Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Memberi suara kepada masyarakat...sejak 1970

BERATUS NELAYAN TRADISIONAL MENOLAK PROJEK PENAMBAKAN DI SELATAN PULAU PINANG DAN PENGAMBILAN PASIR DARI PERAK

Nelayan menuju ke Parlimen.

1. BANTAHAN PROJEK PENAMBAKAN DI SELATAN PULAU PINANG DAN PENGAMBILAN PASIR DARI PERAK:

Lebih daripada seratus nelayan dari pelbagai unit dan persatuan dari Pulau Pinang dan Perak berkumpul di sini hari ini bersama dengan NGO dan warga prihatin yang bersolidariti, dalam perhimpunan aman di luar Parlimen untuk membantah projek Penambakan di Selatan Pulau Pinang (Penang South Reclamation - PSR) dan pengambilan pasir di Perak. Projek penambakan ini akan memusnahkan kawasan perikanan yang kaya di barat laut Semenanjung Malaysia, satu kawasan di mana Jabatan Perikanan telah melabur berjuta-juta ringgit selama bertahun-tahun untuk memperbanyakkan bilangan dan stok ikan. Menambak kawasan ini serupa dengan menjejaskan jaminan keselamatan makanan kita.

Mohideen Abdul Kadar, Pemangku Presiden CAP bersama nelayan.

Bantahan tebus guna laut Pulau Pinang di Parlimen.

Nelayan Perak dan Komuniti yang terjejas oleh pengambilan pasir membuat bantahan.

2. PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA PERDANA MENTERI DAN MENTERI-MENTERI:

Wakil komuniti nelayan dan NGO akan menyerahkan memorandum kepada menterimenteri khususnya:

a) Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad

b) Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YB Dr Wan Azizah

c) Menteri Wilayah Persekutuan (PLANMalaysia), YB Khalid Samad

d) Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim, YB Yeo Bee Yin

e) Menteri Air, Tanah & Sumber Asli, YB Xavier Jayakumar

f) Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin

g) Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook

h) Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Mohamed Azmin Ali

i) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Datuk Salahuddin Ayub

j) Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Rina Harun

Memorandum ini telah diemelkan kepada menteri-menteri berkenaan seminggu sebelum perhimpunan aman ini. Penyerahan memorandum ini sebagai peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan agar mengekalkan akauntabiliti dalam menangani kesengsaraan semua rakyat Malaysia dengan ketelusan, keadilan dan inklusif.

3. PERHIMPUNAN AMAN UNTUK B40: Nelayan yang berada di sini pada hari ini mewakili 10,000 nelayan lain yang akan terjejas oleh projek penambakan di Pulau Pinang dan pengambilan pasir di Perak. Mereka datang jauh dari Pulau Pinang dan Perak – perjalanan yang bermula sekitar tengah malam dalam usaha untuk memastikan akan tiba di Parlimen pada pagi ini. Ramai daripada mereka merupakan kumpulan penduduk dalam kelompok B40 di kedua negeri itu, di mana kerajaan Pakatan Rakyat menjanjikan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Mereka berkumpul di sini secara aman, menggesa campur tangan kerajaan Persekutuan untuk menghentikan projek pembangunan hartanah terbaharu Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

4. KELULUSAN EIA MENGEJUTKAN WALAUPUN 44,500 BANTAHAN KEPADA PSR DAN KELEMAHAN DALAM EIA Kami mempersoalkan kelulusan segera laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) PSR oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 5 Julai 2019, kurang daripada sebulan selepas tempoh tamat penyerahan maklum balas. Pelbagai NGO, pakar teknikal, dan nelayan juga menyerahkan surat maklum balas awam mereka kepada JAS dengan menyatakan kenapa laporan EIA tersebut tidak sepatutnya diluluskan. Petisyen atas talian Change.org oleh Penang Forum (yang dilancarkan 10 Mei 2019), membantah PSR dengan 20 alasan yang kuat, telah mengumpulkan lebih daripada 45,000 tanda tangan.

Daripada menegakkan kepentingan penyertaan awam, proses EIA oleh JAS yang autokratik, mengabaikan kebimbangan dan bantahan sah, seolah-olah orang ramai tidak memerlukan sebarang penjelasan, amat tidak dapat diterima. Antara isu yang dikemukakan dalam EIA ialah:

• Ramalan penduduk bagi PSR1 adalah dipersoalkan. Laporan EIA meramalkan 446,300 orang. Ini diterjemahkan kepada kepadatan 24,522 orang bagi setiap kilometer persegi, lebih tinggi berbanding pulau Hong Kong dengan 17,000 orang bagi setiap kilometer persegi. Kadar kelahiran semula jadi Pulau Pinang ialah 1.4 di bawah kadar kelahiran kebangsaan, dan ia menerima penghijrahan secara puratanya 9,000 orang dalam dua dekad lepas. Oleh itu ramalan bilangan penduduk tidak realistik dan tidak mempunyai justifikasi dan tidak berasas.

• EIA PSR tidak menjelaskan dengan nyata cadangan untuk menjual tanah tebus guna untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan - PTMP). Malahan, EIA mengelirukan, dalam menyatakan PSR untuk “menyelesaikan bekalan tanah” di Pulau Pinang. Jika ini yang menjadi perhatian, maka cadangan pertumbuhan masa depan Pulau Pinang boleh dan seharusnya dirancang di atas tanah sedia ada yang sudah pun dimiliki oleh Kerajaan Negeri contohnya di Batu Kawan dan kawasan lain yang masih kosong di Seberang Perai.

5. SALAH NYATA BILANGAN NELAYAN YANG TERJEJAS: Kami berpendapat bahawa naratif berulang oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang (pemilik projek PSR), bahawa setengah daripada nelayan bersetuju dengan projek itu, adalah kurang tepat. 2 Kami melihat ini sebagai usaha yang disengajakan untuk memberikan gambaran dan memudahkan isu yang rumit ini dan merampas suara 10,000 nelayan yang akan terjejas oleh projek penambakan di Pulau Pinang dan pengambilan pasir di Perak. “Nelayan” Pulau Pinang yang terbuka kepada penerimaan pampasan terdiri terutamanya daripada mereka yang bersara atau nelayan separuh masa. Seperti mana yang boleh dilihat hari ini, majoriti yang membanjiri perhimpunan hari ini adalah nelayan sepenuh masa yang membantah sepenuhnya projek pembangunan hartanah ini kerana kehidupan dan mata pencarian mereka daripada penangkapan ikan akan terjejas teruk. Tapak projek ini akan melenyapkan kawasan perikanan amat berharga yang sedia ada dengan banyak ketam, udang dan ikan. Bagi nelayan untuk keluar jauh ke lautan luas, mereka memerlukan kos yang lebih tinggi untuk peralatan perikanan yang lebih maju, bot dan bahan api, melangkaui kemampuan mereka atau pengalaman perikanan pantai mereka. Kita mestilah mempertimbangkan permasalahan ini yang boleh membawa kepada potensi pertembungan antara komuniti nelayan yang berbeza yang bersaing bagi kawasan penangkapan ikan yang semakin merosot.

6. PENGAMBILAN PASIR DI PERAK, BOM JANGKA YANG MENUNGGU MASA: Kami ingin memperingatkan bahawa pengambilan pasir laut berskala besar di luar pantai Perak akan memberikan implikasi yang buruk ke atas pergerakan dasar laut dan aliran hidraulik kawasan itu. PSR dan aktiviti pengambilan pasir akan menjejaskan pantai utara Perak, di mana hakisan pantai sudah pun menjadi satu masalah, dan akan menjejaskan nelayan dari Tanjung Piandang sehingga ke Pangkor,dan turut memberikan kesan kepada kawasan hutan bakau, terutama sekali di Kuala Kurau dan Kuala Sepetang yang tersenarai sebagai tapak Ramsar. Untuk PSR, 189.1 juta m3 pasir akan dikeluarkan daripada pantai Perak (berbanding 161.9 juta m3 yang digunakan oleh tebus guna Pulau Forest City). Risiko kecurian pasir juga amat tinggi. Malangnya, isu pengambilan pasir Perak tidak mencakupi secara rasmi dalam EIA PSR, dan tiada peluang bagi nelayan Perak untuk menyerahkan maklum balas awam mereka berhubung EIA sumber pasir.

Dengan ini kami menyerahkan 10 memorandum kepada menteri terpilih, termasuk dua petisyen berkaitan Penambakan di Selatan Pulau Pinang yang ditandatangani oleh sejumlah 165,000 orang. Kami memohon agar Majlis Perancangan Fizikal Negara:

a) Membatalkan projek Penambakan di Selatan Pulau Pinang.

b) Menggesa kajian semula PTMP yang lebih lengkap termasuk pembangunan projek 3 lebuh raya utama, oleh pakar pengangkutan bebas dan perancang profesional.

c) Mengadakan moratorium berhubung aktiviti pengambilan pasir laut di luar pantai Perak.

Muat turun memorandum di sini Atau

melalui pautan ini: http://tiny.cc/114d9y Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Khoo Salma melalui +60 17-456 6012, atau JLIB_HTML_CLOAKING

1 Sumber ramalan bilangan penduduk ialah daripada dokumen 18 nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara.

2 18 Nasihat yang dikeluarkan oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara, menyatakan pilihan bagi 805 nelayan berdaftar yang terjejas, dengan keluarga berjumlah 3,140 orang, tetapi ini hanya angka berkait dengan “Komuniti Nelayan dalam Kawasan Kajian” dalam EIA dan bukannya bilangan nelayan sebenar yang mana kehidupan mereka bergantung kepada kawasan yang terjejas. Bagi komponen penilaian kesan sosial EIA, rundingan awam hanya mengumpulkan maklum balas daripada 165 orang, daripada 58% yang bukan nelayan, daripada lingkungan 5 kilometer. Daripada nelayan yang ditemubual (69 orang), hanya 17 menyatakan sokongan untuk projek PSR, manakala 14 daripadanya menolak. Manakala 24 orang mengemukakan beberapa persoalan untuk mendapatkan penjelasan mengenai projek itu, dan selebihnya 5 orang bertanyakan mengenai pampasan. Jelas, mengesahkan kelulusan projek PSR dengan maklum balas daripada hanya 17 nelayan adalah amat tidak tepat. Bilangan yang dipetik ini adalah berdasarkan fakta yang disediakan dalam laporan EIA PSR (Jilid 3: Lampiran).

 

Kenyataan Akhbar, 11 Julai 2019

Kempen Hidup Secara Sederhana

Slaid

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt

alt