Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Masalah sisa plastik tanpa penyelesaian masih menghantui negara

Sungguhpun Malaysia telah menghantar balik kira-kira 3,737 tan metrik sisa buangan ke 13 negara sehingga Januari 2020, ia masih dibelenggu dengan bertan-tan sisa plastik yang dibuang secara haram di seluruh negara.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) begitu bimbang dengan perbuatan melonggokkan sisa plastik dengan sewenang-wenangnya yang mendedahkan pencemaran alam sekitar serta mengancam kesihatan awam. Di antara Januari hingga Julai 2019, Malaysia mengimport 754,000 tan plastik bernilai RM483 juta. Menurut jangkaan Greenpeace, hanya 9% sisa buangan plastik tersebut merupakan plastik bersih yang boleh dikitar semula. Justeru, kebanyakan plastik yang tidak boleh dikitar semula itu sama ada akan dibakar  atau dilonggokkan oleh pengendali haram.

Pembakaran sisa plastik kebanyakannya dilakukan pada sebelah malam untuk menyembunyikan asapnya, dan penduduk di kawasan terlibat akan mengadu mengenai bau busuk dan gangguan kesihatan seperti masalah pernafasan, batuk, sukar bernafas, kerengsaan mata dan kegatalan kulit. Bagaimanapun pada 20 Januari 2020, tapak pelupusan sampah Bedong seluas 45 hektar di  Sungai Petani terbakar dan berlarutan selama berhari-hari sehingga menimbulkan masalah jerebu yang turut melanda Pulau Pinang. Api menjadi marak dengan kehadiran sisa plastik di bawah tapak buangan itu dan kejadian ini hanya sebahagian kecil daripada masalah yang ada.

Kita tidak memerlukan kilang haram mengitar semula plastik dan kita perlu mengurangkan jumlah kilang sedia ada yang beroperasi secara sah jika pihak berkuasa berkenaan tidak berupaya mengawasi kegiatan pengendali sah tersebut. Kurangnya pengawasan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa memburukkan lagi keadaan.

Pada September 2018, media melaporkan daripada anggaran 200 fasiliti pemprosesan plastik di Pulau Pinang, cuma 27 buah beroperasi secara sah. Apabila Pulau Pinang mengambil tindakan keras secara besar-besaran ke atas fasiliti ini, pengendali yang diarahkan menutup kilang memindahkan sisa plastik masing-masing ke Kulim, Gurun dan Sungai Petani di Kedah. Begitulah cara mereka menjalankan operasi.

Proses pembakaran plastik diketahui menghasilkan kimia toksik pada paras tinggi seperti dioksin, furan, merkuri dan polychlorinated biphenyls (PCBs). Tambahan pula jika polyvinyl chloride (PVC) terbakar, ia melepaskan halogen yang berbahaya.

Dioksin merupakan bahan cemar organik yang berterusan. Komponennya yang terburuk, 2,3,7,8 tetrachlodibenzo-p-dioxin  (TCDD) yang lebih dikenali sebagai Agen Oren, adalah karsinogen yang diketahui dan menjejaskan sistem saraf. Kesan Agen Oren, digunakan oleh AS sebagai ‘defoliant’ (bahan kimia perosak daun) ketika Perang Vietnam, masih menjadi bukti hingga kini dengan kira-kira 3 juta penduduk Vietnam menderitai pelbagai masalah kesihatan (termasuk kecacatan anggota tubuh) yang dikaitkan dengan kimia tersebut.

Pencemaran alam sekitar dan kesihatan merupakan dua faktor penting yang tidak boleh dipandang remeh oleh pihak berkuasa yang semata-mata mahu mengaut keuntungan ekonomi. Ini kerana plastik mungkin mengambil masa sehingga 1,000 tahun untuk terurai. Kesannya terhadap kesihatan amat besar bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan disebabkan pendedahan kepada bahan kimia yang dibebaskan, atau kerana menghidu asap daripada plastik yang terbakar.

Di bawah Seksyen 29A. (2)  “Larangan atas pembakaran terbuka”, Akta  Kualiti Alam Sekeliling (1974), disebutkan bahawa:

“Sesiapa yang melanggar subseksyen (1) boleh didakwa melakukan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali.”

Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa agar mengenakan denda yang paling tinggi sebagai penghalang terhadap pesalah yang hanya mementingkan keuntungan daripada perniagaan kitar semula plastik yang bernilai berbilion ringgit.


Kenyataan Akhbar, 5 Februari 2020

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt