kepada tenaga”, rekod buruk Malaysia dalam menyelenggara insinerator mahupun yang berkapasiti kecil dan potensi menimbulkan bahaya kepada kesihatan awam dan alam sekitar, GAIK mendesak kerajaan Malaysia untuk menolak cadangan insinerator di Jeram dan lokasi lain di Malaysia.

Kerajaan Malaysia harus melangkah maju strategi Sifar Sisa yang mencegah pembaziran di sumber, mengurangkan dan menghapuskan toksik, mempromosikan penggunaan lestari, memperhebat usaha kitar semula selamat dan pengkomposan, memperjuangkan keadilan alam sekitar, mewujudkan pekerjaan dan memastikan persekitaran yang bersih, selamat dan sihat untuk komuniti.

Catatan untuk Pengarang: Gabungan Anti-Insinerator Kebangsaan (GAIK) adalah suatu gabungan merangkumi individu, kumpulan masyarakat dan organisasi bukan kerajaan yang membantah projek insinerator di Malaysia. Gabungan ini termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia. Kami bersama-sama berusaha ke arah Sifar Sisa (Zero Waste).


Kenyataan Media, 29 April 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt