Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

Kemusnahan hutan dan pencabulan NCR di Sarawak:Kerajaan persekutuan wajib turun ke lapangan

Pada Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia hari ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) ingin mengulangi permintaan kami kepada kerajaan persekutuan untuk turun ke lapangan bagi memahami dengan terperinci bagaimana projek-projek perladangan monokultur di Sarawak telah menyebabkan kemusnahan hutan dan pencabulan hak tanah adat (NCR). Kami telah menyuarakan hal ini buat pertama kali sewaktu pelancaran penerbitan kami, The Land We Lost – Native customary rights and monoculture plantations in Sarawak (Tanah Kami yang Hilang – Hak tanah adat dan perladangan monokultur di Sarawak) pada Julai 21.

Penerbitan ini menegaskan kita wajib memahami konteks perladangan monokultur besar di Sarawak dengan tepat. Pertama, ia membabitkan kemusnahan hutan. Kedua, ia merupakan sebuah perkembangan pasca-pembalakan yang bermula pada lewat 1990an, setelah sumber kayu balak semakin berkurangan akibat dari pembalakan tidak terkawal yang dilakukan selama lebih dari dua dekad. Ketiga, ia melibatkan pencabulan NCR. Keempat, kemusnahan ini berlaku akibat dari keluasan ladang yang melampau serta cara dan konteks projek-projek ini dibangunkan, yang lazimnya melibatkan syarikat-syarikat besar. Oleh itu, kami tetap menyokong usaha melindungi kepentingan para pekebun kecil di seluruh negara. Kelima, Licence for Planted Forest (LPF) di bawah bidangkuasa Jabatan Hutan Sarawak, walaupun melibatkan 285,520 hektar tanaman sawit, pada dasarnya adalah permit untuk penanaman kayu kertas dan balak. Pada tahun 2017, keluasan kawasan LPF ini adalah 2.8 juta hektar, lebih luas lagi dari kawasan penanaman sawit menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang berjumlah 1.5 juta hektar di Sarawak.

 

Namun, maklumbalas dari kerajaan persekutuan kelihatannya hanya terhad kepada hujah bahawa Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) turut mengiktiraf NCR. Sebetulnya, bab ketiga penerbitan ini telah pun mengakui tentang usaha ini. Namun ia mempersoalkan bagaimana prinsip ini dapat dizahirkan di Sarawak, tatkala kerajaan negeri memiliki tafsiran yang sangat sempit tentang NCR, sering menentukan wilayah NCR secara satu hala dan kebanyakan pemberian lesen perladangan untuk syarikat-syarikat besar telah pun dilakukan.

 

Malah, borang MPOB untuk pekebun kecil di Sarawak pun turut mengandungi penafian yang menyatakan bahawa borang tersebut hanyalah untuk mengesahkan kawasan tanaman sawit sahaja dan bukan bermaksud untuk pengesahan pemilikan NCR. Walaupun taraf pemilikan NCR akan dicatat, pengesahan NCR kelihatannya masih lagi bergantung kepada pihak berkuasa negeri. Jesteru itu, apakah nasib para pekebun kecil sawit orang asal di Sarawak yang tanah NCR mereka, walaupun masih lagi terselamat buat masa sekarang, terletak di dalam kawasan lesen perladangan milik syarikat-syarikat besar? Ini hanyalah satu dari puluhan permasalahan tentang wilayah NCR di Sarawak.

Keadilan di dalam pengurusan sumber-sumber asli adalah teras kepada perlindungan alam sekitar dan hak asasi manusia. Kelestarian tidak akan tercapai tanpa keadilan. Ketidakadilan tentang cara perladangan sawit korporat dibangunkan di Sarawak inilah yang sebenarnya menjadi punca industri ini menerima kritikan. Ketidakadilan ini juga dapat menjejaskan pekebun kecil. Ketidakadilan ini turut melibatkan perladangan kayu, fakta yang sayangnya telah diberikan perhatian yang amat kecil sekali. Sebelum 1990an, pembalakan dan pembangunan empangan telah lama dikaitkan dengan ketidakadilan yang sama.

Jelasnya, permasalahan pokok di sini adalah ketidakadilan sistemik di dalam polisi dan perundangan di Sarawak, yang gagal memastikan pengurusan hutan yang lestari dan jaminan pegangan tanah terhadap NCR. Ini turut melibatkan faktor-faktor kegagalan kepemerintahan yang lain. Pertama, kegagalan untuk mengiktiraf NCR dengan sepenuhnya, termasuklah di kawasan berhutan, berdasarkan undang-undang adat dan keputusan kehakiman. Kedua, ketiadaan peruntukan perundangan tentang proses pemberian izin dengan maklumat awal, bebas dan telus (IMABT). Ketiga, kawalan yang dilakukan ke atas pucuk pimpinan kampung-kampung orang asal and ruang perundingan. Keempat, sistem kepemerintahan yang tidak telus. Kelima, larangan ke atas kerja-kerja pemetaan tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri. Keenam, proses penilaian kesan-kesan ke atas alam sekitar (EIA) yang tidak mewajibkan penyertaan awam. Ketujuh, dasar yang membenarkan penebangan hutan untuk pembangunan perladangan kayu kertas dan balak serta sawit, termasuklah di Hutan Simpanan dan Hutan Kawalan.

Kami berbesar hati apabila kerajaan persekutuan telah melakukan beberapa hal yang betul di dalam usahanya untuk memenuhi ‘Janji 38’ manifesto pilihanraya mereka untuk membela nasib orang asli di Semenanjung Malaysia. Kami berharap agar ‘Janji 48’ manifesto ini untuk memulangkan dan menjamin hak tanah adat Sabah dan Sarawak, janganlah dilupakan pula.

Untuk masyarakat orang asal di seluruh Malaysia, kami mengucapkan ‘Selamat Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia!’

The Land We Lost boleh dicapai di:

https://www.foe-malaysia.org/the_land_we_lost

Encroachment on Orang Asli Customary Land in Peninsular Malaysia / Pencerobohan Tanah Adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia boleh dicapai di:

https://www.foe-malaysia.org/violations_of_orang_asli_customary_land_rights_caused_by_systemic_conditions

 

Kenyataan Akhbar, Ogos 9, 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt